Diterbitkan pada 29 April 2025, 17:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lagu Raya Terbaik Tahun 2025 jatuh kepada… Serumpun!

Tahun bersilih ganti, lagu raya baharu muncul lagi, tetapi yang lama tetap bertakhta di hati. Malaysia merupakan negara paling produktif dalam penghasilan lagu raya dalam konteks perayaan Aidilfitri. Walakin disajikan dengan lagu raya baharu dan moden pelbagai rentak saban tahun, lagu raya klasik malar segar senantiasa menjadi lagu wajib pilihan halwa telinga kebanyakan pendengar.

Mana mungkin anda mampu menipu deria telinga sendiri? Dendang Perantau (P. Ramlee), Selamat Hari Raya (Saloma), Suasana Hari Raya (Sharifah Aini), Bersabarlah Sayang (Sanisah Huri), Menjelang Hari Raya (DJ Dave) merupakan antara lagu raya popular era 1950-1970-an, manakala Dari Jauh Kupohon Maaf (Sudirman), Pulang di Hari Raya (Noorkumalasari), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Kepulangan yang Dinanti (Aman Shah), Suasana di Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina Razak), Senandung Hari Raya Untukmu (Dayangku Intan), Pulanglah (Aishah), Satu Hari di Hari Raya (M. Nasir), Sesuci Lebaran (Siti Nurhaliza) pula merupakan antara lagu raya terkenal dekad 1980-1990-an. Lagu-lagu awal 2000-an juga masih meneruskan ciri dan bunyi terdahulu seperti Aidilfitri di Alaf Baru (Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim, Anis Suraya dan New Boyz), Nazam Lebaran, Air Mata Syawal, Anugerah Aidilfitri (Siti Nurhaliza), Seminggu Berhari Raya (Senario), Warna Warni Aidilfitri (Hattan, Amy Mastura, Nash, Shima, Erra Fazira, Ameng, Kool dan A To Z) dan Manis Manis Lebaran (New Boyz, Sofaz, Lips dan Saidatul Erma).

Pada pendapat penulis, masyarakat kini sudah boleh menerima lagu raya berentak kontemporari pasca 2020. Tahun 2025 ibarat tahun yang membawa tuah bagi penyanyi yang mengeluarkan lagu raya baharu kerana rata-ratanya diterima dengan sangat baik oleh pendengar muzik. Transisi cita rasa muzik masyarakat Malaysia kini lebih kepada lagu santai dan tenang berbanding dengan lagu yang terlalu menampilkan elemen kesyahduan dan melodramatik. Soal tempoh sesebuah lagu itu mampu bertahan akan menjadi isu sekunder.

Jika dihitung berdasarkan jumlah penonton (viewers) yang menonton dan mendengar lagu raya terkini di platform Youtube (setakat artikel ini ditulis), penulis menyenaraikan lagu raya tahun 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan. Antaranya Meriah Lain Macam oleh Hael Husaini dan Nadeera (15 juta), Serumpun oleh Mimifly (10 juta), Nyam Nyam Ketupat oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy (6.9 juta), Raya Pum Pang oleh Fazura dan Syasya Rizal (4 juta), Raya Nak ke Mana oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza (3.7 juta), Janji Happy Hari Raya oleh Iman Troye, Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel dan Alya Mardien (3.4 juta), Raya GenZ oleh Alyssa Dezek, Ara Aziz, Qadejah Aliff Syukri dan Cik B (2.4 juta), Jom Raya oleh Daiyan Trisha dan Alfie Zumi (2.4 juta) dan Raya telah Tiba oleh Wany Hasrita (1.4 juta).

Namun begitu, penulis memilih Serumpun sebagai lagu raya terbaik 2025 berdasarkan beberapa justifikasi. Pertama, gabungan unsur tradisional dan kontemporari dalam sebuah lagu. Menurut Kamus Dewan Perdana (2021), modenisme ialah fahaman dan pendekatan dalam seni yang menekankan kemodenan manakala tradisionalisme merupakan fahaman atau kepercayaan yang berdasarkan tradisi. Serumpun menggabungkan genre seperti rap, pop dan hip hop bagi menggambarkan modenisme manakala genre Melayu Asli mewakili unsur tradisionalisme. Lagu ini dimulakan dengan bunyi tradisional kebiasaan lagu raya dengan lirik “Dah bergema, suara takbir…” menggambarkan kemenangan ikonik umat Islam meraikan ketibaan Syawal dan tanda berakhirnya umat Islam berpuasa selama sebulan. Lagu ini bukan sahaja memuliakan hari penting dalam kalendar Islam, malah turut mengutamakan elemen tradisional yang menjadi simbol warisan turun-temurun citra Nusantara.

Lirik “Bagai serai kita serumpun, bagai sirih tersusun…” pula diambil daripada peribahasa Melayu “Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai”. Masyarakat Melayu sangat kaya dengan peribahasa dan elemen ini diolah dengan baik sebagai lirik yang menjadi nadi dalam lagu tersebut yang juga sinonim dengan peribahasa “Bersatu kita teguh, bercari kita roboh”. Dalam hal ini, amat penting bagi generasi kini mengetahui dan mempelajari peribahasa Melayu kerana hal ini merupakan warisan budaya serta digunakan oleh orang tua-tua sebagai nasihat dan teguran secara kiasan atau sindiran.

Kedua, unsur kebiasaan dalam adat masyarakat Melayu melalui rangkap “Ada ketupat ada rendang, nasi himpit dan kuah kacang, kuih-muih sudah terhidang, kita jemput sekampung datang. Duit raya di dalam sampul, adik-beradik sama berkumpul, ada bunga api ada mercun, biar meletup pom pom pom pom…” Ketupat dan nasi himpit menjadi kelaziman hidangan diletakkan di atas meja pada hari raya pertama biarpun sesetengah negeri mempunyai juadah istimewa masing-masing. Tradisi lain pula, iaitu pada waktu inilah semua adik-beradik pulang ke kampung dan sesi pemberian duit raya sesama ahli keluarga. Begitu juga dengan permainan mercun dan bunga api yang turut memeriahkan keadaan. Melalui rangkap ini sahaja, kita dapat menggambarkan kemeriahan suasana dan peristiwa lazim pada 1 Syawal dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ketiga, penggunaan nasihat secara sindiran yang sangat berkesan. Lirik “Mak Su membawang, mak hiris bawang, mata bergenang. Sakit kan?” menunjukkan sikap orang Melayu yang gemar bercerita pelbagai perihal sambil mengupas bawang sehingga ada kalanya membawa kepada perbuatan mengumpat dan mengata orang lain dan diteruskan lagi dengan rangkap “Pak Tam lenguh perah santan, adik sibuk nak berdandan…” Biarpun disampaikan secara bersahaja melalui nyanyian, tetapi intonasi dan gaya suara pada lirik tersebut jika diamati jelas seakan-akan kedengarannya seperti memerli. Pengajarannya, semua pihak harus melibatkan diri dalam sebarang aktiviti gotong-royong atau persiapan menjelang hari raya seperti mengemas rumah, memasak, membeli keperluan dan bukan hanya goyang kaki sibuk melaram untuk kelihatan cantik berseri sahaja. Sikap saling membantu juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli keluarga lebih-lebih lagi yang jarang-jarang berjumpa.

Keempat, penggunaan rima dalam lirik lagu. Bukan senang untuk mencari bunyi rima yang sama bagi setiap ayat, apatah lagi rangkap yang mampu menyampaikan maksud sama tanpa melarikan naratif penceritaan dalam lagu. Elemen ini berjaya dilakukan dengan sangat baik dan cemerlang oleh penulis lirik lagu Serumpun. Oleh hal yang demikian juga, bunyi lagu tersebut menjadi sedap kerana rima perkataan yang sama dan kebiasaannya digunakan dalam sajak. Bagi menukarkannya, kepada sebuah lagu sebenarnya sedikit mencabar dan sukar kerana lagu mempunyai patah kata yang perlu mengikut tempo dan melodi bersesuaian. Selain itu, durasi lagu Serumpun sepanjang dua minit dan 10 saat sahaja merupakan antara faktor lagu ini boleh diulang dengar banyak kali. Meskipun berdurasi pendek, tetapi mesej yang disampaikan begitu sarat dan tepat.

Penggunaan busana tradisional oleh Mimifly dan penarinya dengan menampilkan elemen Nusantara dalam klip video mendapat pujian ramai penonton.

Kredit foto : Instagram Mimifly

Kelima, penggunaan busana menggambarkan elemen Nusantara. Penulis mengambil cakna tentang isu kontroversi melibatkan video asal yang terpaksa diturunkan di platform Youtube setelah mendapat teguran ahli agamawan. Kerendahan hati Mimilfly dan pasukannya yang sudi menurunkan video asal tersebut wajar mendapat pujian kerana sikapnya yang tidak mudah melatah dan mengakui kekhilafannya terlepas pandang berhubung soal pemakaian yang menjadi sensitiviti umat Islam di Malaysia. Kepelbagaian busana Nusantara dapat dilihat dalam video muzik tersebut apabila bukan sahaja mempamerkan pakaian tradisional Melayu, namun terdapat juga busana tradisional Jawa dan etnik Thai.

Keenam, dari segi koreografi. Tidak ada yang menyangka bahawa penggunaan bahasa isyarat dapat menghasilkan sebuah koreografi menarik dan mudah diikuti? Buktinya, melalui tanda pagar #SerumpunDanceChallenge (cabaran tarian Serumpun), ramai orang mengambil bahagian dengan menunjukkan kreativiti masing-masing. Bukan sahaja masyarakat di pelbagai peringkat umur, malahan bangsa selain Melayu juga turut meraikan lagu dan koreografi Serumpun. Secara tidak langsung, Serumpun berjaya menyatupadukan masyarakat majmuk Malaysia yang kaya dengan tradisi, adat dan budaya. Pendekatan inklusif ini juga menunjukkan komitmen Mimifly terhadap kepelbagaian dan keterangkuman dalam karya seni persembahannya. Bukan itu sahaja, Serumpun juga telah diolah secara kreatif ke dalam beberapa dialek dan loghat negeri seperti Perak, Perlis dan Sarawak.

Ketujuh, penguasaan vokal Mimifly yang cemerlang dalam menguasai semua genre lagu. Disebabkan lagu ini merupakan gabungan antara elemen modenisme dan tradisionalisme, maka perlunya seorang penyanyi yang mampu menyampaikannya dengan sangat baik. Mimifly memberikan justifikasi terbaik terhadap Serumpun berbekalkan pengalaman luasnya dalam bidang seni suara. Penulis meramalkan lagu ini akan menjadi sebuah lagu raya kontemporari malar segar dan pilihan utama pendengar bagi tempoh masa yang lama dek kerana keunikan dan kelainan yang ditampilkan. Jika Serumpun secara konsisten mampu kekal nombor satu saban tahun, Mimifly selayaknya digelar Ratu Lagu Hari Raya.

Tidak sabar menanti hasil buah tangan Mimifly yang seterusnya!

Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-undang, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam. Selain undang-undang, beliau turut menulis tentang isu semasa, tokoh, muzik dan filem.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi