Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan program Nextgen Scholar dengan pelibatan pengetua dan kaunselor dari pelbagai sekolah di sekitar Arau bertempat di Dewan Kuliah 6, UiTM Cawangan Perlis Kampus Arau, semalam.
Program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pihak sekolah mengenai pelbagai peluang pengajian yang ditawarkan oleh UiTM khususnya di UiTM Cawangan Perlis, sekali gus dapat mengukuhkan jalinan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah menengah.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis yang juga merupakan penasihat program, Yang berusaha (YBrs.) Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim menyatakan bahawa inisiatif seperti ini penting dalam memastikan maklumat akademik terus disalurkan kepada pihak sekolah.
“Pihak sekolah seharusnya lebih dekat dengan universiti, agar dapat memainkan peranan sebagai penyampai maklumat tepat kepada pelajar terutamanya dalam suasana pendidikan yang semakin mencabar,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Program, YBrs. Dr. Mohammad Saifulddin Mohd. Azami, turut menekankan kepentingan membina jaringan kerjasama jangka panjang antara UiTM dan pihak sekolah.
“Melalui program ini, hubungan dua hala yang kukuh dapat dibina, bukan hanya sebagai promosi akademik, malah sebagai usaha bersama dalam membentuk masa depan generasi muda,” ujar beliau.
Tambah beliau, program ini diharapkan dapat membantu kaunselor dan pentadbir sekolah menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini kepada pelajar mereka, terutamanya mereka yang berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke UiTM.
Antara pengisian utama program termasuk taklimat khas berkenaan program akademik, laluan kemasukan pelajar, kemudahan kampus, serta inisiatif sokongan pelajar seperti bantuan kewangan dan bimbingan kerjaya.
Program yang berlangsung selama sehari ini turut menyediakan sesi soal jawab bagi membolehkan peserta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada pihak universiti.
UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau komited untuk terus menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang inklusif dan berkualiti serta berperanan aktif dalam pembangunan pendidikan negara.