Diterbitkan pada 16 September 2025, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Tsukuba kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 2 September 2025 lalu merupakan satu penghormatan bertaraf antarabangsa yang mengiktiraf ketokohan baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan, pendidikan dan perhubungan antarabangsa. Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan pencapaian peribadi baginda, malah turut mengangkat martabat institusi diraja sebagai pemacu pembangunan insan dan ilmu yang berkesan.

Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan foto kenangan bersama-sama ahli akademik dari Universiti Tsukuba, Jepun diiringi oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Universiti Tsukuba merupakan satu daripada institusi pengajian tinggi paling berprestij di Jepun, dengan sejarah yang bersusur galur sejak tahun 1872 dan penubuhan rasminya pada tahun 1973. Universiti ini berada dalam kelompok 10 universiti terbaik Jepun dan terkenal dengan kecemerlangannya dalam pendidikan, penyelidikan, hubungan antarabangsa dan pembangunan sukan bertaraf dunia. Terletak di bandar sains Tsukuba, universiti ini menjadi pusat kepada lebih 60 organisasi penyelidikan awam dan 200 organisasi swasta, serta menempatkan lebih 20,000 saintis doktor falsafah (PhD). Separuh daripada pembiayaan penyelidikan Jepun disalurkan di universiti ini, sekali gus menjadikannya sebagai hab utama bagi bidang robotik, nanoteknologi dan biodigital di bawah inisiatif Super City kerajaan Jepun.

Universiti Tsukuba juga telah melahirkan tiga penerima Hadiah Nobel dan lebih 140 pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik, termasuklah daripada sekolah pendahulunya. Dalam bidang sukan, universiti ini memiliki kemudahan latihan bertaraf tinggi dan tenaga akademik yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan menjadi model kepada integrasi antara kecemerlangan akademik dan pembangunan fizikal, menjadikan institusi ini sebagai rujukan dalam pendidikan holistik.

Pengiktirafan kepada Al-Sultan Abdullah selari dengan tradisi universiti tersebut yang menghargai tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan insan secara menyeluruh. Dalam bidang sukan, baginda telah menunjukkan kepimpinan cemerlang sejak usia muda. Baginda memulakan peranan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 1992 dan menjadi Presiden FAM pada 2014. Pada peringkat antarabangsa, baginda telah menyumbang dalam pelbagai jawatankuasa FIFA dan AFC, termasuklah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Piala Asia AFC 2015 dan Jawatankuasa Pembangunan AFC. Baginda juga pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa FIFA untuk kejohanan Olimpik dan Fair Play, membuktikan pengiktirafan global terhadap kepimpinan sukan baginda.

Dalam sukan hoki, Al-Sultan Abdullah pernah menjadi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), serta dilantik sebagai Ahli Kehormat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). Pelibatan baginda dalam sukan hoki bukan sahaja pada peringkat kebangsaan, bahkan pada peringkat dunia, menjadikan baginda sebagai tokoh penting dalam pembangunan sukan berpasukan di Asia.

Kepimpinan baginda dalam sukan polo pula terserlah melalui pasukan Royal Pahang Polo Club yang aktif menyertai kejohanan elit antarabangsa seperti English Queen’s Cup, Gold Cup dan Argentina Open. Pasukan baginda dikenali sebagai pesaing yang disegani, mencerminkan mutu permainan dan semangat kesukanan yang tinggi. Baginda turut memulakan siri Pahang Classic pada awal tahun 1990-an dan menganjurkan Liga Polo RMPA sejak tahun 2005, yang kekal sebagai platform utama sukan polo di Malaysia. Selain itu, baginda menerajui kelab tenis, skuasy dan golf di Pahang, menunjukkan komitmen menyeluruh terhadap pembangunan sukan pelbagai disiplin.

Dalam bidang pendidikan, Al-Sultan Abdullah telah menunjukkan komitmen luar biasa terhadap pembangunan modal insan. Di negeri baginda sendiri, baginda memperkasakan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, UCYP University, Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang, Kolej Yayasan Pahang, serta inisiatif penubuhan sebuah universiti al-Quran. Baginda turut menekankan kepentingan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai landasan mobiliti sosial dan pembangunan ekonomi negeri.

Melalui Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), baginda membiayai Akademi Menara Gading, iaitu program pendidikan jangka panjang yang bertujuan mengurangkan kemiskinan melalui kecemerlangan akademik. Program ini menyasarkan pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah, menyediakan mereka untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan mengakses pendidikan tinggi yang berkualiti. Selain itu, YASA turut mengendalikan tiga pusat pendidikan agama di Pahang yang menampung kira-kira 300 orang pelajar sekolah rendah daripada latar belakang kurang berkemampuan.

Penganugerahan oleh Universiti Tsukuba juga memperkukuh hubungan Malaysia–Jepun dalam bidang pendidikan dan penyelidikan. Idea penubuhan kampus universiti tersebut di Malaysia telah dicetuskan oleh Al-Sultan Abdullah semasa pertemuan dengan mendiang Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada tahun 2019. Kini, kampus tersebut telah direalisasikan di Kuala Lumpur, membuka akses kepada sistem pendidikan Jepun dan memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan modal insan. Penubuhan ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar Malaysia untuk menikmati pendidikan bertaraf dunia dengan kos yang lebih rendah, tetapi juga memperkaya mereka dengan nilai dan budaya Jepun.

Keseluruhan pengiktirafan ini membuktikan bahawa Al-Sultan Abdullah ialah seorang raja pemerintah yang menjadikan sukan, pendidikan dan perhubungan antarabangsa sebagai model kepimpinan. Ketokohan unggul baginda bukan sahaja wajar dihargai, bahkan perlu dijadikan teladan dalam membina mutu kepimpinan bertaraf antarabangsa buat generasi masa kini dan masa hadapan. Gaya pemerintahan Al-Sultan Abdullah amat disenangi oleh semua lapisan masyarakat dan menjadi kebanggaan rakyat baginda.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain, Profesor Madya, ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

,

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi