29 Ogos 2024, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut perangkaan yang direkodkan oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA), sehingga kini, di Semenanjung Malaysia sahaja, terdapat kira-kira 215,215 Orang Asli (data sehingga 31 Disember 2023). Sejak dahulu, komuniti Orang Asli berhadapan dengan pelbagai masalah, terutamanya masalah kesihatan. Kehidupan mereka yang terasing daripada masyarakat umum menyebabkan kemudahan asas dalam penempatan mereka juga amat terhad. Selain itu, kurangnya kesedaran berkenaan penjagaan kebersihan, mengundang pelbagai masalah kesihatan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Aspek Kebersihan dalam Komuniti Orang Asli

Antara faktor yang menyumbang kepada tahap kesihatan yang lemah dalam kalangan anak-anak Orang Asli termasuklah faktor persekitaran, amalan kehidupan seharian, amalan pemakanan dan budaya hidup. Sebagai contoh, jangkitan cacing paling kerap berlaku tidak kira dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa. Hal ini berkait rapat dengan faktor sanitasi dan pengendalian makanan, misalnya tidak membasuh tangan sebelum makan atau sebelum menyediakan makanan, dan tidak memakai kasut atau selipar ketika berada di luar rumah. Beban penyakit akibat jangkitan cacing masih tinggi walaupun pelbagai kempen dan langkah kawalan oleh pihak berwajib telah dilakukan. Kira-kira 70 peratus daripada populasi Orang Asli terutamanya kanak-kanak masih berisiko tinggi dijangkiti cacing sekiranya tiada langkah proaktif dijalankan. Impak daripada jangkitan cacing, mereka berkemungkinan besar mengalami simptom malnutrisi seperti kekurangan vitamin A, zat besi, protein dan anemia. Mereka juga akan mudah dijangkiti penyakit bawaan makanan dan air, misalnya cirit-birit dan keracunan makanan yang disebabkan oleh demam tifoid, taun, Hepatitis A dan lain-lain lagi.

Dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) merupakan organisasi yang memainkan peranan penting untuk memberikan kesedaran kesihatan serta menyediakan kemudahan perubatan dan infrastruktur yang bersesuaian. JAKOA amat mengambil berat akan tahap kesihatan Orang Asli yang agak terkebelakang sekiranya tiada bantuan dihulurkan. Walau bagaimanapun, masyarakat Orang Asli masih lagi terdedah dengan penyakit berjangkit disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kebersihan diri terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Sebagai satu daripada kaedah paling mudah dan berkesan untuk mengekang jangkitan, langkah menjaga kebersihan tangan perlu dititikberatkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Mencuci tangan dengan cara yang betul ialah langkah terbaik untuk mengawal dan mengurangkan penyebaran penyakit kerana tangan merupakan pengantara utama kuman disebarkan. Membasuh tangan menggunakan sabun dan air, dengan tempoh mencuci tangan sekurang-kurangnya 20 saat disyorkan.

Modul “Tiada Kuman pada Saya untuk Kanak-kanak Orang Asli”

Oleh kerana kanak-kanak harus diajar seawal mungkin untuk menjadikan membasuh tangan sebagai amalan, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Unit Kawalan Jangkitan dan Epidemiologi, Hospital USM dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi telah mengadakan Program Pemerkasaan Kesihatan Kanak-kanak Orang Asli dalam aspek kebersihan tangan dengan menggunakan modul “Tiada Kuman pada Saya untuk Kanak-kanak Orang Asli” (No Germs on Me for Aborigin Kids). SK Pasir Linggi merupakan sekolah anak Orang Asli yang mempunyai sejumlah kira-kira 80 orang murid tahun satu hingga tahun enam dan terdiri daripada anak Orang Asli penduduk Kampung Pasir Linggi, Gua Musang. Terdapat juga anak Orang Asli dari Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring, Gua Musang yang tinggal di asrama sekolah ini kerana jarak yang jauh antara sekolah dengan rumah mereka, iaitu kira-kira 100 kilometer.

Program Pemerkasaan Kesihatan Kanak-kanak Orang Asli diadakan bagi murid SK Pasir Linggi.

Program Pemerkasaan Kesihatan Kanak-kanak Orang Asli SK Pasir Linggi dalam aspek kebersihan tangan menggunakan modul “Tiada Kuman pada Saya untuk Kanak-kanak Orang Asli” merupakan program tajaan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM yang bertujuan untuk memupuk kesedaran kebersihan tangan dalam kalangan murid Orang Asli. Amalan cucian tangan yang betul telah diajar kepada murid dan juga kepada para guru supaya dapat membantu memupuk amalan menjaga kebersihan tangan dalam rutin harian. Program ini juga bertujuan untuk mendidik murid mengenai kepentingan tabiat kebersihan yang bagus termasuk enam langkah mencuci tangan yang betul mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Modul pengajaran disesuaikan agar murid Orang Asli dapat memahami pengisian yang diberikan.

Modul pengajaran amalan cucian tangan yang biasa diajarkan untuk kanak-kanak bukan Orang Asli telah banyak digunakan secara meluas. Walau bagaimanapun, modul ini kurang sesuai dipraktikkan kepada kanak-kanak Orang Asli kerana pendekatannya yang kurang bersesuaian. Modul “Tiada Kuman pada Saya untuk Kanak-kanak Orang Asli” menggunakan pendekatan yang berbeza memandangkan masyarakat Orang Asli memerlukan cara penerangan yang khusus dan menarik supaya modul dapat difahami dan diamalkan. Dalam proses pembangunan awal modul, pertemuan awal dengan murid Orang Asli telah diadakan bertujuan untuk melihat sejauh mana tahap penerimaan murid Orang Asli terhadap sesuatu yang baru. Kebanyakan mereka tidak pandai membaca dan menulis dan kurang faham dengan perkara yang diajari. Mereka lebih suka mempelajari sesuatu secara santai dan tidak memerlukan nota, atau mengingat sesuatu perkara.

Terdapat juga murid yang pasif dan hanya bercakap menggunakan bahasa Bateq, iaitu bahasa kaum mereka walaupun mereka memahami bahasa Melayu dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Oleh itu, modul dibangunkan dengan memasukkan lebih banyak elemen bergambar, suasana alam sekitar dan persekitaran hutan yang lebih serasi dengan mereka. Dengan bantuan guru, terjemahan kepada bahasa Bateq telah dibuat bagi penerangan tentang asas kebersihan dan cucian tangan. Hal ini bagi memastikan murid dapat memahami dengan mudah pengajaran yang dilakukan dengan melihat pada gambar (bagi yang tidak pandai membaca) dan menggunakan ayat mudah dalam bahasa Bateq (bagi yang pandai membaca).

Demonstrasi cara mencuci tangan.

Modul ini juga merangkumi demonstrasi cucian tangan yang diajarkan kepada setiap murid. Latihan semula turut diadakan selepas tiga bulan untuk memastikan amalan ini sentiasa diingati dan diamalkan sepanjang masa. Sesi latihan kepada guru juga turut diadakan supaya guru dapat mempraktikkan amalan ini kepada murid walaupun selepas program tamat. Modul ini dilengkapi dengan beberapa aktiviti yang dapat menerapkan pemahaman tentang keperluan melakukan cucian tangan. Selain itu, konsep ganjaran turut diberikan secara berkala kepada murid yang terpilih kerana mengekalkan amalan cucian tangan yang betul. Kerjasama daripada guru sangat penting kerana kebanyakan aktiviti yang terdapat dalam modul merupakan aktiviti yang dapat melestarikan amalan cucian tangan sepanjang masa walaupun selepas program tamat.

Lawatan kedua selepas tiga bulan modul diperkenalkan mendapati murid masih lagi mengamalkan cucian tangan yang betul. Mereka juga dilihat dapat mengajarkan semula kaedah cucian tangan yang betul selepas diminta berbuat demikian. Perkara ini menunjukkan penggunaan modul ini sangat berkesan untuk memastikan kelestarian amalan cucian tangan dalam kalangan murid Orang Asli.

Dengan adanya modul ini diharapkan amalan cucian tangan yang betul dapat dikekalkan dan seterusnya dapat mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan murid Orang Asli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.