Diterbitkan pada 12 September 2025, 20:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sindrom Down merupakan keadaan genetik yang berlaku apabila seseorang dilahirkan dengan kromosom tambahan (Cleveland Clinic, 2023). Kebiasaannya, manusia mempunyai 23 pasang kromosom yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 46 kromosom. Walau bagaimanapun, individu yang menghidap sindrom Down mempunyai 47 kromosom. Pertambahan bilangan kromosom ini menjadikan ciri fizikal mereka kelihatan berbeza daripada individu normal.

Antara ciri yang lazim dilihat dalam kalangan penghidap sindrom Down termasuklah kepala kecil, leher pendek, mata condong ke atas, wajah bulat, telinga terletak rendah, lidah terjelir, mulut kecil serta anggota tangan dan kaki yang lebih pendek. Perbezaan ini berpunca daripada gangguan perkembangan genetik yang turut memberikan kesan terhadap fungsi tubuh serta perkembangan kognitif. Oleh hal yang demikian, mereka memerlukan intervensi terapeutik dan sokongan berterusan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Kanak-kanak yang menghidap sindrom Down termasuk dalam kategori murid berkeperluan khas di bawah sistem persekolahan pendidikan khas. Pendidikan khas merujuk kepada program yang direka untuk memenuhi keperluan murid yang mempunyai kecacatan atau ketidakupayaan tertentu. Program ini memberikan penekanan terhadap kemahiran akademik dan kemahiran hidup berdasarkan tahap perkembangan murid. Pendidikan khas juga bertujuan untuk membantu mereka mengatasi kekangan pembelajaran serta membangunkan potensi diri secara optimum.

Selain itu, murid yang menghidap sindrom Down berhadapan dengan masalah interaksi sosial seperti kesukaran berkomunikasi. Hal ini demikian kerana kebanyakan mereka mengalami kelewatan perkembangan bahasa sehingga menyebabkan mereka sukar bergaul. Maka itu, aspek kritikal dalam pembelajaran mereka ialah pengurusan diri. Perkara ini merangkumi keupayaan mengurus kebersihan diri dan masa serta kemahiran sosial.

Penguasaan kemahiran pengurusan diri mampu menyokong perkembangan menyeluruh murid untuk lebih berdikari. Dalam konteks ini, peranan guru dan ibu bapa sangat penting untuk memberikan bimbingan yang berkesan dan berterusan di sekolah dan rumah. Misalnya, pelaksanaan pendekatan pengukuhan positif dengan memberikan pujian, ganjaran dan galakan kepada murid yang bertingkah baik agar mereka terdorong untuk mengulangi tingkah laku tersebut.

Seiring dengan perkembangan teknologi, pendidikan khas turut memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan mutu pengajaran. Penggunaan modul digital interaktif telah menawarkan pendekatan pembelajaran yang mudah dan menyeronokkan. Modul sebegini berfungsi sebagai alat sokongan visual dan audio untuk membantu murid memahami kemahiran asas seperti kebersihan diri, berpakaian dan adab ketika makan. Kajian Sharif dan Noraini (2020) mendapati bahawa modul digital interaktif mampu meningkatkan kemahiran harian murid yang menghidap sindrom Down, manakala kajian Othman et al. (2022) menunjukkan keberkesanan pendekatan ini dalam meningkatkan kemahiran membaca melalui penggunaan bahan interaktif.

Sementara itu, kajian oleh Kiwanis Down Syndrome Foundation Melaka Center menunjukkan kepelbagaian tahap penguasaan kemahiran pengurusan diri dalam kalangan murid sindrom Down. Secara umumnya, mereka dapat menguasai kemahiran asas seperti memakai baju dan mengamalkan adab ketika makan. Namun begitu, murid masih menghadapi cabaran dalam aspek kebersihan diri, khususnya selepas makan dan ketika menggunakan tandas. Sebagai contoh, kebanyakan murid belum berupaya mencuci tangan sendiri selepas ke tandas. Keupayaan mereka menutup paip air dan mengepam tandas juga masih pada tahap yang lemah. Selain itu, apabila minum menggunakan cawan, murid sindrom Down masih memerlukan bantuan orang dewasa untuk menuangkan air dan menahan cawan.

Pendekatan digital melalui Modul Innova yang memanfaatkan elemen animasi dan muzik terbukti menarik minat murid sindrom Down. Hasil dapatan pengkaji menunjukkan bahawa penggunaan lagu dalam video animasi dapat meningkatkan tumpuan murid semasa belajar. Lagu yang digabungkan dengan paparan animasi bukan sahaja memudahkan murid mengingati langkah mengurus diri, tetapi juga menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan. Kajian Nor Naimmah Othman et al. (2023) menyokong dapatan ini dengan menyatakan bahawa pembelajaran berasaskan muzik mampu merangsang emosi dan minat murid, seterusnya meningkatkan tumpuan pembelajaran.

Selain muzik, elemen visual seperti animasi dan warna terang turut memberikan impak positif terhadap proses pembelajaran. Menurut Down’s Syndrome Association (2021), kanak-kanak sindrom Down cenderung menjadi murid kategori visual yang baik kerana kekuatan memori visual mereka. Faridah Mahadi et al. (2022) pula menjelaskan bahawa pendekatan visual dapat membantu mereka memahami konsep dengan lebih mudah berbanding dengan kaedah tradisional yang bergantung pada penerangan lisan. Kaedah ini boleh digabungkan dengan pendekatan praktikal seperti permainan padanan warna dan bentuk untuk meningkatkan kefahaman mereka.

Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini menegaskan bahawa penggunaan teknologi digital melalui modul interaktif memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran pengurusan diri murid sindrom Down. Intervensi melalui pendekatan ini bukan sahaja membantu murid menguasai kemahiran asas, malah meningkatkan pelibatan mereka dalam pembelajaran. Keberkesanan strategi ini membuktikan bahawa inovasi teknologi perlu menjadi komponen utama dalam pendidikan khas bagi menyokong perkembangan kognitif, emosi dan sosial murid sindrom Down.

 

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Kampus Pagoh, Muar, Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi