Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Ketiadaan penjagaan rapi oleh ahli keluarga dikenal pasti sebagai punca utama peningkatan warga emas yang terbiar dan tidak terurus, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, berkata bahawa data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 1022 warga emas ditempatkan di institusi jagaan sehingga Jun 2025, namun angka itu menurun berbanding dengan 1242 kes pada tahun 2020.
Beliau berkata bahawa sebahagian besar warga emas yang ditempatkan di institusi berkenaan pada tahun ini adalah disebabkan masalah penjagaan, diikuti faktor hidup sebatang kara tanpa waris.
“Terdapat juga kes pengabaian dan peminggiran keluarga, kemiskinan serta sebilangan kecil melibatkan masalah kesihatan dan penderaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Portal Parlimen hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Abd. Muttalib mengenai punca peningkatan kes warga emas terbiar dan langkah kementerian menangani isu berkenaan.
Beliau berkata, kementerian mengekalkan pendirian bahawa penjagaan terbaik warga emas adalah bersama-sama dengan keluarga melalui penerapan prinsip Penjagaan Berasaskan Keluarga serta konsep “Penuaan Setempat” (Ageing-in-Place).
Menurutnya, kerajaan menyalurkan beberapa bantuan kewangan bulanan bagi menyokong keluarga menjaga ibu bapa yang sudah berusia, antaranya termasuklah Bantuan Warga Emas (BWE) sebanyak RM600 sebulan dan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan kepada mereka yang layak.
“Bermula Januari hingga Jun 2025, kerajaan menyalurkan sebanyak RM555 juta kepada lebih 160,000 penerima BWE, meningkat berbanding kira-kira 140,000 penerima pada tahun 2022,” katanya.
Selain itu, sebanyak RM100 juta turut disalurkan kepada lebih 30,000 penerima BPT dalam tempoh sama.
Nancy berkata bahawa kemasukan warga emas ke institusi jagaan seperti Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) hanya dibuat sebagai pilihan terakhir selepas semua usaha lain gagal.
KPWKM juga melaksanakan Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) membabitkan lebih 2000 sukarelawan, yang membantu menguruskan keperluan harian lebih 6000 warga emas seperti membeli barang keperluan dan menemani janji temu hospital.
Selain itu, lebih sebanyak 190 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) kini, beroperasi di seluruh negara memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga emas melalui penyertaan aktiviti komuniti dan penuaan aktif.
Orang awam boleh melaporkan kes pengabaian dan penderaan warga emas melalui Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24 jam atau aplikasi WhatsApp ke 019-261 5999.