Diterbitkan pada 8 Ogos 2025, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 2,184 kes kemalangan di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia membabitkan lokasi yang tiada lampu jalan direkodkan dari tahun 2023 hingga Julai 2025.

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya amat mengambil berat akan isu keselamatan jalan raya, khususnya laluan yang melibatkan Jalan Persekutuan di seluruh negara.

“Kementerian ini melalui Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya melaksanakan skop pemasangan lampu jalan di kawasan yang kerap berlaku atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap,” ujarnya.

Menurut beliau, pemasangan lampu jalan akan dibuat secara setempat, berskala kecil dan memenuhi keperluan pencahayaan di kedua-dua kawasan tersebut merangkumi persimpangan, selekoh dan jambatan serta kawasan yang dikenal pasti mempunyai rekod kemalangan.

“Kementerian ini dengan sukacita ingin memaklumkan sebanyak 256 buah lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia bagi kerja pemasangan lampu jalan baharu di bawah program ini sedang dilaksanakan pada tahun 2025 dengan kos keseluruhan berjumlah RM25 juta,” katanya.

Dato’ Seri Alexander juga menambah bahawa keberkesanan pemasangan lampu jalan, terutama di lokasi kemalangan atau berisiko kemalangan sentiasa dilaksanakan oleh pihaknya, selain mengenal pasti lokasi baharu yang memerlukan lampu jalan.

Jelas beliau, program pemasangan lampu jalan ini akan diteruskan pelaksanaannya agar aspek keselamatan jalan raya sentiasa dapat dipertingkatkan.

Katanya lagi, dalam hal berkenaan, kementerian berusaha mendapatkan peruntukan pada setiap tahun bagi pelaksanaan pemasangan lampu jalan di lokasi Jalan Persekutuan yang memenuhi kriteria.

“Kelulusan peruntukan daripada agensi pusat akan digunakan mengikut keutamaan, tertakluk kepada amaun yang disediakan.

“Bagi menangani isu berkaitan dengan jalan berlubang yang boleh menyumbang kepada kemalangan, tampalan akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja aduan jalan berlubang diterima dan juga menerusi rondaan yang dijalankan secara berkala,” jelasnya.

“Hal ini bagi memastikan sebarang kerosakan kecil pada permukaan jalan dapat diambil tindakan dengan segera dan tidak membahayakan pengguna jalan raya.

“Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya sentiasa komited memastikan jalan raya sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa dengan menjalankan kerja penyenggaraan rutin sepanjang tahun,” tegas beliau.

Alexander berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato’ Rosol Wahid menerusi jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat mengenai jumlah kes kemalangan yang direkodkan di kawasan yang tiada kemudahan lampu jalan serta tindakan kerajaan untuk membendung kemalangan di kawasan berisiko disebabkan ketiadaan lampu jalan dan jalan berlubang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi