Diterbitkan pada 24 Oktober 2025, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lipis – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Betau telah menerima kunjungan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim yang turut disertai oleh pegawai pengurusan tertinggi KPM, termasuklah pihak Jabatan Pendidikan Pahang (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.

Kunjungan Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin diiringi oleh Timbalan KSU KPM, YBrs. Dato’ Ahmad Suhaimi bin Endut, Pengarah JPN Pahang, YBrs. Haji Ahmad Zamri bin Md Isa, Pengetua SMK RPS Betau, YBrs. Encik Mat Daud bin Mamat dan Ketua Kampung Lanchang dengan aktiviti melawat beberapa lokasi bagi melihat projek yang telah dilaksanakan untuk penduduk kampung dan pelajar sekolah melalui Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tahun 2024.

Bengkel MPV (motosikal) SMK RPS Betau merupakan lokasi pertama yang dikunjungi oleh rombongan tersebut. Bengkel tersebut merupakan Projek Penyediaan Kelas Kemahiran TVET untuk pelajar sekolah mempelajari kemahiran penyelenggaraan motosikal. Seterusnya, lawatan diteruskan ke Kawasan Pam Air Sekolah, iaitu Projek Menaik Taraf Sistem Perpaipan Sekolah yang terletak di tebing sungai.

KSU KPM Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim menyantuni pelajar prasekolah.

Kemudian, lawatan beralih ke Kampung Orang Asli (KOA) Lancang bagi melihat Projek Penurapan Jalan Kampung. Ketibaan Dato’ Dr. Haji Aminuddin dan rombongan disambut dengan persembahan muzik masyarakat orang Asli oleh anak muda Kampung Lancang. Di kampung tersebut, tetamu dihidangkan dengan nasi lemak serta ubi kayu bakar yang disediakan oleh penduduk kampung.

Usai menikmati sarapan pagi di Kampung Lancang, lawatan berakhir di SMK RPS Betau untuk melihat Projek Rumah Adat, Bumbung Susur Gajah, Surau Sekolah dan Bengkel MPV (Memproses Makanan). Dato’ Dr. Haji Aminuddin turut menyantuni pelajar sekolah yang sedang mengikuti pembelajaran di kelas masing-masing dan menjamah hidangan yang disediakan oleh pelajar di Bengkel MPV (Memproses Makanan).

Kemuncak acara ialah Majlis Penutupan Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan Tahun 2024. Sebelum majlis perasmian, pelajar sekolah mempersembahkan Tarian Sewang di hadapan tetamu kehormat dan rombongan pegawai Pengurusan Tertinggi KPM.

Dalam ucapan Dato’ Dr. Haji Aminuddin, beliau menyatakan rasa gembira dan bersyukur kerana Program Kampung Angkat MADANI KPM berjaya dilaksanakan dan telah memberikan manfaat kepada penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“Buktinya, pelajar sekolah menikmati kemudahan air paip melalui Projek Menaik Taraf Pam Air Sekolah, selain dapat mempelajari aspek kemahiran melalui Projek Penyediaan Kelas Kemahiran TVET, iaitu Bengkel MPV (Motosikal dan Memproses Makanan). Sekolah turut menerima peralatan digital seperti TV pintar dan talian telekomunikasi jalur lebar untuk akses internet dan pembelajaran secara dalam talian,” ujarnya.

Persembahan menyambut tetamu oleh anak muda masyarakat Kampung Orang Asli Lancang.

Beliau berkata, Program Kampung Angkat MADANI KPM juga memberikan tempias positif kepada penduduk kampung dan kawasan sekitarnya kerana projek yang dilaksanakan telah menaikkan nama RPS Betau dan melonjakkan ekonomi tempatan.

Pihak sekolah pula berharap peruntukan untuk menaik taraf kemudahan sekolah dapat diteruskan oleh KPM walaupun program ini secara rasminya telah berakhir dengan pembinaan mercu tanda “Kampung Angkat MADANI Kementerian Pendidikan” yang dibina sebagai tanda arah memasuki sekolah dan kawasan kampung.

Bersasarkan rekod, kampung dan sekolah angkat MADANI merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan untuk merapatkan jurang pembangunan dan pendidikan antara bandar dan luar bandar. Inisiatif ini membabitkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta. Misi utamanya melibatkan penyediaan kemudahan asas di kampung seperti bekalan air, elektrik dan lampu jalan, manakala kemudahan di sekolah seperti pembangunan akademik dan sahsiah pelajar, infrastruktur dan kewangan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi