Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBaru-baru ini, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah merasmikan majlis peluncuran bagi Program Sekolah Pengajar yang dilakukan serentak dengan majlis peluncuran Program Sahabat Bahasa di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kedua-dua inisiatif ini merupakan program di bawah reformasi pendidikan yang sedang diterajui oleh beliau.
Dalam majlis peluncuran tersebut, beliau mahukan inisiatif Program Sekolah Pengajar ini dikembangkan di seluruh negara. Di samping itu, beliau berharap IPGM sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru dan Program Sekolah Pengajar dapat membantu KPM menyelesaikan isu pedagogi yang berkaitan dengan isu pembelajaran murid.
Dalam majlis peluncuran Program Sekolah Pengajar itu, pensyarah IPGM bersama-sama siswa dan siswi guru IPGM dan English Language Teaching Centre (ELTC) telah mempamerkan amalan pedagogi dengan inisiatif dan formula baharu berkaitan dengan intervensi untuk mengatasi isu pembelajaran. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang turut serta dalam memeriahkan program tersebut turut mempamerkan Program Majalah Dalam Kelas (MDK), iaitu aktiviti menggunakan majalah sebagai bahan pembelajaran dan pengajaran (PdP).
Menurut YB Fadhlina Sidek,
Program Sekolah Pengajar memberikan peluang kepada pensyarah IPGM dan guru sekolah bekerjasama menguji inisiatif dan formula pedagogi, khususnya pedagogi yang berkaitan dengan isu pembelajaran murid. Dalam hal ini, kebanyakan mereka yang pernah melawat Finland, iaitu sebuah negara yang dianggap mempunyai sistem pendidikan terbaik akan mengatakan bahawa sekolah di Finland boleh diibaratkan sebagai makmal bagi universiti mereka. Hal ini diakui kerana sekolah di negara tersebut mempunyai interaksi yang berterusan dengan komuniti, iaitu kolaboratif berdasarkan kurikulum yang responsif dan dibangunkan bersama-sama.
Jika kita perhatikan beberapa fakulti perubatan universiti di Malaysia pula, fakulti perubatan tersebut mempunyai sebuah Hospital Pengajar yang dipanggil sebagai Hospital Universiti. Di sini, pakar perubatan akan menguji formula dan amalan serta kaedah perubatan baharu bagi sesuatu penyakit, di samping mengajar para doktor pelatih.
Kedua-dua senario ini merupakan rasional IPGM mempunyai Sekolah Pengajar sebagai program strategik. Rasional pelaksanaan Program Sekolah Pengajar ini disebabkan pendidikan guru yang berlangsung di kampus IPGM seluruh negara mempunyai hubungan yang erat dengan sekolah dan proses pembelajaran murid di dalam bilik darjah. Kebanyakan pensyarah IPGM berkelayakan doktor falsafah dan berkepakaran dalam bidang pedagogi berkaitan dengan pembelajaran murid. Oleh yang demikian, seharusnya mereka mempunyai Sekolah Pengajar bagi tujuan untuk menguji inisiatif dan formula pedagogi baharu yang dicipta untuk pembangunan pedagogi dalam mengatasi isu pembelajaran murid.
Program Sekolah Pengajar adalah untuk mencapai matlamat strategik IPGM, iaitu menjadikan IPGM sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru bertaraf dunia dan menghasilkan kemenjadian siswa guru. Kedua-dua matlamat strategik ini hanya dapat dicapai apabila peranan IPGM berjaya membantu KPM dan guru dalam mengatasi isu pembelajaran murid dan usaha itu turut diiktiraf. Matlamat strategik ini tidak mustahil dicapai kerana IPGM mempunyai pensyarah yang berwibawa. Menurut Pangkalan Data, Sistem Maklumat Personel IPGM pada 21 Jun 2024, terdapat 692 orang pensyarah IPGM berkelulusan Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (PhD) dan sebanyak 1773 orang pensyarah IPGM mempunyai kelulusan peringkat sarjana/master. Data ini menunjukkan bahawa IPGM merupakan institusi pengajian tinggi di KPM yang menghimpunkan sarjana pedagogi dan pemikir dalam bidang pendidikan, khususnya yang berkaitan dengan hal ehwal pembelajaran murid.
Sehubungan dengan itu, sudah tiba masanya kepakaran pensyarah IPGM dimanfaatkan bagi membantu KPM dan sekolah mencari penyelesaian terhadap isu pembelajaran. Hal ini boleh dilakukan oleh pensyarah IPGM kerana mereka mempunyai banyak penghasilan, inovasi dan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan di dalam bilik darjah. Dengan ini, kepakaran dan kewibawaan pensyarah IPGM akan mendapat pengiktirafan dan menjadi faktor kejayaan IPGM sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru bertaraf dunia.
Program Sekolah Pengajar juga akan membolehkan sarjana dalam bidang pedagogi di IPGM terlibat secara sistematik dan strategik untuk membantu pihak sekolah dan guru, khususnya dalam usaha mencari intervensi terhadap sesuatu isu pembelajaran yang dihadapi. Hal ini secara tidak langsung mewujudkan sistem sokongan profesional kepada guru di sekolah dalam berhadapan dengan cabaran PdP di bilik darjah masing-masing.
Kehadiran pensyarah IPGM ke Sekolah Pengajar akan disertai oleh siswa dan siswi guru. Di Sekolah Pengajar, siswa dan siswi guru akan dapat menguji ilmu pendidikan guru yang telah dipelajari di dalam bilik darjah yang sebenar, iaitu di sekolah yang dikunjungi. Proses pembelajaran secara praktikal ini bukan sahaja memperkukuh ilmu dan kemahiran, tetapi kehadiran siswa dan siswi guru di Sekolah Pengajar membolehkan mereka melalui proses pembinaan karakter sebagai seorang guru dan melalui pengalaman sekolah yang sebenar. Hal ini membantu IPGM membina kemenjadian siswa guru dari peringkat awal kerana siswa dan siswi guru telah terlibat secara langsung dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan isu pembelajaran. Hal ini merupakan manifestasi praktikal (theory-practice nexus) yang disarankan oleh banyak pemikir pendidikan.
Program Sekolah Pengajar yang telah berjaya diluncurkan pada 20 Jun 2024 telah membolehkan semua inisiatif atau formula baharu berkaitan dengan pedagogi dan aktiviti PdP yang kreatif dan banyak dihasilkan oleh pensyarah IPGM itu diuji di dalam bilik darjah. Malah, sebarang inisiatif yang dibangunkan oleh mana-mana bahagian di KPM juga boleh dibawa oleh pensyarah IPGM ke dalam bilik darjah untuk diuji keberkesanannya. Menerusi ujian yang dilaksanakan itu, dapat dibuktikan bahawa sama ada sesuatu inisiatif atau formula baharu pedagogi tersebut berkesan atau sebaliknya. Inisiatif atau formula baharu yang telah diuji dan terbukti berkesan akan dicadangkan menjadi program strategik untuk dilaksanakan di seluruh negara, khususnya dalam mengatasi sesuatu isu keberkesanan pedagogi dan isu pembelajaran murid.
Interaksi langsung dengan murid dan warga sekolah turut memberikan pensyarah IPGM, siswa dan siswi guru IPGM perspektif tentang dinamika dan cabaran sebenar dalam dunia pendidikan. Pensyarah IPGM dapat melihat dimensi yang lebih praktikal dalam mencipta inovasi dan formula pedagogi baharu, di samping siswa dan siswi guru IPGM lebih bersedia dan yakin sebagai guru dengan nyala rasa guru yang semarak di dalam diri mereka. Peluang ini juga mendorong pembelajaran reflektif, iaitu pensyarah IPGM, siswa dan siswi guru IPGM dapat menganalisis dan menilai keberkesanan inovasi serta strategi pengajaran yang dibawa di dalam bilik darjah.
Dalam hal ini kehadiran pensyarah IPGM ke Sekolah Pengajar masing-masing bukan untuk mengambil peranan guru di sekolah tersebut. Kehadiran pensyarah IPGM adalah sebagai rakan strategik yang akan memberikan kebaikan dan manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Di pihak pensyarah IPGM, mereka dapat menguji dan menambah baik inisiatif atau formula pedagogi yang dihasilkan. Sementara di pihak guru atau sekolah pula, mereka memperoleh sokongan profesional dalam mengatasi isu pembelajaran murid di sekolah atau di dalam bilik darjah. Malah, tindakan atas prinsip merangkai titik-titik (connecting the dots) ini akan mengupayakan sistem penyampaian KPM.
Selain itu, kehadiran pensyarah IPGM ke Sekolah Pengajar bukan sebagai pemantau atau bersikap seperti seorang tuan. Prinsip kehadiran mereka ialah sebagai rakan strategik, iaitu menjadi rakan, kawan dan sahabat dengan memainkan peranan pengajar (coaching), pemantau (mentoring) dan konsultasi. Pensyarah IPGM tidak akan hadir dengan memberikan arahan yang akan membebankan guru. Pensyarah IPGM akan berperanan sebagai pembimbing, pencetus ruang bagi mengeksplorasi idea baharu dan pengukuh motivasi kepada guru dengan penghayatan pendidikan manusiawi dan karamah insaniah. Kehadiran pensyarah IPGM ke Sekolah Pengajar juga terhad pada minggu keempat setiap bulan dan tidak lebih daripada dua hari dalam minggu keempat tersebut. Kehadiran pada minggu lain hanya berlaku jika terdapat permintaan daripada JPN, PPD atau pihak sekolah sendiri dan tertakluk juga kepada tugas hakiki pensyarah di kampus.
Libat urus pihak IPGM Kampus dengan JPN, PPD dan sekolah juga dibuat sebelum pelaksanaan Program Sekolah Pengajar. Pemilihan Sekolah Pengajar tidak berfokus pada sebuah sekolah sahaja. Misalnya, setiap jabatan akademik IPGM Kampus boleh memilih Sekolah Pengajar sendiri. Dengan ini, Sekolah Pengajar bagi setiap IPGM Kampus tertakluk kepada pemilihan yang dibuat oleh jabatan akademik IPGM Kampus tersebut. Pemilihan Sekolah Pengajar yang banyak adalah untuk mengelakkan pihak sekolah rasa terbeban dan tertekan dengan kehadiran pensyarah IPGM Kampus pada suatu-suatu masa. Tempoh kolaboratif sesebuah sekolah itu menjadi Sekolah Pengajar juga bergantung pada persetujuan bersama-sama.
IPGM Kampus juga akan membina kerjasama dan persefahaman dengan SISC+ menerusi perkongsian ilmu dan penyelarasan aktiviti serta jadual kunjung bantu sekolah. Kerjasama dan penyelarasan ini dilakukan supaya tidak berlaku pertindihan aktiviti atau kunjungan ke sekolah sehingga membebankan guru atau sekolah.
Pelaksanaan Program Pengajar ini adalah berdasarkan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Profesional KPM yang mengarahkan IPGM meneruskan pelaksanaan Sekolah Pengajar. Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) pula diminta bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan kelancaran operasi Program Sekolah Pengajar. Malah, IPGM juga telah mengutus memo kepada BPSH bagi pemakluman tentang pelaksanaan Program Sekolah Pengajar di sekolah KPM. Selain itu, bagi memastikan Program Sekolah Pengajar ini dapat bergerak dengan lancar, IPGM juga telah mengundang wakil BPSH, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), wakil Timbalan Pengarah JPN Sektor Pembelajaran dan wakil Majlis Pengetua Semenanjung Malaysia (MPSM) dan wakil Majlis Guru Besar (MGB) untuk sesi libat urus Program Sekolah Pengajar.
Hakikatnya, Program Sekolah Pengajar berupaya mampu menjadi mekanisme untuk membantu KPM dalam meningkatkan kualiti pedagogi guru di sekolah, khususnya dalam mengatasi isu pembelajaran murid atas prinsip mencari penyelesaian berdasarkan keperluan setempat.