Diterbitkan pada 27 Januari 2026, 18:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan merancang untuk menubuhkan Pasukan Kuantum Negara bagi meneliti keseluruhan ekosistem teknologi kuantum secara holistik dan inklusif yang merangkumi dari aspek teknologi, dasar, penyelidikan, pembangunan modal insan, keselamatan serta pelaburan strategik.

Usaha itu digerakkan menerusi Kementerian Digital, yang turut membangunkan Kertas Strategik Dasar Kuantum Negara sebagai kerangka strategik bagi mengadaptasi teknologi kuantum di Malaysia.

Menurut Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, penubuhan pasukan berkenaan merupakan langkah kritikal untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi revolusi teknologi kuantum pada masa hadapan.

“Dalam Belanjawan 2026, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Kajian Pengadaptasian Teknologi Kuantum. Kajian menyeluruh ini merangkumi lima aspek utama iaitu, penyelidikan, inovasi, infrastruktur digital, pembangunan bakat, keselamatan, perundangan  serta pelaburan strategik,”.

“Bagi memperkukuh keselamatan kriptologi dan kesiapsiagaan pasca-kuantum, NACSA (MKN) dengan kerjasamaPusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM) sedang melaksanakan strategi nasional yang merangkumi pengurusan Rangka Kerja Migrasi PQC Kebangsaan, penyelidikan algoritma kriptografi terkini serta pemerkasaan ekosistem produk melalui Program Bukti Konsep (PoC) PQC Sandbox yang melibatkan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis Portal Rasmi Parlimen pada Selasa lalu.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut disokong oleh program advokasi dan latihan kepakaran bagi melahirkan tenaga pakar tempatan yang kompeten dalam mendepani ancaman siber pada era kuantum.

Demikian jawapan yang diberikan oleh beliau bagi menjawab  pertanyaan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Aminuddin Shari yang juga merangkap Ahli Parlimen Gombak  yang meminta penjelasan berhubung status pembangunan Dasar Pengkomputeran Kuantum Negara.

Pada masa yang sama, YAB Dato’ Seri Aminuddin Shari turut mempersoalkan usaha kerajaan untuk meningkatkan nilai dan kerumitan aktiviti ekonomi supaya mengekalkan kemahiran pekerja di negara ini.

YB Gobind Singh Deo juga menambah bahawa bagi memacu penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini, MOSTI melalui MIMOS telah menubuhkan Quantum Intelligence Centre (QIC) pada 25 Februari 2025 sebagai Hab R&D Kuantum negara.

Jelasnya lagi, pusat kecemerlangan ini memfokuskan kepada pembangunan teknologi strategik seperti Quantum AI, komunikasi kuantum, serta penderia (sensor) kuantum yang kritikal bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan teknologi pada masa hadapan.

“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan Malaysia memiliki kepakaran teknikal yang mendalam dalam komponen utama ekosistem kuantum global,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi