Diterbitkan pada 20 November 2025, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur– Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan sistem penilaian bagi kemasukan ke pengajian tertiari kekal adil dan standard untuk semua pelajar yang ingin melanjutkan pengajian  ke peringkat tertiari.

Menurut KPT, pelbagai laluan pendidikan sedia ada seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Diploma IPTA dan A-Levels menyediakan pilihan kepada pelajar untuk memperoleh kelayakan memasuki universiti.

“Setiap sistem ini mempunyai kelebihan tersendiri yang disesuaikan dengan keperluan pelajar dan institusi.

“Asas penubuhan laluan-laluan ini juga melalui punca kuasa yang jelas mengikut akta dan dasar yang berkuat kuasa pada ketika itu, termasuk pembentangan kepada Parlimen, Jemaah Menteri serta sesi libat urus bersama pihak berkepentingan,” jelas KPT dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat melalui portal rasmi Parlimen hari ini.

Demikian jawapan yang diberikan oleh KPT bagi menjawab pertanyaan ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui, yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menyemak dan menyatukan sistem peperiksaan kemasukan universiti seperti STPM, Matrikulasi dan Asasi bagi mewujudkan proses yang lebih adil dan telus.

Dalam jawapan yang sama, KPT turut menambah bahawa pendekatan pentaksiran yang digunakan juga berbeza, selaras dengan objektif dan hala tuju program berkenaan.

Ujarnya, kerajaan sentiasa mengkaji dan mempertimbang pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak mengenai penambahbaikan sistem pendidikan.

“Namun, sebarang keputusan akan melibatkan kajian yang teliti dan mengambil kira kesan kepada semua pemegang taruh.

“Dalam usaha ini, KPT akan terus bekerjasama dengan institusi pendidikan dan pihak berkepentingan untuk memastikan bahawa setiap pelajar mempunyai peluang yang saksama untuk berjaya dalam pendidikan tinggi,” tegasnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi