Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHari Tangan Kidal Sedunia, yang disambut pada setiap 13 Ogos, merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 1976 oleh Left-handers Club. Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keunikan serta cabaran yang dihadapi oleh golongan kidal dalam kehidupan seharian mereka.
Meskipun hanya sekitar 10 hingga 12 peratus daripada populasi global yang menggunakan tangan kiri sebagai tangan dominan, angka ini mewakili jutaan individu yang terpaksa menyesuaikan diri dalam dunia yang didominasi oleh orang bertangan kanan. Melalui Hari Tangan Kidal Sedunia, masyarakat diberikan peluang untuk menghargai perbezaan ini, sekali gus memberikan pengiktirafan kepada golongan bertangan kidal atas kekuatan mereka dalam menghadapi pelbagai halangan.
Pada mata umum, menjadi kidal mungkin dianggap sekadar perbezaan fizikal, namun bagi mereka yang mengalaminya, perbezaan ini membawa kepada implikasi yang jauh lebih mendalam. Daripada cara memegang pen yang berbeza, sehingga ke cabaran yang timbul di tempat kerja, segala aspek kehidupan seharian turut terpengaruh. Sering kali individu bertangan kidal terpaksa menyesuaikan diri dengan cara “normal” yang dibentuk oleh golongan majoriti, sehinggakan ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kesulitan yang mereka hadapi.
Kidal bukanlah suatu fenomena yang baharu, sebaliknya telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Namun begitu, sejarah menunjukkan bahawa golongan bertangan kidal sering dipandang dengan makna yang negatif. Dalam bahasa Latin, “sinister” bermaksud kiri, yang turut membawa konotasi “jahat” atau “malang”. Dalam beberapa tradisi lama, menggunakan tangan kiri dianggap sebagai tidak sopan. Malah, di sesetengah tempat, “kiri” dikaitkan dengan nasib yang buruk.
Di negara Asia, khusunya di Malaysia, budaya makan dengan menggunakan tangan kanan telah lama berakar dalam kehidupan masyarakat. Amalan ini bukan hanya sekadar adat, tetapi turut melibatkan aspek kebersihan dan agama, terutamanya dalam konteks agama Islam. Natijahnya, ramai kanak-kanak bertangan kidal pada masa itu terpaksa beralih kepada penggunaan tangan kanan. Walaupun niatnya mungkin baik dari segi kesopanan, namun proses ini kadangkala memberikan kesan psikologi, terutamanya jika tindakan ini dilakukan dengan paksaan atau tanpa pertimbangan yang wajar.
Kajian dalam bidang psikologi pendidikan pula membuktikan bahawa tindakan memaksa kanak-kanak bertangan kidal untuk menggunakan tangan kanan boleh mengganggu perkembangan koordinasi motor halus dan tumpuan belajar mereka. Hal ini demikian kerana, tindakan ini bertentangan degan dominasi otak semula jadi mereka.
Di sekolah, cabaran ini dilihat lebih ketara apabila kebanyakan institusi pendidikan tinggi menggunakan meja berlipat dalam dewan kuliah. Penggunaan meja tersebut sering kali memaksa pelajar bertangan kidal untuk membongkok atau memusingkan badan, sekali gus menjejaskan postur mereka.
Begitulah juga halnya dengan penggunaan peralatan sukan, pelajar hoki yang bertangan kidal terpaksa menyesuaikan diri dengan kayu hoki standard yang direka khas untuk pemain bertangan kanan. Walaupun mereka akhirnya menjadi mahir, namun proses pembelajaran tersebut kebiasaannya lebih lambat jika dibandingkan dengan rakan yang lain.
Bagi golongan bertangan kidal, kebanyakan peralatan harian menjadi “halangan kecil” buat mereka. Misalnya, gunting yang direka dengan bilah dan pemegang yang memihak kepada tangan kanan, menyebabkan jari pengguna kidal mudah melecet. Pembaris dengan angka bermula dari kiri menyukarkan mereka mengukur dengan lancar. Malah, dalam bilik darjah, kedudukan suis lampu, tuil atau pemegang pintu selalunya disusun mengikut logik tangan kanan.
Situasi ini memaksa golongan bertangan kidal melakukan penyesuaian motor yang tidak dialami oleh golongan majoriti. Bagi sesetengah individu, proses menyesuaikan diri dilihat mampu membentuk ketahanan mental dan kemahiran menggunakan kedua-dua tangan, tetapi hakikatnya penyesuaian ini tetap menjadi satu bentuk usaha tambahan yang jarang-jarang diiktiraf.
Cabaran bagi golongan bertangan kidal tidak berakhir di bangku sekolah sahaja. Apabila melangkah ke dunia pekerjaan, susun atur pejabat dan alat perindustrian sering kali direka khusus bagi pengguna tangan kanan. Sebagai contoh, pengamal perubatan yang terlibat dalam operasi pembedahan harus mempelajari teknik dengan sudut tangan yang tidak semula jadi untuk menyesuaikan diri dengan peralatan pembedahan standard yang kebiasaannya direka khusus bagi pengguna tangan kanan.
Dalam kajian neurosains, otak individu bertangan kidal menunjukkan sambungan hemisfera yang unik. Mereka cenderung untuk menggabungkan proses logik dan kreativiti dengan lebih seimbang, memberikan kelebihan dalam bidang seni, muzik dan sukan. Malah, beberapa atlet terkenal dunia juga merupakan golongan bertangan kidal, sekali gus membuktikan bahawa “kekananan” atau “kekidalan” bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan pada peringkat tertinggi.
Dalam konteks pembelajaran, pihak sekolah dan institusi pendidikan perlu peka terhadap keperluan pelajar kidal. Warga pendidik boleh memastikan pelajar bertangan kidal duduk di sebelah kiri meja yang berkongsi, menyediakan peralatan mesra kidal seperti gunting atau pembaris terbalik dan membenarkan pelajar menulis mengikut gaya tangan mereka tanpa paksaan. Melalui usaha ini, cabaran yang dihadapi oleh golongan bertangan kidal bukan sahaja dapat diiktiraf, tetapi juga dapat memberikan keselesaan fizikal, sekali gus mengelakkan rasa terpinggir atau rendah diri dalam kalangan pelajar.
Beberapa negara maju telah mengambil langkah inklusif dengan menghasilkan lebih banyak produk ambidextrous yang sesuai digunakan oleh golongan tangan kiri dan kanan. Malaysia juga boleh mengikuti langkah ini melalui kerjasama pengeluar peralatan, institusi pendidikan dan pihak berkuasa tempatan. Sebagai contoh, kerusi kuliah mesra kidal boleh dijadikan standard dalam pembelian sekolah dan universiti. Kedai alat tulis boleh menambah stok peralatan kidal, manakala pereka produk tempatan boleh mempertimbangkan konsep ergonomi untuk kedua-dua belah tangan.
Langkah kecil ini memberikan impak besar kepada kualiti hidup golongan bertangan kidal. Hari Tangan Kidal Sedunia bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi peluang untuk menilai semula sejauh mana masyarakat benar-benar inklusif terhadap kepelbagaian. Golongan kidal, walaupun jumlahnya kecil, tetapi tetap memainkan peranan yang penting dalam membentuk dunia seni, sains dan sukan. Mengiktiraf keperluan mereka bukan untuk memberikan keistimewaan, tetapi untuk menyediakan peluang yang setara bagi mereka untuk berkembang.
Pada akhirnya, nilai seorang insan tidak diukur daripada tangan mana yang mereka gunakan, tetapi melalui sejauh manakah mereka memberikan sumbangan melalui hati dan akal mereka.
Kredit foto: Sharir Aizat Kamaruddin, Fakuti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis, Kampus Arau.