Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 09:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tidak bermaksud untuk menafikan takdir Allah SWT tetapi itulah hakikatnya. Sahabat sastera dan teater menganggap pemergian tokoh teater, Zakaria Ariffin pada usia 73 tahun, memang mengejutkan. Rata-rata semua karyawan seni, bahasa dan sastera menganggap pemergiannya terlalu awal.

Zakaria Ariffin, Pak Zek atau Abang Zek, dianggap masih muda dan bertenaga bukan sahaja untuk mengangkat mata pena, tetapi juga masih gagah mencangkul dan berkebun pada waktu lapang.

Namun begitu, tiada siapa yang boleh menyangkal kehendak Allah SWT. Kita sayang Abang Zek, namun Allah SWT lebih menyayanginya. Maka pada 19 Februari 2025, pukul 2.30 pagi, beliau dijemput pulang.

Penulis tidak ingat bilakah tarikh sebenar penulis mengenali dan mula bersahabat dengan Allahyarham? Tahu-tahu sahaja, penulis sudah berada dalam kelompok sahabatnya apabila sering bertemu dalam majlis sastera dan teater.

Allahyarham Zakaria Ariffin bersama-sama dengan penulis di hadapan Wisma Bernama.

Persahabatan kami berlaku secara semula jadi. Sebagai pengamal media, penulis memang sentiasa bertemu dengan tokoh dari pelbagai bidang seperti politik, perniagaan, akademia, sastera, seni dan bahasa.  Sebut sahaja nama tokoh berkenaan, penulis pasti telah berjumpa. Ada yang menjadi sahabat, namun kebanyakannya hanya menjadi kenalan, yakni kenal, tetapi tidak akrab.

Dengan Zakaria Ariffin, penulis menjadi kenalan dan sahabat walaupun tidak seakrab sahabat beliau yang lain.

Seingat penulis, keakraban dengan beliau mungkin bermula ketika beliau menjadi Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan telah melantik penulis sebagai pensyarah sambilan untuk mengajar mata pelajaran Penulisan Media dan Terjemahan Naskhah di ASWARA.

Keberadaan penulis selama dua semester di ASWARA dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan menimba seberapa banyak ilmu penulisan yang dimiliki oleh Allahyarham selain mengagumi peribadi beliau yang sangat unik.

Allahyarham Zakaria Ariffin, Encik Aris Othman dan penulis berbincang mengenai teater Buat Menyapu Si Air Mata.

Zakaria Ariffin dikenali sebagai seorang tokoh yang tidak pernah menonjolkan diri walaupun berada di puncak kejayaan sebagai karyawan teater dan pentadbir sastera.  Malah tidak ramai yang tahu bahawa beliau merupakan satu daripada penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) yang sangat berprestij, iaitu anugerah yang turut diterima oleh Sasterawan Negara (SN) seperti YBhg. Dato’ Dr. Rahman Shaari, YBhg. Dato’ Dr. Zurinah Hassan, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Dato’ S. Othman Kelantan, YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, YBhg. Datuk Noordin Hassan, YBhg.  Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah, YBhg. Dr. Muhammad Dahlan Abdul Baing atau Arenawati dan YBhg. Dato’ Usman Awang.

Dalam usia yang melebihi usia persaraan, Allahyarham masih lagi aktif bekerja walaupun tidak sepenuh masa. Beliau kerap kali dilihat pada acara sastera dan pementasan teater, berbicara dalam seminar sastera dan wacana teater serta menjadi ahli panel juri.

Ketika penulis mengarahkan pementasan teater Buat Menyapu Si Air Mata karya Allahyarham YBhg. Tan Sri Dr. Awang Had Salleh terbitan Persatuan Teater Malaysia (PTM) pada hujung tahun 2019, Zakaria yang juga ahli Kehormat PTM, hadir pada satu daripada sesi latihan untuk memberikan nasihat dan panduan. Katanya, beliau terpaksa hadir awal kerana tidak dapat menonton pada tarikh pementasan tersebut disebabkan oleh tuntutan tugasan yang lain.

Itulah sekadar coretan kenangan yang mampu penulis catat sebagai penghormatan kepada tokoh besar teater ini.  Penulis kesal kerana pada tarikh Allahyarham kembali ke rahmatullah, penulis perlu berada di luar kota atas tugas yang telah dijadualkan lebih awal.

Bagi menghilangkan rasa bersalah atas kegagalan penulis memberikan penghormatan terakhir pada ketika jenazah Allahyarham dihantar ke alam Barzakh, penulis sempat merakamkan kenyataan beberapa orang tokoh sastera dan teater mengenai pemergian Allahyarham yang telah dianugerahkan sebagai Karyawan Seni Lakon (Pementasan) bersempena dengan Anugerah Seni Negara 2024.

Allahyarham Zakaria Ariffin, Encik Rasdi Daud dan penulis pada pementasan Raja Lawak di Universiti Malaya.

Presiden Persatuan Teater Malaysia, Encik Sakrani Shamsuddin turut bersedih dengan pemergian Allahyarham Zakaria Ariffin. Menurutnya:

Kita kehilangan legenda seni persembahan tanah air yang telah banyak memberikan sumbangan sebagai pendidik dan pengamal seni teater. Sumbangan beliau sebagai ahli kehormat Persatuan Teater Malaysia sangat besar buat industri seni teater tanah air.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata pemergian Allahyarham akan menyebabkan dunia teater berhadapan dengan kelompangan dari sudut tenaga pakar. Beliau berkata:

Beliau masih aktif dan keaktifan itu menjadikan dunia drama di Malaysia ini hidup.  Allahyarham seorang tokoh yang menjadi rujukan dalam bidang drama pentas. Di Malaysia, ketokohannya itu dikira berdasarkan karya serta pandangannya.  Karya beliau misalnya Raja Lawak dan Pentas Opera menjadi penanda aras bagi mutu drama.

“Ketiadaan Zakaria Ariffin diharap akan membuka ruang kepada dramatis yang lain untuk mengambil alih peranan.  Beliau sudah meletakkan asas dengan tanda aras berdasarkan karya besarnya. Adakah akan lahir dramatis yang mampu untuk menyaingi beliau ataupun sekadar menjadi pelapis?” Soal YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan nada penuh harapan.

Presiden Persatuan Penyair Malaysia, SN YBhg. Dato’ Rahman Shaari juga berkata bahawa pemergiannya secara tiba-tiba dan amat mengejutkan sahabat serta peminatnya. Menurutnya:

Zakaria Ariffin ialah tokoh drama yang tidak pernah menonjol diri.  Dia pendiam.  Bakat besarnya terbukti apabila dia berkarya. Dia memperoleh anugerah dalam bidang kecintaannya. Karyanya dihasilkan dengan teliti, bahasa dan jalan cerita sentiasa terjaga.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia, YBhg. Dato’ Radzuan Ibrahim berkata pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar kepada golongan seni, sastera dan budaya tanah air. Katanya:

Zakaria merupakan seorang tokoh yang disegani. Beliau menabur jasa dan melebarkan pengetahuan seni melalui kemahiran dan pengalamannya dalam bidang tersebut selama bertahun-tahun. Muridnya banyak dan karya beliau menjadi khazanah sastera bangsa buat generasi kini dan akan datang. Beliau ialah permata yang sentiasa menyinar, namun kini telah dipulangkan kembali kepada Yang Maha Pencipta.

Sementara itu, wakil Persatuan Badan Budaya DBP yang turut dianggotai oleh Allahyarham Zakaria Ariffin menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan tokoh seniman negara yang telah banyak berjasa khususnya dalam bidang pengembangan kesusasteraan tanah air. Menurut wakil Persatuan Badan Budaya DBP dalam kenyataan melalui aplikasi WhatsApp yang ditulisnya dari China:

Zakaria bukan sekadar penggiat teater tetapi seorang perakam kisah dalam setiap naskhah yang ditulis dan dipentaskan. Setiap skripnya bukan hanya sebuah cerita tetapi cerminan zaman, sebuah renungan dalam bahasa yang penuh makna. Sumbangan beliau dalam Badan Budaya DBP dari mula penubuhan hingga kini sungguh besar maknanya kepada pertubuhan ini. Persatuan Badan Budaya DBP merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga beliau dan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.

Penulis ingin mengakhiri tulisan ini dengan sebuah puisi bagi mengenang tokoh besar dunia sastera dan teater tanah air ini.

Suara Seorang Seniman, Mencipta Sejarah di Pentas Kehidupan

(Mengenang Zakaria Ariffin)

 

karyamu mengembara di pentas masa

kau bawa Matinya Seorang Pahlawan karya Usman Awang ke London

kau kendong Selampit karya Anuar Nor Arai ke Manila

kau kembali ke tanah air bersama Siti Zubaidah

kau perakam sejarah

 

kau lahirkan Pentas Opera dan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris

Raja Lawak melontar sindiran sinis

kau penuhkan pentas dengan makmum

khusyuk mendengar khutbah Imam karya Abdullah Hussein

 

Zakaria Ariffin

kau hadir membuka pentas

mengangkat kehidupan dari sekeping kertas

 

kau pergi meninggalkan pentas

sebuah dunia terbentang luas

 

LETFEE AHMAD

19 Februari 2025

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi