Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMasyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam telah dikejutkan dengan pembongkaran yang berlegar dalam ruang media berikutan isu status pensijilan halal di beberapa buah rangkaian restoran terkemuka di negara ini. Kekecohan ini didedahkan dalam ruang maya disebabkan restoran terbabit sering dikunjungi apabila menghidangkan masakan yang dianggap halal dan boleh dimakan oleh masyarakat Islam.
Penulisan ini tidak berniat untuk mencetuskan sentimen agama, namun sebagai pencerahan kepada segelintir individu yang tidak memahaminya. Kita sendiri akan membuat suatu perhitungan sama ada pengiktirafan ini merupakan suatu keperluan atau pilihan kepada pemilik rangkaian makanan tidak kira sama ada melibatkan restoran atau produk yang dipasarkan.
Persoalannya, apakah pensijilan halal ini dan siapakah yang memberikan pengiktirafan tersebut? Umum mengetahui bahawa halal itu sendiri bermaksud dibenarkan atau sesuatu perbuatan yang diizinkan. Dalam konteks makanan dan minuman, status halal adalah perkara yang wajib serta penting untuk dikenal pasti oleh umat Islam kerana membabitkan soal kehidupan seseorang Muslim tersebut dari segi ibadah dan sebagainya. Berbalik pada persoalan utama, pensijilan halal di Malaysia merupakan proses penting untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat Islam memenuhi standard Syariah. Pensijilan halal tidak hanya terhad kepada makanan, malah turut meliputi produk farmaseutikal, kosmetik, barangan dan perkhidmatan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai JAKIM merupakan agensi utama yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan pensijilan halal di Malaysia. Jabatan ini memastikan setiap produk yang disahkan halal memenuhi garis panduan Islam, yakni merangkumi bahan-bahan yang digunakan, proses pembuatan, penyimpanan dan pengedaran.
Bagi memohon pengiktirafan tersebut, pihak JAKIM telah menetapkan beberapa proses atau prosedur kepada individu atau syarikat yang memohon. Antaranya, mereka perlu menghantar permohonan melalui proses menghantar permohonan melalui Sistem e-Halal. Seterusnya, mereka perlu menyediakan dokumen yang menunjukkan bahawa sumber bahan mentah, proses pengeluaran dan pengurusan premis untuk proses audit halal oleh pihak yang dilantik oleh JAKIM sendiri. Setelah melalui segala proses ini, sijil Halal akan diberikan jika semua kriteria tersebut dipenuhi.
Pada masa yang sama,, syarat pensijilan halal turut diperketat, iaitu mesti bebas daripada bahan yang diharamkan termasuklah penggunaan daging khinzir serta daging haiwan yang tidak disembelih mengikut panduan Islam. Selain itu, proses pembuatan serta pengendaliannya mestilah dihasilkan di premis yang bersih dan tidak bercampur baur dengan bahan yang haram. Tidak dapat dinafikan bahawa prosedur serta syarat yang dikenakan agak rumit sehingga mendapat tohmahan serta kritikan oleh segelintir individu termasuklah seorang wakil rakyat. Perkara ini berlaku berkemungkinan atas faktor ketidakfahaman individu tersebut terhadap peranan pensijilan halal itu kepada kesejahteraan masyarakat dan ekonomi itu sendiri.
Oleh sebab itu, bagi menjawab persoalan pokok, iaitu sama ada pilihan atau keperluan terhadap pensijilan halal ini, kita perlu memahami realiti semasa, iaitu pasaran halal yang bukan sahaja semakin mendapat tempat di pentas antarabangsa, malah turut membabitkan negara yang minoriti Islam. Terdapat pelbagai faktor yang memangkinkan ke arah pemilihan makanan berstatus halal daripada masyarakat setempat sehinggalah ke peringkat antarabangsa.
Kesedaran terhadap Kesihatan
Makanan berstatus Halal tidak sekadar bersangkut paut dengan ajaran Islam yang sebilangan masyarakat anggap hanya sekadar bentuk ritual atau tuntutan agama semata. Akan tetapi, manfaat makanan halal ini lebih luas dan banyak memberikan penumpuan kepada kesihatan tubuh badan itu sendiri. Sebagai contoh, bahan berunsurkan khinzir serta mengandungi alkohol sama ada rendah mahupun tinggi ditegah dalam kandungan makanan yang berstatus Halal. Hal ini telah dibuktikan dari sudut saintifik terhadap kesan pengambilan bahan tersebut ke atas tubuh badan manusia.
Dr. Sam Ghali, seorang doktor dari Universiti Florida telah mengambil inisiatif dengan menggunakan media sosial untuk berkongsi imej seorang pesakit mempunyai tanda-tanda jangkitan parasit yang dinamakan Sistiserkosis. Sistiserkosis berlaku apabila larva spesies cacing pita memasuki tisu dan organ manusia seperti otot atau otak. Hasil beberapa kajian mendapati bahawa daging khinzir atau bahan berunsurkan khinzir berupaya mewujudkan cacing parasit tersebut dalam tubuh badan.
Selain itu, penggunaan bahan yang mengandungi alkohol berupaya membantutkan keupayaan kognitif untuk berfikir serta membuat keputusan. Hal ini mengakibatkan seseorang itu tidak dapat menjalankan rutin hariannya sebagai manusia yang normal dan bertanggungjawab. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat banyak penerangan yang lebih mendalam berkenaan asbab larangan penggunaan bahan berunsurkan khinzir, alkohol serta tidak disembelih dengan cara yang betul dalam produk berstatuskan ini. Dengan penerangan tersebut sekurang-kurangnya dapat menunjukkan bahawa masyarakat kian sedar akan kualiti produk berstatus halal yang dijamin tidak dicemari oleh unsur-unsur yang tidak mengikut syarak. Tahap kesedaran ini bukannya sesuatu yang mudah kerana memakan tempoh yang agak panjang.
Oleh itu, adakah pensijilan halal ini merupakan keperluan atau pilihan? Jawapan yang paling bernas dan adil terletak kepada penilaian rasional pembaca. Cukuplah sekadar kita mengambil tahu dan cakna terhadap realiti semasa berkenaan isu pensijilan ini. Kita tidak mahu perkara ini terus menjadi polemik yang bermusim dan diperhangat dengan campur tangan suara-suara sumbang yang mahu mengambil kesempatan terhadap isu ini. Kita perlu melihat isu ini tidak hanya sekadar sentimen, namun ke arah pemikiran yang lebih terbuka dalam menerima pendapat dan menyedari keperluan semasa terhadap produk, makanan, minuman atau apa-apa sahaja perkara yang memerlukan pengesahan halal oleh pihak berautoriti.