Diterbitkan pada 17 Disember 2024, 22:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, YB Teo Nie Ching merasmikan Majlis Pelancaran Kursus AI: Memperkasakan Wartawan dalam Pengurusan Kandungan dan Bilik Berita kepada Wartawan di Hotel Everly Putrajaya, hari ini.

Putrajaya – Wartawan perlu dibekalkan latihan yang tepat dan pemahaman yang mendalam tentang teknologi kecerdasan buatan (AI) agar mereka dapat memanfaatkan kelebihannya tanpa menjejaskan integriti kewartawanan.

Demikian menurut Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, YB Teo Nie Ching ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kursus AI: Memperkasakan Wartawan dalam Pengurusan Kandungan dan Bilik Berita kepada Wartawan di Hotel Everly Putrajaya pada malam ini.

Literasi AI dapat meningkatkan tahap kecelikan digital dalam kalangan para wartawan – YB Teo Nie Ching.

Ujar beliau,

Dunia sedang berubah dengan pesat, wartawan perlu bersedia menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, terutamanya dalam menghadapi kemajuan teknologi seperti AI.

Menurut beliau, kemampuan teknologi AI ini dapat membantu wartawan untuk menganalisis data besar dan mempercepat proses rutin, selain memahami tingkah laku pengguna, serta memberikan cadangan berita yang relevan, seperti yang dilakukan oleh platform berita digital seperti Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan The Guardian.

Oleh itu, beliau berkata, latihan yang tepat dan pemahaman yang mendalam tentang teknologi amat penting untuk memanfaatkan tanpa menjejaskan etika dan integriti kewartawanan itu.

Teknologi seperti palsu tulen (deep fake) menjadi ancaman serius kepada ketulenan maklumat.

“Wartawan kini bukan sahaja perlu menyemak fakta, malah turut perlu memastikan bahawa sumber maklumat mereka tidak dimanipulasikan oleh teknologi.

Malaysian Press Institute (MPI) sebagai badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan kapasiti wartawan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan berimpak kepada wartawan dan memastikan penggunaan teknologi yang selamat, serta beretika.

Jelas YB Teo Nie Ching,

Saya difahamkan MPI telah memulakan latihan kewartawanan data, laporan penyiasatan, komunikasi digital serta memperkenalkan program kewartawanan yang merangkumi modul latihan untuk penggunaan AI dalam penyuntingan, penulisan automatik dan analisis data.

“Dengan jumlah 120 pengamal media dan 30 orang pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), saya amat berharap peluang ini digunakan sebaik mungkin,” tambah beliau.

Program ini diadakan selama dua hari di enam wilayah yang akan bermula pada wilayah Lembah Klang, iaitu di Cyberjaya Selangor, Sarawak, Sabah, wilayah selatan di Johor, wilayah pantai timur di Terengganu dan wilayah utara di Pulau Pinang.

Penganjuran program ini disokong oleh SKMM yang berperanan dalam usaha memastikan wartawan mempunyai akses kepada alat teknologi terkini dan berkualiti.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd. Yasin; Pengerusi MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBrs. Puan Nur-ul Afida Kamaludin.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi