Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTahun 2024 akan melabuhkan tirainya dan pelbagai peristiwa telah memahat sejarah sama ada di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa. JendelaDBP pada kali ini merangkumkan sebanyak 25 berita penting yang berlaku sepanjang tahun ini bagi lima kategori utama, iaitu politik, ekonomi, sosial, antarabangsa dan tokoh berprofil tinggi.
Empat Pilihan Raya Kecil (PRK) berlaku sepanjang tahun 2024.
Tahun 2024 menyaksikan empat kerusi yang dipertandingkan dalam PRK dengan dua kerusi berjaya dimenangi oleh parti komponen kerajaan iaitu, Pakatan Harapan (PH) dengan mendapat majoriti undi sebanyak 3,869 di Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Selangor, manakala, Dewan Negeri Mahkota, Johor pula dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada 28 September 2024 dengan mendapat majoriti undi sebanyak 20,648 undi. Dua kerusi lagi tidak memihak kepada kerajaan termasuklah kerusi Sungai Bakap di Pulau Pinang dengan mendapat sebanyak 4,267 majoriti undi dan Dewan Negeri Nenggiri, Kelantan apabila masing-masing dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) dan PAS. PAS telah mendapat majoriti undi sejumlah 3,352.
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17
Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat disempurnakan pada 20 Julai 2024. Pertabalan Baginda diadakan di Balairung Seri, Istana Negara dalam satu upacara yang penuh dengan adat istiadat dan tradisi Raja-raja Melayu. Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat, Khutbah Khas dan Solat Jumaat serta Majlis Santapan Diraja.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat dalam istiadat bersejarah ini. Dengan berlangsungnya istiadat ini, rakyat Malaysia menyaksikan kebesaran dan keunikan warisan kebudayaan Melayu yang dipelihara sepanjang zaman.
Parlimen Malaysia Meluluskan 26 RUU sepanjang Tahun 2024 dan Belanjawan 2025
Sebanyak 26 Rang Undang-undang (RUU) diluluskan sepanjang tahun 2024 antaranya, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan dan Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (N0.2) 2024, RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024, dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024. Dua RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen iaitu RUU Majlis Media Malaysia 2024, yang menjadikan industri media lebih inklusif dan RUU Bernama (Pindaan) 2024.
Dewan Rakyat juga telah membentangkan dan meluluskan Belanjawan 2025 yang diperuntukkan sejumlah RM421 bilion, iaitu RM335 bilion adalah untuk Belanjawan Mengurus manakala RM86 bilion bagi Belanjawan Pembangunan selepas dibahaskan selama lapan hari.
PM Ukir Kejayaan di Pentas Global
Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan hasil daripada lawatan rasmi ke luar negara sepanjang tahun 2024 dan kunjungan pemimpin dunia ke tanah air. Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara-negara sahabat, malah turut melonjakkan pelaburan, meningkatkan eksport negara dan memperkukuh nama Malaysia di persada dunia.
Antara lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara pada tahun 2024 termasuklah ke Singapura, Brunei, Indonesia, China, Australia, Rusia, Jerman, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan, Jepun, India, Peru dan Brazil.
Sebanyak RM115.2 bilion (USD$25.2 bilion) potensi pelaburan telah terhasil daripada keseluruhan lawatan tersebut, antaranya melibatkan Jerman (RM46 bilion), Korea Selatan (RM32.8 bilion), Australia (RM24.5 bilion), Jepun (RM1.45 bilion) dan India (RM4.8 bilion). Selain itu, Malaysia juga menerima 35 lawatan rasmi dan kunjungan hormat daripada pembesar negara asing, termasuklah dari Kemboja, Argentina, China, Kyrgyzstan, Mesir dan Bahrain.
Tun Musa Aman Dilantik sebagai Tuan Yang di- Pertua Negeri Sabah Ke-11
MantanKetua Menteri Sabah, YBhg. Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025. Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada YBhg. Tun Musa pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara. Pada usia 73, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028. Pelantikan YBhg. Tun Musa adalah bagi menggantikan YBhg. Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2024. Pada istiadat sama, YBhg. Tun Musa turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Sebelum ini, beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-14 pada 27 Mac 2003, menggantikan YBhg. Tan Sri Chong Kah Kiat yang memegang jawatan itu selama lima penggal sehingga 12 Mei 2018, menjadikannya Ketua Menteri Sabah yang paling lama memegang jawatan tersebut.
Tahun 2024 menyaksikan prestasi ekonomi yang dinamik di pelbagai wilayah ekonomi, termasuklah Malaysia. Ketegangan geopolitik, kelembapan perdagangan global serta ketidaktentuan ekonomi memberikan cabaran besar, namun langkah strategik setiap negara dan wilayah terus menawarkan prospek pertumbuhan.
Di Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), dasar monetari memainkan peranan penting dalam usaha menstabilkan inflasi, manakala Malaysia mencatatkan pertumbuhan mencatatkan pertumbuhan ekonomi kukuh, berkembang 5.2% pada tiga suku pertama 2024, berbanding 3.8% tahun sebelumnya.
Ekonomi Malaysia tahun ini memfokuskan pada pertumbuhan mampan, kerjasama ekonomi serantau dan antarabangsa serta integrasi elemen digital untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan. Pada peringkat pentadbiran, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik, termasuklah pelaburan teknologi hijau, peningkatan keterjaminan makanan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Berikut adalah sorotan utama perkembangan ekonomi global sepanjang tahun ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Pertama
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang berlangsung pada 13 Jun, membincangkan strategi keterjaminan makanan berimpak tinggi, termasuk projek ladang tenusu dan tanaman bawang, penanaman berteknologi tinggi serta kajian daging kultur. Mesyuarat JKSMN dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha serta Gabenor Bank Negara.
Zon Kewangan Khas Forest City Menawarkan Kadar Cukai Sifar Peratus
Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City akan menjadi lokasi pertama di Malaysia yang menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk “Pejabat Keluarga” (Family Offices) atau firma pengurusan individu kaya, dalam usaha untuk menarik modal antarabangsa.
Inisiatif yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ini bertujuan untuk menarik minat keluarga rakyat Malaysia dan serantau untuk menguruskan kekayaan mereka dari Malaysia, sekali gus merancakkan ekonomi negara. Hadir mencemar duli ialah Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Turut hadir di dalam majlis yang berlangsung 20 September lalu ialah Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, YBhg. Dato’ Zamzuri Abdul Aziz.
Malaysia Bakal Membentuk Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan
Pembentukan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Kebangsaan bertujuan untuk membawa perniagaan Malaysia ke tahap pematuhan dan pelaporan ESG yang lebih tinggi. Pelan ini memberikan fokus kepada usaha untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) agar tidak terbeban dengan kos pematuhan ESG, dengan bantuan latihan oleh syarikat tersenarai awam, multinasional dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis SDG Negara 2024 pada 18 Disember lalu, dengan disertai oleh barisan pemimpin negara termasuklah kedua-dua YAB Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara dan juga Ketua Jawatankuasa Kerja SDG. Delegasi Kementerian Ekonomi telah diketuai oleh YB Menteri Ekonomi dan pengurusan tertinggi kementerian.
Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU)
Peluncuran Pangkalan Data Utama atau PADU pada 2 Januari lalu, menandakan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat dengan memastikan semua yang layak dapat menerima bantuan. Pada masa yang sama, PADU memastikan golongan disasarkan tidak tercicir daripada bantuan. PADU juga dilihat mampu mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan melebihi RM80 bilion. Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyempurnakan Majlis Peluncuran PADU di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Proton e.MAS7, Kereta Elektrik Pertama Proton
Proton e.MAS7, kereta elektrik pertama Proton yang direka untuk memacu negara ke arah masa depan mobiliti hijau ini bukan sekadar simbolik kemajuan teknologi, tetapi juga bukti komitmen Malaysia terhadap agenda kelestarian, matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan aspirasi menjadi peneraju dalam industri hijau global.
Dengan teknologi canggih, reka bentuk aerodinamik dan kecekapan tenaga luar biasa, e.MAS7 adalah langkah besar dalam mengurangkan jejak karbon serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
10 Orang Kru Terkorban Akibat Nahas Helikopter TLDM di Lumut
Malaysia telah digemparkan dengan tragedi melibatkan 10 orang anggota pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter pada 23 April. Kejadian berlaku sekitar jam 9.02 pagi dan disaksikan oleh orang awam sewaktu berlangsung sesi latihan sempena Hari terbuka Almada. Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,Tuan Sayani Saidon mengatakan kemalangan itu berlaku akibat insiden pertembungan kedua-dua pesawat HOM dan Fennec yang hilang kawalan secara melulu dan terjatuh di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang.
SSPA 2024 Diumumkan untuk Membantu Penjawat Awam dan Pesara
Perdana Menteri,YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada seluruh penjawat awam yang bekerja di sektor awam pada 16 Ogos. SSPA juga telah mendapat reaksi positif daripada Persatuan Pentadbiran Awam kerana skim perkhidmatan ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan persekutuan. Malah, usaha ini sudah tentu didokong utuh oleh semua sektor awam sebagai manifestasi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan seluruh warga perkhidmatan awam dijaga dengan baik.
Mahkamah Menjatuhkan Hukuman kepada Enam Bekas Penuntut UPNM
Seluruh negara sebelum ini berduka dengan berita yang menggemparkan, iaitu kes pembunuhan Allahyarham Zulfarhan Omar pada tujuh tahun lalu. Kes ini telah dibangkitkan semula untuk disiasat mengikut undang-undang Malaysia. Mahkamah Rayuan telah mendapati enam tertuduh yang merupakan bekas penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dikenakan hukuman gantung sampai mati pada 23 Julai. Tertuduh ialah Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmuddin, Shobirin Sabri dan Abdoul Hakim Mohd Ali. Kelima-lima tertuduh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala seorang lagi dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 304 Kanun keseksaan, membunuh tanpa niat.
RM50 Juta Diperuntukkan kepada DBP untuk Pemerkasaan Bahasa dan Sastera
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Peruntukan tersebut turut bertujuan untuk mempergiat aktiviti bahasa dan sastera, termasuklah penterjemahan karya agung tempatan dan antarabangsa serta pemeliharaan bahasa kaum minoriti. Selain itu, peruntukan berkenaan merupakan satu penghargaan kepada DBP untuk terus menyemarakkan aktiviti penerbitan dan kegiatan bahasa.
Insiden Tanah Jerlus di Masjid India
Peristiwa tragis yang berlaku di Masjid India pada 24 Ogos yang membabitkan seorang warganegara India bernama Vijayaletcuhmy yang terperangkap dalam lubang tanah jerlus sedalam lapan meter sekitar jam 8.45 pagi mendapat liputan meluas dunia antarabangsa. Ketua Polis Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan termasuk memperluas dimensi pencarian kerana ada kemungkinan mangsa dihanyutkan arus deras dalam longkang bawah tanah di kawasan itu. Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut terbabit dalam kerja menyelamat dengan mengerahkan jentera berat seperti jengkaut dan lori pengangkut di lokasi kejadian.
Tahun 2024 turut menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku di luar negara, merentasi politik, kemanusiaan, sukan dan alam sekitar. Dari kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat Ke-47 yang mengundang pelbagai reaksi dunia, kepada penderitaan rakyat Palestin yang terus mencetuskan keprihatinan sejagat, setiap peristiwa menggambarkan cabaran dan harapan masyarakat antarabangsa.
Berikut merupakan sorotan utama peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di luar negara.
Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat Ke-47
Calon Parti Republican, Donald Trump kembali memegang jawatan presiden Amerika Syarikat pada 5 November lalu setelah ditewaskan oleh calon Parti Democrats, Joe Biden empat tahun lalu. Donald Trump meraih lebih daripada 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk kembali ke Rumah Putih dengan keputusan rasmi 312 undi Badan Perwakilan Pemilih berbanding dengan 226 undi untuk pencabarnya, Kamala Harris.
Malaysia Mendukung Pembebasan Palestin
Ketika menyampaikan pidato semasa kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil pada 4 Ogos lalu, Perdana Menteri Malaysia menyatakan kepentingan untuk terus bersuara tanpa henti dan jemu akan soal isu Palestin dan Gaza. Beliau menegaskan bahawa pendirian Malaysia adalah jelas yakni konsisten dan bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan Gaza untuk bebas merdeka dari cengkaman dan penindasan rejim Zionis Israel.
Kerajaan juga sedia membawa sebahagian wanita dan kanak-kanak di Palestin yang cedera atau sakit untuk mendapatkan rawatan di negara ini.
Dua Emas, Dua Perak dan Satu Gangsa untuk Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024
Malaysia mencatatkan kejayaan cemerlang di Sukan Paralimpik Musim Panas 2024 yang berlangsung di Paris, Perancis dari 28 Ogos hingga 8 September. Pingat emas diraih oleh Cheah Liek Hou dalam acara Badminton Perseorangan Lelaki SU5 dan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara Powerlifting 72kg Lelaki. Sementara itu, pingat perak dimenangi oleh Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara Olahraga Lontar Peluru Lelaki F20 dan Abdul Latif Romly dalam acara Olahraga Lompat Jauh Lelaki T20. Pingat gangsa pula disumbangkan oleh Eddy Bernard dalam acara Olahraga 100 Meter Lelaki T44.
Persidangan Perubahan Iklim COP29 di Baku
Pada Persidangan Perubahan Iklim COP29 di Baku, Azerbaijan pada bulan November lalu, terdapat beberapa perkembangan penting, tetapi banyak isu utama masih belum mencapai kesepakatan. Berkenaan dengan isu tenaga, majoriti negara gagal mencapai persetujuan dalam memajukan Dialog UAE yang bertujuan melaksanakan cadangan hasil kajian global pertama terhadap dasar iklim (GST). Selain itu, dua sasaran utama, iaitu meningkatkan kapasiti penyimpanan tenaga kepada 1,500 gigawatt dan menambah 25 juta kilometer grid kuasa menjelang 2030, tidak dapat dimuktamadkan akibat perpecahan pandangan mengenai peralihan tenaga dan pembiayaan.
Israel Menyerang Lubnan
Israel telah melancarkan serangan ke selatan Lubnan pada 1 Oktober lalu, menandakan kali keenam Israel menceroboh Lubnan sejak tahun 1978. Serangan ini berlaku selepas hampir 12 bulan konflik antara Israel dan Hezbollah. Pada 26 November, Israel dan Lubnan menandatangani perjanjian gencatan senjata yang dibantu oleh Perancis dan Amerika Syarikat. Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 27 November, meskipun beberapa serangan masih berterusan. Israel melaporkan bahawa 56 tenteranya terbunuh bersama-sama 2,762 pejuang Hezbollah dalam serangan tersebut, manakala kerajaan Lubnan melaporkan sebanyak 2,720 orang di Lubnan terbunuh, kebanyakannya adalah orang awam.
Perginya Bapa Pemodenan Sarawak
Khabar duka melanda negeri Sarawak khususnya tatkala mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pada 21 Februari, pukul 4.28 pagi ketika berusia 87 tahun. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur. Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Negara untuk diuruskan dan disolatkan pada hari yang sama, sebelum diterbangkan ke Kuching untuk penghormatan terkahir. Semua majlis rasmi kerajaan negeri Sarawak ditangguhkan selama dua hari dan menetapkannya sebagai hari berkabung seluruh negeri.
Lee Zii Jia Berjaya Meraih Pingat Gangsa dalam Sukan Olimpik Paris 2024
Usaha jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia untuk membawa pulang pingat dalam Sukan Olimpik Paris 2024 membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat gangsa selepas menewaskan pemain dari India, iaitu Lakshya Sen di Porte de La Chapelle Arena pada 5 Ogos. Beliau menumpaskan pemain nombor 14 dunia dalam perlawanan yang penuh debaran menerusi kutipan mata 13-21, 21-16, 21-11, seterusnya menyumbang pingat kedua untuk negara dalam temasya sukan terbesar tersebut.
Syed Muhammad Naquib al-Attas Terima Pengurniaan Gelaran Porfesor Diraja
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pelantikan profesor diraja kepada Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Watikah pelantikan tersebut disampaikan oleh baginda di Istana Negara pada 23 Oktober berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam gagasan islamisasi ilmu. Syed Muhammad Naquib, 93, ialah individu kedua selepas Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang menerima pengiktirafan gelaran tertinggi tersebut pada tahun 1978. Majlis pelantikan tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Tokoh Ekonomi Negara, Tun Daim Zainuddin Meninggal Dunia
Pemergian mantan Menteri Kewangan, Tun Dato’ Paduka Dr. Che Abdul Daim Zainuddin atau dikenali sebagai Tun Daim Zainuddin pada usia 86 tahun meninggalkan kesan yang mendalam buat negara. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada 13 November. Beliau merupakan tokoh yang penting dalam pembangunan ekonomi negara dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1984 hingga 1991 dan 1999 hingga 2001. Jasa beliau semasa berkhidmat di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada ketika itu telah berjaya menangani isu ekonomi berikutan Krisis Kewangan Asia.
Pengiktirafan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara
Penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin telah diumumkan sebagai Biduanita Negara menerusi penerimaan Anugerah Khas Biduan Negara pada 13 November dalam majlis Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024), anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Beliau ialah individu wanita ketiga yang menerima anugerah berprestij berkenaan selepas Allahyarhamah Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini (2006).
Demikianlah sorotan beberapa peristiwa yang telah meninggalkan pelbagai kenangan, dirakamkan oleh JendelaDBP sepanjang tahun 2024.