Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPelantar media sosial kini membuka ruang yang lebih luas kepada kanak-kanak untuk terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah dan eksploitasi siber. Laporan kes eksploitasi terhadap kanak-kanak terus meningkat dengan perkembangan teknologi menjadi satu daripada penyebab utama. Penggunaan Internet dan media sosial yang semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah ini.
Kecanggihan teknologi komunikasi pada masa ini membolehkan kita berhubung tanpa had masa dan jarak, namun keadaan ini juga memudahkan penjenayah seksual mendekati kanak-kanak dengan lebih cepat dan mudah. Antara bentuk eksploitasi yang sering melibatkan kanak-kanak termasuklah antunan seksual (sexual grooming), pornografi dan pemerasan (sextortion), yang akhirnya membawa kepada amang seksual.
Untuk mencapai matlamat memanipulasi kanak-kanak sebagai mangsa, penjenayah akan melalui proses yang dikenali sebagai pengantunan seksual. Keadaan ini merupakan proses penjenayah membina hubungan mesra antara kanak-kanak dengan persekitarannya dan berusaha untuk melakukan serangan seksual pada masa hadapan. Perbuatan ini melibatkan usaha untuk mendapatkan akses kepada kanak-kanak, menjadikan mangsa patuh dan mempercayai mereka, serta memastikan kerahsiaan agar tindakan mereka tidak terbongkar.
Modus operandi penjenayah biasanya bermula dengan membina kepercayaan dan hubungan emosi sebelum memperkenalkan unsur-unsur seksual kepada mangsa hingga mendorong mangsa untuk berjumpa dengan pelaku secara bersemuka. Hal ini akan meningkatkan risiko berlakunya amang seksual, sama ada secara fizikal atau bukan fizikal, terhadap kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak berisiko menjadi mangsa kerana keupayaan mental mereka yang masih muda dan tidak mampu membezakan antara maklumat yang baik atau yang buruk melalui media.
Dalam kebanyakan aduan yang diterima oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) berkaitan dengan antunan seksual, penjenayah lazimnya memperdaya kanak-kanak untuk mendedahkan anggota badan, menggunakan bahasa berunsur lucah, dan menunjukkan gambar atau video pornografi kepada mangsa. Tindakan ini mendedahkan kanak-kanak kepada aktiviti seksual dan menjadikan tingkah laku seksual kelihatan seolah-olah sesuatu yang normal.
Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting dalam melaksanakan langkah pencegahan serta menggalakkan amalan kawalan kendiri dalam kalangan kanak-kanak ketika mereka berada dalam talian, seperti tindakan yang berikut:
Pemantauan oleh Ibu Bapa
Penggunaan peranti pintar secara berlebihan boleh mendedahkan kanak-kanak kepada jenayah siber. Oleh itu, ibu bapa perlu menetapkan peraturan seperti mengehadkan tempoh penggunaan peranti pintar, melarang anak-anak membawa telefon pintar ke dalam bilik tidur dan meletakkan komputer di kawasan terbuka yang mudah dipantau. Selain itu, ibu bapa juga boleh memasang perisian penapis Internet untuk mengawal kandungan yang diakses oleh anak-anak dalam laman web, aplikasi permainan, muzik, filem, televisyen dan buku. Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun oleh ibu bapa dalam peranti pintar anak-anak mereka. Hal ini sekali gus membolehkan mereka menetapkan peraturan asas digital dari jarak jauh, serta membimbing mereka dalam pelajaran, bermain dan meneroka dunia dalam talian.
Mengehadkan Akses Media Sosial
Kawalan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dapat membantu mengurangkan risiko jenayah penyantunan seksual secara dalam talian. Oleh itu, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak untuk mengelakkan mereka terdedah kepada bahan pornografi. Di samping itu, ibu bapa juga harus menapis laman sesawang yang dilayari anak-anak bagi memastikan tiada unsur seksual atau tingkah laku yang tidak sihat. Selain itu, mereka juga perlu menetapkan privasi akaun media sosial anak-anak supaya hanya individu yang dikenali sahaja dapat berinteraksi dengan mereka. Penjenayah sering menggunakan identiti palsu dan menyamar sebagai rakan sebaya untuk memperdayakan kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memantau dan mengenal pasti individu yang berkomunikasi dengan anak-anak mereka di alam maya.
Mengelakkan Perkongsian Maklumat secara Berlebihan
Terma “sharenting” merujuk tindakan ibu bapa yang secara berlebihan berkongsi maklumat mengenai anak-anak mereka dalam media sosial. Perkongsian yang tidak terkawal dalam bentuk teks, gambar, audio, atau video boleh mendedahkan anak-anak kepada pelbagai ancaman berbahaya di alam maya. Gambar dan video kanak-kanak berpotensi untuk disimpan dan disunting oleh penjenayah serta pelbagai pemangsa dalam talian. Maklumat yang dikongsikan juga boleh disalahgunakan oleh individu untuk melaksanakan aktiviti penyantunan seksual, di mana media sosial menjadi satu daripada pelantar utama bagi kegiatan tidak bermoral ini. Oleh itu, ibu bapa harus berhati-hati dan tidak terlalu terbuka dalam mendedahkan sebarang maklumat mengenai anak-anak mereka bagi menjamin keselamatan dan privasi, seterusnya mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
Pendedahan Sentuhan Selamat
Pendedahan mengenai sentuhan selamat perlu diberikan kepada kanak-kanak sejak usia muda. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat sesuai mengikut peringkat umur. Mereka perlu diajar tentang bahagian tubuh badan dengan terma yang betul agar dapat mengenali hak terhadap tubuh mereka dan membolehkan kanak-kanak menyatakan dengan jelas jika berlaku sentuhan yang tidak sesuai. Selain itu, mereka perlu memahami perbezaan antara sentuhan selamat dengan sentuhan tidak selamat. Dengan pendedahan ini, kanak-kanak akan lebih bersedia untuk melindungi diri dan menjaga keselamatan mereka di alam siber dan dunia nyata.
Komunikasi Antara Ibu Bapa dengan Anak
Komunikasi yang baik antara ibu bapa dengan anak dapat meningkatkan rasa saling percaya dan mengelakkan anak-anak merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan ibu bapanya. Kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa dan ahli keluarga cenderung menjadi mangsa jenayah seksual di alam maya. Hal ini demikian kerana mereka yang berasa dipinggirkan lebih mudah menerima dan membentuk hubungan dengan orang yang tidak dikenali. Oleh itu, penting kepada ibu bapa untuk memupuk hubungan yang erat dalam kalangan ahli keluarga agar anak-anak tidak mendambakan kasih sayang dan perhatian daripada pihak luar.
Perlu ditekankan bahawa eksploitasi kanak-kanak secara seksual memberikan kesan jangka panjang kepada mangsa. Jenayah ini jauh lebih memudaratkan daripada kesan serta-merta yang ketara, kerana turut memberikan impak terhadap emosi dan mental mangsa. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu berganding bahu untuk menyediakan persekitaran digital yang selamat untuk kanak-kanak. Ibu bapa yang berperanan sebagai pelindung utama harus peka terhadap ancaman siber yang semakin berleluasa. Antara langkah terbaik untuk mengurangkan risiko eksploitasi kanak-kanak secara dalam talian termasuklah memberikan pendedahan mengenai keselamatan siber dan mempraktikkan amalan kawalan kendiri ketika menggunakan media sosial.
* Di Malaysia, pengantunan kanak-kanak boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun berserta sebatan. Undang-undang ini telah digubal untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada kanak-kanak, melindungi kepentingan dan kebajikan mereka, serta mengadakan pencegahan yang berkesan bagi kesalahan seksual terhadap golongan tersebut.