Diterbitkan pada 6 Julai 2024, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis meraikan warganya dalam Majlis Minum Lewat Petang (High Tea) Kemuncak Sambutan Jubli Emas yang diadakan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis, baru-baru ini.

Majlis gilang-gemilang tersebut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc., barisan pengurusan kanan UiTM, ketua agensi, pesara-pesara UiTM, alumni dan rakan industri institusi UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapan pembukaan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, beliau menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua warga UiTM Cawangan Perlis kerana sudi meluangkan masa dalam menghadiri majlis tersebut.

“Majlis yang penuh bermakna ini tidak hanya menjadi penanda aras pencapaian gemilang UiTM Cawangan Perlis sepanjang 50 tahun beroperasi tetapi juga sebagai peluang untuk kita merenung kembali pencapaian yang telah dicapai serta merancang masa depan yang lebih gemilang,” ujar beliau.

Sejak penubuhannya, UiTM Cawangan Perlis telah mencapai banyak kejayaan yang membanggakan. Bermula dengan hanya sebuah kampus kecil, kini institusi ini telah berkembang menjadi satu daripada institusi pendidikan tinggi yang terkemuka di utara tanah air.

UiTM Cawangan Perlis telah berjaya melahirkan ribuan graduan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Kejayaan ini tidak terhad kepada bidang akademik sahaja, malah meliputi penyelidikan, inovasi dan pelibatan masyarakat.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada warga UiTM Cawangan Perlis yang telah menyumbang kepada kemenjadian UiTM Cawangan Perlis selama ini,” ujarnya ketika mengakhiri ucapan.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, sebagai sebuah institusi yang berpegang pada moto “Usaha, Taqwa, Mulia,” UiTM Cawangan Perlis telah menzahirkan impak yang besar kepada pembangunan bangsa, agama dan negara serta membuktikan kecemerlangan dalam inovasi, keberhasilan pelajar, keusahawanan dan komuniti.

UiTM Cawangan Perlis telah melalui pelbagai fasa pembangunan sejak penubuhannya. Daripada sebuah kampus kecil, kini UiTM Cawangan Perlis telah berkembang menjadi institusi yang mampu bersaing pada peringkat nasional dan antarabangsa. Pencapaian ini adalah hasil daripada semangat keilmuan yang tinggi, kesungguhan serta kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak.

YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin memberikan ucapan di hadapan lebih daripada 700 orang hadirin yang terdiri daripada warga kampus dan rakan-rakan institusi dan agensi negeri Perlis, para pesara dan alumni UiTM Cawangan Perlis dalam Majlis Minum Lewat Petang Sambutan Kemuncak 50 tahun UiTM Cawangan Perlis.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan UiTM Cawangan Perlis. Tanpa sokongan dan dedikasi semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat direalisasikan. Tanpa kerjasama anda semua, kita tidak mungkin dapat mencapai kejayaan yang kita raikan hari ini,” ujar beliau.

YBhg. Profesor Datuk Naib Canselor turut mendoakan agar UiTM Cawangan Perlis akan terus maju dan menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan tinggi di negara ini.

“Marilah kita bersama-sama terus berusaha dan berdoa agar UiTM Cawangan Perlis terus berjaya dan memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau mengakhiri ucapan.

Majlis ini turut diadakan gimik perasmian yang menampilkan persembahan video montaj nostalgia UiTM Cawangan Perlis sejak awal penubuhannya hingga tahun 2024, diikuti dengan acara peletakan kapsul 50 tahun di atas arca oleh Naib Canselor UiTM.

Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin yang diiringi oleh barisan Pengurusan Kanan UiTM Cawangan Perlis meletakkan kapsul 50 tahun di atas arca gimik perasmian.
Kapsul 50 tahun dibawa berarak meninggalkan Dewan Seri Semarak oleh Naib Canselor UiTM untuk diletakkan di Tugu Jubli Emas di luar dewan tersebut.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin meletakkan kapsul 50 tahun di dalam Tugu Jubli Emas.

Majlis diteruskan dengan sesi bacaan surat hasrat dari kapsul 30 tahun UiTM Cawangan Perlis yang telah dibuka oleh Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail semasa program Kayuhan UiTM Prihatin X MAIPs Peduli pada 28 Jun 2024 lalu oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Majlis juga diserikan dengan persembahan kemuncak oleh Pasukan Kior Kakitangan UiTM Cawangan Perlis di bawah bimbingan Encik Azarizal Basir dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis sambil diiringi Orkestra Brassband UiTM Cawangan Perlis di bawah bimbingan Encik Azrin Ahmad, Penyelaras Kokurikulum Brassband UiTM Cawangan Perlis.

Majlis yang bertemakan “Melayu Klasik” itu dimeriahkan dengan persembahan gamelan yang dialunkan oleh para pelajar dari Persatuan Gamelan di bawah bimbingan Jurulatih Gamelan UiTM Cawangan Perlis, Puan Nur Aishah Zakaria; persembahan pembukaan oleh Penolong Akauntan Kanan UiTM Cawangan Perlis, Encik Salman Fadzri Zaharin yang mendeklamasikan sajak bertajuk “Institusi Keramat” yang disediakan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; tarian seni silat oleh para pelajar dari Persatuan Pancaseri di bawah bimbingan Penolong Pegawai Kebudayaan UiTM Cawangan Perlis, Puan Nor Fadhilah Mohamad Noor Akae dan Persatuan Silat di bawah bimbingan Pembantu Pustakawan UiTM Cawangan Perlis, Encik Farady Omar.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi mendeklamasikan bait terakhir sajak tulisannya yang bertajuk “Institusi Keramat”.
Persembahan kemuncak oleh pasukan koir yang terdiri daripada kakitangan UiTM Cawangan Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi