Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 4 September 2025, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pasukan Aerobic Dance Kolej Matrikulasi Perak merangkul kejuaraan dengan mendapat pingat emas KAKOM 2025.

Kuantan – Kolej Matrikulasi Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Kokurikulum Kolej Matrikulasi (KAKOM) 2025 selepas meraih tujuh pingat emas, satu perak dan tiga gangsa, menewaskan 16 pasukan lain dari seluruh negara.

Manakala, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan muncul sebagai naib juara dengan kutipan enam emas, dua perak dan enam gangsa dan tempat ketiga menjadi milik Kolej Matrikulasi Labuan yang membawa pulang tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula pada 28 Ogos lalu itu menyaksikan sebanyak 17 pasukan bersaing dalam pelbagai acara sukan, yang terdiri daripada 15 Kolej Matrikulasi di seluruh negara serta dua Kolej Majlis Amanah Rakyat (MARA), iaitu Kolej MARA Kuala Nerang dan Kolej MARA Kulim.

Majlis penutup yang berlangsung di Kolej Matrikulasi Pahang telah disempurnakan oleh wakil Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Puan Rohayati Abd Hamed, Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru Kementerian Pendidikan.

Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa KAKOM berperanan penting dalam memperkasakan kokurikulum sebagai satu indikator kelayakan ke universiti awam, selaras dengan usaha KPM untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah seimbang dari segi sahsiah dan bakat.

“KPM kekal komited untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjati diri tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang berteraskan nilai kemanusiaan dan prinsip MADANI,” katanya.

Pertandingan Aerobic Dance antara acara yang mendapat sambutan hangat daripada penonton pada kali ini.

Pada tahun ini, KAKOM membawa tema “KAKOM Mewarnai Generasi MADANI Masa Hadapan” dengan mempertandingkan sebanyak 11 jenis sukan antaranya termasuklah bola sepak, bola tampar, sepak takraw, badminton, bola keranjang, bola jaring, ping pong, petanque, skuady, tenis dan aerobic dance.

Majlis penutup turut menyaksikan pengumuman rasmi Kolej Matrikulasi Selangor (KMS) sebagai tuan rumah KAKOM 2026, bagi menggantikan Kolej Matrikulasi Pahang yang menjadi tuan rumah pada tahun ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Matrikulasi KPM, Tuan Haji Mohd Kassim Haji Jaafar dan Pengarah Kolej Matrikulasi Pahang, Puan Hajah Latiza A Latif selaku tuan rumah KAKOM 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi