21 November 2024, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam dunia yang semakin maju dalam pelbagai aspek, perbezaan antara individualisme dengan kolektivisme menjadi semakin penting untuk difahami. Pengenalan konsep ini bukan sahaja memberikan perspektif baharu tentang interaksi sosial, tetapi juga menggariskan cara masyarakat itu berfungsi.

Dari segi sejarah, istilah “individualisme” dan “kolektivisme” mula digunakan secara meluas pada abad ke-19. Sejak itu, istilah ini berkembang dan kini mencerminkan keperibadian dan budaya di kebanyakan negara.

Individualisme merujuk masyarakat dari segi hubungan antara individu yang tidak begitu kuat dan setiap orang diharapkan untuk menjaga diri mereka sendiri. Dalam konteks ini, masyarakat mengutamakan pencapaian peribadi, kebebasan individu dan hak asasi manusia. Sebaliknya, kolektivisme pula berbeza, yakni individu dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar, seperti keluarga, masyarakat atau negara. Dalam masyarakat kolektivisme, identiti dan tujuan individu sering kali diutamakan demi kepentingan kelompok.

Contoh yang jelas dapat dilihat di negara seperti Amerika Syarikat, Australia, dan negara Eropah seperti Denmark dan Belanda, yang semuanya mencerminkan ciri-ciri individualisme yang tinggi. Berbeza daripada negara timur seperti India dan China yang sering menunjukkan kecenderungan untuk hidup secara kolektivisme.

Jika dilihat pada masyarakat Malaysia, di manakah kita? Adakah lebih cenderung kepada budaya individualisme atau kolektivisme? Dalam membuat satu-satu keputusan, adakah rakyat dipengaruhi oleh pendapat masyarakat dan keluarga? Konsep di Malaysia agak menarik kerana didapati bahawa masyarakat Malaysia boleh tergolong dalam kategori kolektivisme dan boleh juga sebagai individualisme.

Dalam kalangan masyarakat kampung, seperti di kawasan FELDA atau rumah panjang, sekiranya mana-mana individu menonjolkan ciri-ciri individualisme, dengan mengabaikan pendapat masyarakat setempat, mereka akan dipandang sinis. Keputusan yang dibuat dan perspektif orang sekeliling adalah berdasarkan norma masyarakat setempat, maka mana-mana pihak perlu peka dan cakna kepada pendapat orang lain. Mementingkan pendapat sendiri, dianggap asing dan dipandang buruk. Sebagai contoh, apabila seseorang wanita Melayu di Kelantan memakai skirt pendek, pastinya dia dipandang pelik. Namun begitu, hal ini berbeza jika insiden yang sama berlaku di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang, masyarakat tidka akan mengambil peduli. Elemen individualisme lebih terserlah di bandar besar berbanding dengan di kampung. Oleh sebab itu, masyarakat di Malaysia disifatkan sebagai unik kerana boleh menjadi individualistik dan kolektivistik, iaitu bergantung pada sesuatu kawasan.

Satu daripada aspek penting yang dapat diperhatikan adalah hubungan antara kekayaan dengan nilai budaya ini. Negara yang lebih kaya cenderung lebih mengamalkan individualistik, sementara negara miskin sering kali lebih bersifat kolektivisme. Hal ini menunjukkan bahawa kemakmuran ekonomi mungkin mempengaruhi cara masyarakat berfikir dan berinteraksi. Sebagai contoh, di negara yang mempunyai kebebasan media yang lebih tinggi dan hak asasi manusia yang lebih dihormati, seperti negara Skandinavia, nilai individualisme kelihatan lebih ketara.

Di negara kolektivisme, seperti di kebanyakan Asia dan Timur Tengah, kebebasan bersuara sering kali terhad dan hak individu tidak selalu diutamakan. Hal ini menunjukkan bahawa dasar politik dan ekonomi berperanan penting dalam membentuk nilai budaya.

Dalam masyarakat individualis, kadar perceraian lebih tinggi dan pasangan sering kali memilih untuk berkahwin berdasarkan cinta peribadi, tanpa terlalu mempertimbangkan pandangan keluarga. Sebaliknya, dalam masyarakat kolektivisme, perkahwinan sering kali diatur oleh keluarga, malah kecenderungan dari segi budaya suami yang lebih tua berkahwin dengan isteri yang lebih muda. Hal ini menunjukkan perbezaan dalam jangkaan sosial dan norma kehidupan.

Satu lagi perbezaan yang menarik adalah dalam kelajuan hidup. Kajian menunjukkan bahawa masyarakat kolektivisme mempunyai kadar kelajuan hidup yang lebih perlahan, yang dapat diukur dengan cara orang berjalan santai. Hal ini mencerminkan nilai yang lebih mementingkan hubungan sosial berbanding dengan pencapaian individu.

Bahasa juga memainkan peranan penting dalam membentuk dan mencerminkan nilai ini. Dalam masyarakat individualis, penggunaan kata ganti diri “saya” lebih lazim, bahkan dalam bahasa seperti Inggeris, iaitu “I” ditulis dengan huruf besar. Di beberapa masyarakat kolektivisme, penggunaan “saya” mungkin dianggap tabu, mencerminkan penekanan pada identiti kelompok berbanding dengan identiti individu.

Perbezaan dalam komunikasi juga boleh dilihat dalam cara interaksi sosial berlaku. Dalam masyarakat individualis, mereka lebih cenderung untuk mengekspresikan pendapat dan keinginan mereka secara langsung, manakala dalam masyarakat kolektivisme, terdapat penekanan dalam menjaga keharmonian dan menghindari konflik. Hal ini boleh membawa kepada situasi apabila individu dalam masyarakat kolektivisme lebih cenderung untuk menyembunyikan perasaan sebenar demi menjaga hubungan baik.

Dalam era digital, penggunaan media sosial juga menunjukkan perbezaan antara kedua-dua jenis masyarakat ini. Masyarakat individualis lebih cenderung menggunakan media sosial untuk mencari interaksi aktif, berkongsi pencapaian peribadi dan membina rangkaian sosial yang luas. Mereka melihat media sosial sebagai platform untuk menunjukkan identiti dan keberadaan mereka.

Sebaliknya, masyarakat kolektivisme mungkin lebih menggunakan platform tersebut untuk berkomunikasi dengan kelompok terdekat mereka dalam mengekalkan hubungan yang kuat dalam komuniti. Penggunaan media sosial dalam konteks ini lebih kepada membina dan memelihara jaringan sosial yang sudah ada dan kurang memberikan tumpuan kepada pengakuan peribadi atau pencapaian individu.

Bagaimanakah perbezaan antara individualisme dengan kolektivisme mempengaruhi identiti mereka? Dalam masyarakat individualis, individu mempunyai identiti yang lebih kuat yang terpisah daripada kelompok. Mereka berasa yakin untuk mengejar matlamat peribadi dan mencipta naratif hidup yang unik. Dalam situasi yang mencabar, seperti menjadi pelarian di tanah asing, individu dalam masyarakat individualis mungkin masih berpegang kepada nilai dan matlamat peribadi mereka, meskipun kehilangan jaringan sosial mereka.

Sebaliknya, dalam masyarakat kolektivisme, identiti individu sering kali diwarnai oleh hubungan mereka dengan kelompok. Pada situasi yang sama, individu mungkin berasa kehilangan bahagian penting daripada diri mereka jika mereka terputus daripada kelompok mereka. Situasi ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya jaringan sosial dalam membentuk dan memelihara identiti.

Di samping faktor sosial dan ekonomi, faktor biologi dan psikologi juga memainkan peranan dalam perbezaan budaya ini. Perbandingan aktiviti otak individu daripada masyarakat kolektivisme dan individualis ketika melihat orang lain dalam kesusahan. Hasil imbasan otak menunjukkan bahawa individu daripada masyarakat kolektivisme mengalami kesakitan emosi yang lebih besar ketika melihat kesedihan orang lain, iaitu mencerminkan kepekaan yang lebih tinggi terhadap kesan sosial dan hubungan interpersonal.

Dari sudut psikologi, perkara ini menarik untuk dibincangkan kerana individu yang melebihkan nilai individualistik dalam kehidupan, didapati lebih berkecenderungan dengan tingkah laku seperti membunuh diri dan stres secara psikologi. Berbanding dengan individu yang menerapkan unsur kehidupan dengan kolektivisme, mereka didapati kurang ke arah tingkah laku yang menjurus kepada bunuh diri.

Misalnya, dalam temu bual penulis ke atas pelarian Korea Utara, individu terbabit mengaku bahawa setelah beberapa tahun tinggal di Korea Selatan, beliau merasakan bahawa dirinya seringkesunyian dan terfikir mahu membunuh diri. Hal ini demikian kerana persaingan di Korea Selatan yang sangat mengutamakan kewangan dan pencapaian, serta kehidupan di bandar yang mengutamakan individualisme. Kebanyakan orang hanya mengambil peduli diri tentang diri sendiri dan tidak bertegur sapa. Beliau kelihatan sugul dan sedih dengan kehidupan yang dilalui di Korea Selatan. Meskipun bebas, beliau berasa sunyi.

Kita tidak mahu menyentuh tentang hal lain seperti kebebasan atau sudut politik. Perspektif yang mahu diutarakan di sini ialah sistem sokongan masyarakat juga memainkan peranan penting. Di Malaysia, jika suatu ketika dahulu wanita sering tinggal berdekatan keluarga, mendapat sokongan keluarga, boleh berbual-bual ketika sunyi dan boleh mendapatkan nasihat orang sekeliling. Namun kini, kaum wanita mula berhijrah dan tinggal jauh di bandar. Sistem sokongan orang sekeliling mula berkurang dan mereka perlu hidup mandiri. Maka itu, tidak hairanlah jika kes yang berkaitan dengan kesihatan mental kini semakin meningkat.

Kita bukan sahaja dipengaruhi oleh lingkungan sosial, tetapi juga oleh psikologi diri. Keadaan ini membawa kepada pemahaman yang lebih holistik tentang cara atau budaya dan individu berinteraksi, dengan menyatukan perspektif psikologi dan sosial dalam satu kerangka.

Natijahnya, pemahaman tentang individualisme dan kolektivisme penting untuk memahami interaksi sosial dalam pelbagai budaya. Dalam dunia global, kesedaran tentang nilai ini dapat membantu kita memahami perbezaan dan memupuk hubungan yang lebih baik antara budaya. Dalam menghadapi cabaran global, mengiktiraf dan menghargai kedua-dua perspektif ini mungkin menjadi kunci untuk membina masa depan yang lebih harmoni dan inklusif.

“Masuk ke dalam kandang kambing mengembik, masuk ke dalam kandang kerbau menguak”, pepatah ini sesuai menggambarkan bahawa seseorang perlu menyesuaikan diri dengan suatu tempat dan keadaan. Jika kita pulang ke kampung yang menjadi kawasan kolektivisme, maka ikutlah adat masyarakat setempat demi menjaga keharmonian. Jika berada di luar negara seperti di Eropah, memilih untuk jadi diri sendiri tidak akan sesekali dipersoalkan. Namun begitu, jangan pernah lupa kepada asal usul diri dan tatasusila yang dipertahankan selama ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.