Diterbitkan pada 3 Jun 2025, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Basikal Sedunia disambut pada 3 Jun setiap tahun. Sambutan ini bertujuan untuk mempromosikan basikal sebagai pengangkutan mesra alam yang memacu pembangunan mapan sektor sosioekonomi penduduk luar bandar atau yang tidak berkemampuan. Menelusuri arus digitalisasi dan globalisasi yang pesat, basikal terus menjadi mod kenderaan mapan dalam menerajui sektor kesihatan, pendidikan, perkhidmatan dan sosial. Hal ini demikian kerana sistem pengangkutan yang mampan akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang baik dan mengurangkan ketidaksamaan jantina. Usaha untuk menyerap impak perubahan iklim juga dapat dikukuhkan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hubungan antara Basikal dengan Kesihatan

Umum mengetahui bahawa aktiviti berbasikal mempunyai pelbagai manfaat berguna kepada kesihatan. Aktiviti fizikal berskala sederhana ini bukan sahaja menguatkan sistem imunisasi dengan meningkatkan keupayaan badan untuk melawan jangkitan dan penyakit, malah mengaktifkan hampir semua bahagian otot termasuklah otot kaki, abdomen, belakang dan lengan yang membantu mengekalkan kekuatan dan fungsi tubuh. Berbasikal juga dapat mengurangkan risiko sakit belakang dan penyakit tulang belakang dengan membaiki postur dan menguatkan otot kecil pada sekitar vertebra.

Dari segi mental pula, aktiviti berbasikal membantu melegakan tekanan dan kebimbangan melalui pergerakan yang stabil dan keseimbangan hormon yang lebih baik. Aktiviti ini juga meningkatkan sistem pernafasan dan peredaran darah, menguatkan jantung dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular serta membantu mengawal berat badan dan mengoptimumkan paras kolesterol.

Tekanan darah dapat dikawal dan risiko menghidapi kanser tertentu dapat dikurangkan dengan melakukan aktiviti berbasikal secara berkala. Selain meningkatkan stamina dan daya tahan, berbasikal turut memberi kesan positif kepada kecantikan fizikal seperti bentuk badan dan kesihatan kulit. Aktiviti ini mudah disesuaikan dengan tahap kecergasan individu dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup secara holistik.

Hubungan antara Basikal dengan Alam Sekitar

Berbasikal memainkan peranan penting untuk memastikan komposisi udara berada dalam keadaan optimum kerana basikal tidak melepaskan gas bertoksid jika dibandingkan dengan pengangkutan bermotor yang lain. Tidak seperti kereta dan motosikal serta kenderaan berat yang lain, basikal tidak membakar bahan api dan melepaskan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO₂), nitrogen oksida (NOx), dan partikel terampai yang menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara dan perubahan iklim.

Apabila banyak orang memilih untuk berbasikal, bilangan kenderaan di atas jalan raya akan berkurangan dan secara tidak langsung mengurangkan pencemaran udara. Hal ini menjadi penting lebih-lebih lagi di kawasan bandar yang sering terjadi masalah kesesakan lalu lintas apabila gas yang dilepaskan dari kenderaan menjadi punca utama penurunan kualiti udara dan masalah kesihatan seperti asma, penyakit jantung dan jangkitan sistem pernafasan sekiranya terdedah pada jangka masa yang lama. Dalam masa yang sama, berbasikal juga menyokong penurunan kebergantungan kepada bahan api.

Selain itu, berbasikal dapat mengurangkan kesesakan seterusnya menjadikan persekitaran bandar lebih aman tanpa pencemaran bunyi dan meningkatkan kesihatan awam. Secara tidak langsung, aktiviti berbasikal mengawal kesan perubahan iklim dan pemanasan global yang sedang berlaku. Dalam masa yang sama, kerajaan juga wajar membuat pelaburan untuk membina lorong khas basikal dan menambah baik infrastruktur berbasikal demi memastikan kesejahteraan bandar dapat direalisasikan dan akses kepada lorong berbasikal menjadi lebih mudah untuk para penunggang basikal dalam menggalakkan masyarakat untuk beralih daripada mod kenderaan bermotor kepada basikal.

Hubungan antara Basikal dengan Pendidikan

Mungkin ramai yang tidak cakna tentang aktiviti berbasikal yang boleh meningkatkan akses kepada pendidikan terutamanya golongan yang tinggal di kawasan luar bandar atau lahir daripada keluarga berpendapatan rendah. Dalam kes ini, mod pengangkutan sering menjadi penghalang utama untuk mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Secara amnya, pelajar dari golongan ini yang sering berjalan jauh untuk sampai ke sekolah kerana tiada pengangkutan awam sering mengalami keletihan. Situasi ini boleh membawa kepada masalah ponteng sekolah, penurunan prestasi, hilang minat atau berlaku keciciran akademik dan kokurikulum. Hal ini dapat dielakkan dengan menggunakan basikal bagi mengurangkan masa perjalanan dan keletihan fizikal dengan mendorong pelajar tiba di sekolah tepat pada masanya lalu meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih fokus kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Di kawasan bandar pula, basikal sangat sesuai digunakan kerana struktur saiznya yang kecil membolehkan kenderaan dua tayar melalui lorong tikus dan ceruk kecil untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan lebih cepat. Bagi keluarga yang mempunyai sumber kewangan yang terhad pula, basikal menawarkan mod pengangkutan yang menjimatkan kos dengan mengurangkan kebergantungan kepada tambang bas atau bahan api yang boleh naik pada bila-bila masa. Rentetan itu, aktiviti berbasikal mewujudkan lebih banyak peluang untuk golongan cilik dan yang kurang berkemampuan untuk mencapai kejayaan akademik dan pembangunan jangka panjang.

Hubungan antara Basikal dengan Kemudahan Kesihatan

Di kebanyakan kawasan luar bandar, klinik dan hospital terletak jauh dari tempat tinggal. Hal ini menghalang masyarakat untuk mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya. Berbasikal menyediakan cara perjalanan yang murah, cekap dan mudah diakses sekali gus membolehkan orang ramai mencapai kemudahan kesihatan yang lebih cepat dan bersistematik. Perkara ini amat penting terutamanya untuk wanita hamil, kanak-kanak yang memerlukan suntikan vaksinasi atau pesakit yang mempunyai penyakit kronik dan melarat yang kerap memerlukan rawatan di pusat kesihatan.

Bagi warga yang bekerja dalam sektor kesihatan pula, basikal merupakan mod kenderaan yang melancarkan perkhidmatan perubatan, kemudahan fisioterapi dan pemberian ubat-ubatan terus kepada komuniti yang memerlukan. Basikal juga menjadi mod kenderaan yang terbaik terutamanya apabila melalui kawasan yang tidak dapat diakses oleh kenderaan berat dan besar. Dalam situasi kecemasan, basikal boleh membantu mengangkut pesakit ke pusat kesihatan terdekat bagi menerima rawatan perubatan secara konsisten dan pantas.

Hubungan antara Basikal dengan Komuniti Luar Bandar

Masyarakat yang tinggal di luar bandar sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bantuan terus daripada pihak kerajaan. Tanpa pengangkutan yang wajar, golongan ini mungkin terlepas mendapatkan perkhidmatan penting hanya kerana mereka tidak dapat sampai ke tempat yang dituju. Penggunaan basikal mampu membantu golongan ini mengatasi halangan itu dengan membantu orang ramai melakukan perjalanan yang jauh secara pantas dan dengan usaha yang lebih sedikit berbanding dengan berjalan kaki, berbelanja lebih untuk menampung kos pengangkutan awam atau bahan api. Berbasikal ternyata mampu merapatkan jurang antara komuniti melalui sistem sokongan perkhidmatan sosial yang lebih mudah dicapai, konsisten dan berkesan.

Selain itu, basikal sering digunakan untuk tujuan perniagaan kecil-kecilan di pinggir desa dan pulau terpencil. Barangan jualan yang sarat di atas basikal boleh terus sampai ke pintu pelanggan apabila dibawa dengan basikal. Kos penyelenggaraan basikal yang murah dan kemudahan mendapatkan komponen basikal tentunya tidak akan membebankan golongan ini untuk terus menggunakan basikal semasa melakukan kerja harian. Hal ini membuka peluang kepada golongan pelbagai usia dan bangsa untuk bersama-sama membangunkan ekonomi setempat dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Hubungan antara Basikal dengan Kesaksamaan Jantina

Berbasikal juga memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan mobiliti, kebebasan dan akses kepada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan yang mendiami kawasan luar bandar itu. Di negara mundur, kanak-kanak perempuan terpaksa berjalan kaki untuk ke sekolah. Namun begitu, apabila basikal digunakan, masa perjalanan dapat dikurangkan, keselamatan terjaga dan kita dapat membantu lebih ramai kanak-kanak perempuan untuk kekal berada di sekolah dan menamatkan pendidikan mereka dengan jayanya.

Bagi wanita pula, berbasikal ialah cara yang efektif untuk mencapai kerjaya, menjaga kesihatan, menceburi bidang perniagaan atau perkhidmatan sosial, meningkatkan penyertaan ekonomi dan kebebasan peribadi mereka. Dari segi budaya, menunggang basikal boleh mencabar norma jantina yang menyekat pergerakan wanita dengan menggalakkan rasa pemerkasaan dan kesaksamaan. Sesetengah komuniti yang hanya memiliki dan menggunakan basikal dapat mengubah persepsi mereka tentang peranan dan hak wanita. Dengan cara ini, basikal bukan sekadar alat untuk pengangkutan, malah menjadi alat untuk perubahan sosial, membantu wanita menuntut hak mereka untuk bergerak bebas dengan selamatnya dan secara sama rata.

Basikal ialah mod pengangkutan yang mampan dan mampu milik yang boleh membantu mengurangkan pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas. Akses kepada perkhidmatan basikal yang ditambah baik penting untuk golongan yang tidak berkemampuan. Basikal tidak melepaskan gas rumah hijau dan menjadi penyumbang kepada komposisi udara yang lebih segar untuk komuniti.

Basikal juga memudahkan penduduk di kawasan terpencil atau berpendapatan rendah untuk sampai ke sekolah, pusat kesihatan dan perkhidmatan sosial. Bagi golongan wanita dan kanak-kanak pula, basikal menawarkan cara yang selamat, kos yang rendah dan boleh dipercayai untuk meningkatkan mobiliti, pemerkasaan jati diri dan mendapat kualiti hidup yang baik.

Hari Basikal Sedunia yang disambut pada setiap tahun akan terus menarik perhatian masyarakat untuk memilih basikal sebagai mod pengangkutan mesra alam dan mapan. Seperti peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, basikal masih relevan untuk digunakan oleh masyarakat pada masa ini.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi