Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLangkawi – Sebanyak 120 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) menyertai Program REHLAH MINDA yang diadakan di Dataran Tanjung Rhu pada Ahad lalu bagi mencipta kenangan terakhir sebelum menamatkan sesi persekolahan tahun 2025.
Program yang mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan murid dengan guru serta sesama rakan sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.
Menurut Guru Penyelaras Tahun Enam, Khoirunnajah Kamal Husni, Program REHLAH MINDA diwujudkan selepas negara dilanda COVID-19 bagi memberikan pengalaman dan memori indah kepada murid yang bakal meninggalkan alam sekolah rendah.
Beliau berkata bahawa program pada tahun ini merupakan kali pertama diadakan di Tanjung Rhu dan lokasi seterusnya pada tahun hadapan dijangka bertukar ke Pulau Tuba.
Pelbagai aktiviti dirangka antaranya termasuklah sukaneka pantai, aktiviti berkumpulan dan persembahan melibatkan guru serta murid. Aktiviti sukaneka khususnya dilihat membantu mengeratkan hubungan sesama murid kerana memerlukan semangat berpasukan dan kerjasama antara mereka.
Memandangkan kesannya yang positif kepada perkembangan sosial dan emosi murid, pihak sekolah merancang untuk menjadikan REHLAH MINDA sebagai program tahunan SKPA.
Bagi penganjuran pada tahun hadapan, program tersebut dijangka diadakan di luar Langkawi susulan cadangan daripada ibu bapa dan guru yang mahukan kelainan dari segi lokasi dan suasana.