Diterbitkan pada 5 November 2025, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Saringan Minda Sihat sebagai langkah pengesanan awal bagi mengenal pasti murid yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental seperti tanda-tanda awal kemurungan dan kebimbangan.

Saringan tersebut dijalankan setiap tahun melibatkan semua murid Tahun 5 hingga pelajar tingkatan enam di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek berkata bahawa dapatan saringan, bagi sekolah rendah, peratus murid yang berisiko menunjukkan tanda awal kemurungan menurun daripada 36.42 peratus bagi sesi 2022/2023 kepada 35.50 peratus bagi sesi 2023/2024.

“Angka itu terus menurun kepada 6.18 peratus bagi sesi 2024/2025 serta mencapai 5.39 peratus sehingga September 2025.

“Bagi tanda awal kebimbangan, peratusan murid sekolah rendah menurun mendadak daripada 6.52 peratus (2022/2023) kepada 6.23 peratus (2023/2024), 6.69 peratus (2024/2025) dan 5.75 peratus sehingga September 2025,” jawabnya ketika ditanya soalan  oleh ahli Parlimen Wangsa Maju Yang Berhormat (YB) Tuan Ir. Ts. Zahir Hassan.

Demikian jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek kepada YB Tuan Ir. Ts. Zahir Hassan di Parlimen, yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan statistik masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini memandangkan dapatan NHMS 2019 menunjukkan 7.9 peratus (424,000) pelajar terjejas.

Sementara itu, dapatan yang diperoleh di sekolah menengah pula menunjukkan peratus murid yang berada pada tahap sangat teruk bagi tanda awal kemurungan menurun daripada 2.21 peratus bagi sesi 2022/2023 kepada 1.72 peratus bagi sesi 2023/2024 dan seterusnya turun kepada 0.91 peratus bagi sesi 2024/2025 dan 0.80 peratus sehingga September 2025.

Bagi tanda awal kes kebimbangan yang sangat teruk, peratusan menurun daripada 4.83 peratus (2022/2023) kepada 3.57 peratus (2023/2024), 2.21 peratus (2024/2025) dan 2.01 peratus sehingga September 2025.

Ujar beliau, penurunan berkenaan membuktikan keberkesanan pengesanan awal, program sokongan psikososial, dan intervensi berfokus yang dilaksanakan di sekolah selari dengan pendekatan pencegahan berterusan bagi memastikan kesejahteraan murid terpelihara.

Beliau turut menjawab lagi soalan yang dikemukan oleh YB Tuan Ir. Ts. Zahir Hassan mengenai rancangan kerajaan bagi mewujudkan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di seluruh sekolah.

KPM kini melaksanakan Program Minda Sihat Sekolah yang bertujuan memperkasakan psikososial, menyokong kesejahteraan sosioemosi murid, serta memberikan intervensi kepada murid yang dikenal pasti

Jelas beliau, program itu merangkumi strategi seperti promosi minda sihat; saringan minda sihat; intervensi minda sihat; konsultasi ibu bapa atau penjaga dan kerjasama dari pelbagai agensi awam dan swasta.

“Saringan Minda Sihat akan dilaksanakan sekali setahun kepada semua murid tahun 5 hingga tingkatan enam bagi mengenal pasti masalah kesihatan mental yang teruk dan sangat teruk, saringan dilakukan dua kali setahun terhadap mereka.

“KPM terus kekal komited untuk memastikan kesejahteraan murid melalui pelbagai program kesedaran, kaunseling, dan intervensi agar isu kesihatan mental dapat ditangani secara berkesan,” tegasnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi