Oleh Jamiaton Kusrin
28 November 2024, 19:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Shah Alam, meraikan kecemerlangan warga fakultinya dalam Majlis Kecemerlangan FSR 2024 (MKFSR 2024) yang berlangsung di De Palma Hotel, Shah Alam.

Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan individu dan kumpulan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi serta jaringan industri.

Antara penerima anugerah utama ialah YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, Pensyarah Kanan FSR yang berjaya merangkul lima anugerah berprestij, iaitu Anugerah Tokoh Akademik 2023; Anugerah Penulis Prolifik 2023; Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk 2023; Anugerah Jaringan Industri Terbaik (Luar Negara) 2023 dan Penghargaan Ketua Kumpulan RIG Martial Arts and Combat Sports Research Network (AIRBORNE).

Pengiktirafan ini menyerlahkan peranan YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam sebagai pemimpin kumpulan penyelidikan AIRBORNE yang memacu kajian seni bela diri Malaysia, terutamanya silat ke peringkat antarabangsa.

Dalam ucapannya, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam menzahirkan rasa syukur atas sokongan pelbagai pihak. “Pengiktirafan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil usaha kolektif daripada rakan-rakan fakulti, pasukan penyelidikan, serta jaringan industri dan organisasi seperti Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM), Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA), World Silat Federation (WSF), International Martial Arts and Combat Sports Scientific Society (IMACSSS), UNESCO ICM dan Yayasan Digital Malaysia,” ujar beliau.

Beliau turut mengingatkan warga fakulti untuk terus berpegang kepada motto fakulti, “Be The Best, Beat The Rest”, serta motto PSGFM, “Fatani Nusa Bakti”, sebagai panduan untuk mencapai kecemerlangan.

Sebelum ini, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam turut menerima Anugerah Seni dan Kreativiti 2022 (Kelompok Penulisan Kreatif) dalam Anugerah Akademik Universiti (AAU 2022) UiTM, yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang, Januari lalu.

MKFSR2024, yang selari dengan Anugerah Akademik Universiti (AAU) peringkat UiTM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), mencerminkan aspirasi FSR untuk terus mengangkat UiTM sebagai peneraju kecemerlangan akademik dan penyelidikan pada peringkat global.

Kredit Foto: Media FSR UiTM
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.