Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) akan mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang lebih inklusif di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Demikian menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh pada sesi pagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Rakyat semalam.
Sebelum ini, MBPK telah mengikuti program kurikulum kebangsaan sedia ada, iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pedidikan Khas (KSSRPK).
Menurut beliau, KSSRPK dengan silibus baharu ini bakal menawarkan tiga pakej mata pelajaran, iaitu Pendidikan Khas Individu Ketidakupayaan Penglihatan, Bahasa Isyarat Komunikasi dan Pengurusan Kehidupan yang disesuaikan dalam bahasa Melayu.
“Mata pelajaran khusus ini bertujuan untuk membantu MBPK meningkatkan fokus mereka untuk belajar dengan mengurangkan halangan belajar atas faktor ketidakupayaan yang dialami,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami keperluan menyediakan sokongan bahasa ibunda yang mempunyai nilai penting dalam perkembangan komunikasi, emosi dan juga identiti MBPK.
“Oleh itu, guru boleh mengintegrasikan penggunaan bahasa ibunda ketika di dalam dan di luar bilik darjah mengikut bahasa ibunda dan bahasa pengantar masing-masing.”
Bagi mempertingkatkan pelaksanaan dan memudahkan sesi pelajaran dan pembelajaran (PdP) guru, beliau berkata, mata pelajaran khas untuk MBPK ini akan dimasukkan ke dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang akan menawarkan mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil khusus untuk MBPK.
Selain itu, dokumen KP2027 bagi ketiga-tiga mata pelajaran khusus juga disediakan dalam bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil supaya dokumen tersebut boleh digunakan mengikut bahasa pengantar di sekolah.
YB Wong Kah Woh memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat bahawa KPM akan terus membuat peluasan kelas PPKI di seluruh negara di SK dan SJK.
“Kita akan meneliti setiap satu permohonan yang diajukan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum pihak KPM membuat keputusan sama ada membenarkan untuk membuat peluasan di sekolah berkenaan,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa KPM mempunyai kekangan dalam melaksanakan peluasan kelas PPKI yang melibatkan kekurangan fasiliti dan ketersediaan guru. Bagi mengatasi masalah fasiliti, beliau memberitahu bahawa ada sekolah yang sudi dan bersedia untuk membuat peluasan kelas PPKI tanpa kos, iaitu dengan menggunakan peruntukan atau dana sekolah sendiri. Perkara itu sememangnya amat dialu-alukan pihak KPM, ujar beliau lagi.
“Kekangan kedua ialah ketersediaan guru. Dalam beberapa tahun ini, pihak KPM dalam usaha meningkatkan pengambilan dan penempatan guru-guru PPKI.”
Berdasarkan rekod, sebanyak 1713 orang guru PPKI telah ditempatkan di seluruh negara pada tahun 2023, dengan penambahan sebanyak 449 orang guru pada tahun 2024 dan 829 orang guru pada tahun 2025.