Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Pendidikan Antarabangsa merupakan sambutan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan setiap tahun pada 24 Januari untuk meraikan kepentingan pendidikan dalam memupuk keamanan, pembangunan dan pencapaian hak asasi manusia.

Hari istimewa ini dianjurkan bertujuan untuk menonjolkan peranan pendidikan dalam menggalakkan pembangunan global dan keterangkuman sosial serta untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi dalam memastikan akses universal kepada pendidikan berkualiti untuk semua.

Hari Pendidikan Antarabangsa diwujudkan untuk meraikan peranan pendidikan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) 4, iaitu untuk “memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.”

Hari Pendidikan Antarabangsa pada tahun ini bertemakan “AI dan pendidikan: Memelihara agensi manusia dalam dunia automasi” (AI and education: Preserving human agency in a world of automation) yang merupakan refleksi tentang kuasa pendidikan untuk melengkapkan individu dan komuniti mengemudi, memahami serta mempengaruhi kemajuan teknologi dan bukan sebaliknya. Apabila komputer dan sistem yang dipacu AI atau kecerdasan buatan menjadi lebih canggih, sempadan antara objektif manusia dalam pendidikan dan tindakan dipacu mesin sering menjadi kabur, seterusnya menimbulkan tanda tanya tentang cara memelihara, mentakrifkan semula dan secara ideal, sekali gus meningkatkan agensi manusia dalam era pecutan teknologi yang semakin sukar untuk dikawal.

Agensi manusia merujuk kepada keupayaan dan kapasiti individu untuk bertindak secara bebas dan membuat pilihan. Hal ini mengenai autonomi, keupayaan untuk berfikir secara kritis dan kebebasan untuk membentuk sendiri masa hadapan mereka. Dalam pendidikan, agensi manusia merangkumi bukan sahaja melibatkan keupayaan murid untuk belajar, malah turut menyerlahkan keupayaan pendidik, ibu bapa dan murid yang lebih luas untuk membuat keputusan tentang bagaimana, apa dan bila pembelajaran berlaku.

AI telah, sedang dan akan memainkan peranan yang semakin meningkat dalam dunia pendidikan, iaitu daripada platform pembelajaran secara kendiri kepada alat pentadbiran, sistem penilaian dan juga tutor secara maya. Penggunaan AI boleh memberikan banyak manfaat seperti menganalisis gaya pembelajaran murid serta menyediakan kandungan dan latihan yang bersesuaian. Dari perspektif guru, AI boleh memudahkan tugas pentadbiran, membantu mereka untuk lebih fokus terhadap pengajaran dan kurang kebergantungan penggunaan terhadap kertas.

Selain itu, AI boleh merapatkan jurang dalam pendidikan dengan menyediakan sumber pembelajaran kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan atau terpencil. Walau bagaimanapun, tatkala kita teruja menerima dan menggunakan teknologi ini, bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa AI ini menyokong agensi manusia dan bukan menjejaskannya?

Sebagai guru mahupun murid, kita seharusnya mengelakkan kebergantungan secara keterlaluan terhadap AI. Sekiranya teknologi AI adalah pemacu utama reka bentuk kurikulum, penilaian dan maklum balas, elemen ini boleh mengurangkan kapasiti dan kebolehan guru dan murid. Sebagai contoh, jika pencapaian murid ditentukan semata-mata oleh algoritma, hal ini tidak menggambarkan sepenuhnya pengalaman pembelajaran, minat atau potensi mereka. Hal ini bertentangan dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang memperlihatkan pendidikan sebagai usaha berterusan untuk menghasilkan individu yang holistik dan seimbang.

Kita juga perlu sedar bahawa pendidikan bukan hanya tentang penyampaian dan penerimaan maklumat, tetapi juga tentang membina hubungan sesama manusia. Guru bertindak sebagai mentor, ibu bapa kedua murid, memberikan inspirasi dan memupuk kemahiran sosial dan pertumbuhan emosi murid yang mustahil untuk diambil alih oleh AI. Jika AI menggantikan terlalu banyak interaksi manusia, hal ini boleh mengikis kualiti yang menjadikan pendidikan sebagai usaha berpusatkan manusia.

Untuk mengekalkan kapasiti manusia dalam dunia AI yang semakin meningkat, kita perlu menggunakan teknologi tersebut secara sederhana tanpa bergantung sepenuh terhadapnya. AI perlu dimanfaatkan dalam memperkasakan guru. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa AI tidak sesekali berfungsi sebagai pengganti guru, sebaliknya AI harus bertindak sebagai alat untuk meningkatkan keupayaan mereka.

Guru harus mengekalkan keupayaan untuk membuat pilihan pedagogi yang sesuai dan terbaik untuk anak murid mereka, manakala AI boleh memberikan mereka data dan pandangan untuk memaklumkan keputusan tersebut. Sebagai contoh, AI mungkin mencadangkan sumber atau strategi pembelajaran untuk murid, namun akhirnya guru sendiri yang memutuskan cara terbaik untuk memasukkannya ke dalam konteks bilik darjah.

Pendidikan harus menumpukan terhadap pembentukan pemikiran kritis, kreativiti dan kecerdasan emosi iaitu kemahiran yang tidak dapat direplikasi oleh AI. Hal ini bermakna guru digalakkan menggunakan alat pendidikan yang dipacu oleh AI yang menggalakkan murid untuk menyoal, meneroka dan mencipta dan bukannya hanya menggunakan maklumat. Sebagai contoh, AI boleh membantu dalam menyediakan laluan pembelajaran kendiri, serta memberikan ruang kepada murid untuk meneroka ilmu, berhujah dan mengalakkan kolaborasi sesama mereka.

Apabila teknologi AI berkembang, sistem pendidikan juga perlu disesuaikan dengan situasi tersebut. Situiasi ini mewujudkan peluang untuk murid dan guru belajar cara berinteraksi dengan teknologi AI dengan berkesan. Pembelajaran sepanjang hayat harus menjadi asas kepada pengalaman pendidikan dengan pemahaman bahawa murid dan guru perlu terus menyesuaikan diri dengan teknologi baharu dan cabaran etika yang dibawa oleh AI, termasuklah kebergantungan sepenuhnya terhadap AI dan kerahsiaan maklumat murid dan guru.

Sehubungan dengan itu, sebagai langkah ke hadapan, teknologi AI dalam pendidikan harus menumpukan pada kerjasama antara teknologi dengan manusia. AI bukan sahaja boleh membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih dinamik, responsif dan disesuaikan dengan keperluan individu, tetapi mesti dilakukan dengan cara yang dapat menggalakkan kreativiti dan autonomi murid dan guru.

Dalam usaha untuk memelihara kapasiti manusia dalam landskap pendidikan automatik, teknologi AI perlu dilihat sebagai alat sokongan dan bukannya kuasa pengawal. Dengan menggabungkan teknologi AI dengan kebijaksanaan manusia, sistem pendidikan yang melonjakkan murid untuk mencapai potensi optimum mereka, di samping mengekalkan elemen manusia yang penting dalam pendidikan seperti rasa ingin tahu, kreativiti, empati dan pemikiran kritis diharapkan dapat terus diperkasakan.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi