Oleh Alauddin Sidal
31 Ogos 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menerusi pemilihan diksi yang menikam kalbu, puisi Jiwa Hamba karya Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Dato’ Usman Awang begitu mengesani jiwa kerana “dalam lembut ia menyentak, dalam halus ia membentak”. Perhatikan sahaja bait terakhir sajak tersebut yang mengungkap kata-kata tajam mengobarkan semangat:

Ingatkan kembali kata sakti,
Dari bahang kesedaran berapi,
“Di atas robohan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka”.

Mengisi jiwa merdeka sewajarnya dipenuhi dengan nilai patriotisme dan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk menumpahkan sepenuh taat setia kepada negara. Hakikatnya, upaya memaknai jiwa merdeka harus dijelmakan melalui kesediaan rakyat untuk mengisi agenda pembinaan negara bangsa yang menjadi cita-cita bersama-sama.

Ukuran patriotisme rakyat terletak pada sejauh manakah kesanggupan mereka berkorban dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya?. Menjadi rakyat berjiwa merdeka boleh bermula dengan “pengorbanan” yang nampak ringan tetapi penuh bermakna, seperti mengibarkan bendera Jalur Gemilang semasa menyambut kehadiran Bulan Kebangsaan.

Bulan Kebangsaan sentiasa bersemarak dengan pelbagai pengisian yang berteraskan kenegaraan. Bukan sekadar untuk memeriahkan suasana sambutan, acara yang dilaksanakan sepanjang Bulan Kebangsaan bertujuan untuk memupuk nilai patriotisme dan rasa kecintaan rakyat terhadap negara. Kempen mengibar Jalur Gemilang merupakan satu daripada acara yang dapat menyerlahkan nilai patriotisme rakyat. Sebagai rakyat yang cinta akan negaranya, Jalur Gemilang harus diberikan penghormatan tinggi kerana bendera melambangkan identiti bangsa dan simbol kedaulatan negara.

Setiap warga perlu memiliki kesedaran bahawa penghormatan ke atas bendera negara adalah simbol patriotisme dan nasionalisme yang perlu dihayati. Selain itu, setiap rakyat harus menzahirkan perasaan gembira dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Jika sepanjang Bulan Kebangsaan ini kita melihat Jalur Gemilang berkibar megah di sana sini, pastinya rasa bangga tumbuh mekar di sanubari kerana kita berada di bawah lembayung langit merdeka dan memijak bumi pusaka yang tercinta, aman lagi sejahtera.

Namun begitu, mutakhir ini sambutan Bulan Kebangsaan diraikan tidak semeriah dahulu dan semakin hambar. Kedatangan Bulan Kebangsaan seperti tidak membekas dan membawa makna dalam hati rakyat Malaysia. Barangkali selepas menempuhi pasca-COVID-19 ini, masyarakat masih belum pulih sepenuhnya daripada sisi dekadensi kesan pergulatan politik, ketidaktentuan ekonomi dan jungkir balik sosial. Tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa, masih terdapat individu yang belum tergerak hati untuk mengibarkan Jalur Gemilang, sama ada di premis kediaman, perniagaan atau kenderaan. Seperti tiada sambutan yang istimewa berlaku pada bulan Ogos dan September di negara ini.

Mungkin ada yang mempersoalkan tentang cara mempamerkan rasa cinta dan penghayatan terhadap negara bukan hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang,  namun terdapat banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk menunjukkan nilai patriotisme dan perasaan cinta akan negara. Namun begitu, sekecil-kecil pengorbanan inilah yang boleh kita lakukan sebagai testimoni kecintaan dan kehormatan rakyat terhadap ibu pertiwi. Bukankah dengan mengibarkan bendera itu merupakan cara paling mudah untuk menzahirkan rasa cinta akan tanah air?

Tanggapan mengenai mengibarkan bendera hanyalah sekadar simbolik dan bukan keutamaan untuk menzahirkan rasa bangga dan saying akan negara, perlu segera diubah. Bendera bukan sekadar lembaran kain biasa, tetapi merupakan lambang kedaulatan dan identiti negara. Perkara yang mungkin dianggap remeh oleh sebahagian orang, iaitu perlakuan mengibarkan bendera, boleh membawa seribu pengertian dan mampu membakar semangat seluruh rakyat.

Tidak dinafikan bahawa masih terdapat masyarakat yang bersemangat tinggi dan sanggup berkorban tenaga, masa dan wang ringgit untuk menghiasi pelosok jalan, kenderaan dan kediaman dengan Jalur Gemilang, tetapi malangnya, masih banyak yang menjadi penonton dan tidak mengendahkan kehadiran Bulan Kebangsaan ini. Berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis, amalan mengibarkan bendera masih belum menjadi budaya yang bersemi di hati dan sanubari rakyat Malaysia.

Jika semakin ramai yang bersikap tidak kisah, enggan mengambil cakna dan menganggap Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu tidak penting, akhirnya nanti sambutan kemerdekaan negara tidak akan membawa apa-apa pengertian, kecuali untuk berlibur bersempena dengan hari cuti kelepasan am semata-mata. Sekalipun banyak aktiviti dan program telah diatur oleh pemerintah bagi tujuan tersebut, sambutan tidak akan bermakna jika rakyat sendiri tidak mempunyai keinginan untuk turut sama memeriahkannya, termasuklah dengan mengambil bahagian dalam amalan mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurut The McCourtney Institute for Democracy menerusi PennState McCourtney Institute Mood of the Nation Poll (June 7th-9th, 2019), sebahagian rakyat Amerika Syarikat berpendapat bahawa menjadi warganegara yang baik dan mematuhi undang-undang sudah cukup untuk menganggap diri mereka sebagai “rakyat yang patriotik”. Kajian dalam bidang psikologi politik oleh Markus Kemmelmeier dan David G. Winter (2008) pula mendapati bahawa amalan membawa dan mengibarkan bendera dalam kalangan masyarakat negara Uncle Sam itu begitu terserlah semasa negara berhadapan dengan krisis atau peperangan bagi menunjukkan nilai nasionalisme mereka, berbeza ketika negara berada dalam waktu aman.

mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila diajukan pertanyaan mengenai mengapakan rakyat negara ini jarang mengibarkan Jalur Gemilang? Beliau telah memberikan respons bahawa “Keadaan sudah berubah, mereka sudah hidup senang-lenang, dengan itu mereka percaya merdeka satu perkara biasa sahaja”. Menginsafi pelbagai tantangan getir dan jerih perih yang perlu dilalui oleh nenek moyang terdahulu sebelum berjaya mencapai kemerdekaan negara. Pengalaman tersebut pasti tidak akan dapat dilupakan oleh generasi terdahulu. Mungkinkah kerana generasi masa ini tidak merasai kesusahan tersebut maka semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan tidak menyentuh emosi dan naluri mereka?

Amat mengecewakan apabila melihat nilai patriotisme masyarakat kian meluntur dan kebanyakan golongan muda tidak mengambil peduli akan amalan mengibarkan Jalur Gemilang. Menerusi Indeks Belia Malaysia 2022 yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, skor patriotisme belia negara adalah 63.37, iaitu pada tahap “sederhana”, manakala nilai penyertaan mereka dalam aktiviti politik, kenegaraan dan demokrasi pula, ialah 34.66, iaitu pada tahap “sangat tidak memuaskan”. Jika masih ada rasa setia, kasih dan sayang akan tanah air, generasi era digitalisasi tidak harus alpa dan melupakan tugas mereka untuk mengisi agenda kemerdekaan dan melestarikan kedaulatan tanah watan ini. Seharusnya jiwa merdeka perlu terus mekar dan bersemarak dalam diri setiap generasi anak bangsa.

Mungkin sesetengah pihak terutamanya generasi baharu, lebih selesa menggunakan media sosial untuk menzahirkan semangat patriotik mereka. Walau bagaimanapun, kita bukan hidup di alam maya, oleh itu sebaik-baiknya rasa cinta akan negara ditunjukkan di alam nyata. Jalur Gemilang yang kita pamerkan di media sosial hanya akan berkibar di alam maya. Keadaan ini pasti akan memberikan impak jika kita turut sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan kenderaan masing-masing.

Berbeza dengan sesetengah negara, rakyatnya bukan sahaja berbangga dan menghormati bendera kebangsaan, bahkan ada yang menganggap bendera sebagai suatu yang suci. Mengambil negara Thailand sebagai contoh, rakyatnya tanpa mengira peringkat umur, teguh melestarikan adat resam dan tradisi warisan dengan memasang gambar bendera (thong trai rong) bersama-sama potret raja. Tidak terhad ketika musim perayaan atau sambutan kemerdekaan semata-mata. Kebanggaan dan penghormatan terhadap bendera negara juga terpamer menerusi sambutan Hari Bendera Kebangsaan (Thai National Flag Day) yang disambut meriah setiap tahun.

Di negara jiran seperti di Indonesia pula, apresiasi rakyat negara itu terhadap sejarah perjuangan bangsa dan pembinaan negara bangsa amat mengagumkan. Di Indonesia, bendera Sang Merah Putih berkibar megah menghiasi sepanjang jalan tidak kira sama ada di bandar atau di kampung ketika sambutan Bulan Kemerdekaan bukanlah satu pemandangan yang luar biasa. Rakyat negara tersebut menantikan detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat. Mereka mengibarkan bendera negara bagi membuktikan semangat patriotic demi kelangsungan hidup dan kedaulatan bangsa Indonesia.

Mengapakah semangat dan perasaan seperti itu sukar ditemui pada sebahagian besar masyarakat di negara Malaysia? Menginjak usia 67 tahun kemerdekaan negara, masyarakat masih lagi perlu diingatkan tentang kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali negara menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Bukankah memalukan apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan dan mengarahkan semua pihak – setiap jabatan dan komuniti, kedai dan warung, kota dan desa, rakyat kaya dan miskin – mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sepanjang tempoh sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Tidak tersentakkah kita apabila sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 beliau bertanya secara sinis, “… apa yang sukarnya untuk mengibarkan Jalur Gemilang, sedangkan orang dahulu mengorbankan segalanya, ibu di kampung mengeluarkan rantai dan perhiasan menjadi tabung untuk perjuangan memerdekakan negara?” Dalam konteks “pengorbanan” menyambut Bulan Kebangsaan ini, beliau tidak meminta rakyat mendermakan cincin atau jam atau harta benda, sebaliknya beliau hanya meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang.

Tidak dinafikan bahawa sektor swasta telah banyak memberikan sumbangan kepada negara, namun aspek patriotisme dan kenegaraan tidak harus dikesampingkan dalam mengejar keuntungan. Perlu difahami bahawa untuk mengunjuk jiwa patriotik dengan mengibar bendera bukan isu pinggiran dan bersifat remeh-temeh. Mengibarkan Jalur Gemilang bukan isu kaum, bukan isu asal-usul, bukan isu pekerjaan, bukan isu kedudukan, bukan pula isu fahaman politik, tetapi soal jati diri dan harga diri. Mengibarkan Jalur Gemilang adalah untuk menyuburkan rasa cinta akan negara, untuk menggelorakan semangat patriotik rakyat bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan dalam diri setiap anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, etnik, kelas sosial dan wilayah.

Menyambut Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang jauh melangkaui amalan bersifat ritual, sebaliknya merupakan satu proses memupuk, mengasuh dan mengasak kukuh semangat patriotik rakyat, bagi membina negara yang dihormati dan dipandang tinggi. Hanya dengan semangat patriotik yang kukuh inilah mampu menerbitkan rasa cinta akan negara dan bersedia berkorban untuk mempertahankan kedaulatannya.

Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Kibaran Jalur Gemilang boleh menjadi stimulus mengukuhkan semangat perpaduan dan nilai penghormatan terhadap negara yang dicintai. Dengan kepelbagaian kaum, agama, wilayah dan budaya, patriotisme menjadi pasak pemersatu bagi mengukuhkan kesedaran nasional dalam membentuk jati diri rakyat Malaysia. Keadaan ini juga bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan benteng pertahanan negara dalam menghadapi ancaman luar, agar Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Peneguhan jati diri menerusi pengibaran Jalur Gemilang juga menandakan komitmen dan iltizam rakyat untuk terus memacu kemajuan negara menerusi pemikiran yang demokratik dan matang. Rakyat tanpa mengira kaum harus kekal berdiri teguh melangkah ke hadapan bagi mencapai aspirasi dan agenda kemajuan. Menerusi perpaduan yang teguh, segala persengketaan dapat dielakkan agar negara terus maju dan dihormati sebagai pemain utama di persada global setanding dengan negara maju lain.

Lantaran itu, sikap masyarakat yang kurang bersemangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang perlu diubah kerana bendera menjadi simbol pengorbanan, kebebasan dan kebanggaan rakyat. Menerusi kempen kibaran Jalur Gemilang, ibu bapa dan pendidik sepatutnya mengambil peluang ini dengan menerapkan pengetahuan dan semangat kemerdekaan kepada generasi pewaris. Mereka boleh menerangkan tentang makna kemerdekaan dan mendidik generasi muda dengan kebanggaan dan kesyukuran kerana mereka bernaung dan menghuni negara yang bebas, merdeka dan berdaulat. Tiadanya rasa bangga terhadap negara, tiada kesanggupan untuk berkorban walaupun dengan perkara mudah seperti mengibarkan bendera, boleh menjadi sesuatu perkara yang memalukan kerana ditanggapi sebagai refleksi pudarnya semangat cinta akan negara.

Mengibarkan bendera dapat menunjukkan nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan. Apalah maknanya sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tanpa kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Pengibaran Jalur Gemilang mempamerkan kemegahan kita dengan menghayati maksud sebenar kemerdekaan. Walaupun hanya perbuatan kecil yang mungkin tiada sesiapapun memberikan penghargaan, sekurang-kurangnya kita boleh berbangga kerana mampu menzahirkan semangat patriotik dan menyerlahkan jiwa merdeka.

Amalan mengibar Jalur Gemilang seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan rakyat kerana usia kemerdekaan negara telah menjangkaui 67 tahun. Rakyat tidak seharusnya menunggu sehingga ketibaan program sambutan Bulan Kebangsaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Sebagai lambang kedaulatan serta kemerdekaan negara, pengibaran Jalur Gemilang merupakan manifestasi paparan kasih terhadap tanah watan yang menggamit orang di sekeliling untuk turut sama menjiwai erti kemerdekaan.

Malahan tidak ada cacat celanya jika Jalur Gemilang dikibarkan sepanjang masa meskipun melewati sambutan Bulan Kemerdekaan. Malaysia merupakan negara dan tanah tumpahnnya darah kita semua. Jika bukan kita yang mengibarkan Jalur Gemilang, maka siapakah lagi yang perlu diharapkan? Marilah kita mengucapkan rasa kasih akan negara dan melaungkan semangat saying akan tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.