Diterbitkan pada 10 April 2026, 19:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 pada 31 Mac lalu menandakan satu detik penting dalam landskap pendidikan negara. Kohort ini merupakan kumpulan pertama murid yang melalui keseluruhan sistem persekolahan tanpa menduduki peperiksaan berpusat pada peringkat rendah dan menengah rendah, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Ketiadaan kedua-dua peperiksaan ini mencerminkan peralihan dasar pendidikan negara ke arah pentaksiran yang lebih holistik, berterusan dan berfokuskan pembelajaran. Perubahan ini selari dengan usaha mengurangkan tekanan peperiksaan serta menggalakkan pembangunan potensi murid secara menyeluruh. Selain itu, kohort ini merupakan kelompok murid yang terkesan secara langsung oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19 sekitar tahun 2020, ketika mereka berada di Tahun Enam. Kohort yang sama kemudiannya berada di Tingkatan Lima pada tahun 2025 dan menduduki peperiksaan SPM. Mereka juga merupakan kohort SPM pertama yang melalui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang pada peringkat awalnya menjadi satu cabaran besar kepada mereka.

Namun demikian, perubahan ini turut menimbulkan persoalan penting tentang sejauh mana murid benar-benar bersedia menghadapi peperiksaan berimpak tinggi seperti SPM, khususnya dalam mata pelajaran tertentu seperti Matematik yang memerlukan penguasaan konsep secara kumulatif dan berperingkat. Oleh itu, pencapaian kohort ini bukan sekadar mencerminkan prestasi individu, malah menjadi indikator penting terhadap keberkesanan pendekatan pentaksiran baharu negara serta keperluan memperkukuh intervensi akademik secara lebih awal dan bersasar. Umpamanya, data semasa menunjukkan bahawa cabaran dalam mata pelajaran Matematik masih ketara. Dalam SPM 2023, subjek Matematik mencatatkan kadar kegagalan sebanyak 23.2%, menurun daripada 24.3% (2022) dan 25.5% (2021). Dalam SPM 2024 pula, kadar kegagalan masih berada pada tahap tinggi iaitu 22.4%. Walaupun terdapat trend penurunan, hakikat bahawa Matematik merupakan mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua calon menjadikan isu ini bersifat sistemik dan memerlukan pendekatan yang menyeluruh, bukan sekadar intervensi pada peringkat akhir persekolahan.

Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 memperkenalkan beberapa inisiatif dalam menangani isu kadar kegagalan murid dalam mata pelajaran tertentu, termasuklah Matematik dan Bahasa Melayu yang mencatatkan penurunan dalam SPM 2025, pada masa akan datang. Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) Tahun 4 merupakan satu langkah pencegahan awal yang signifikan melibatkan mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Dalam mata pelajaran Matematik, penilaian pada peringkat ini membolehkan kelemahan asas seperti kefahaman nombor, operasi dan penaakulan matematik dikenal pasti sebelum jurang pembelajaran menjadi lebih besar. Intervensi berfasa sepanjang Tahun 5 dan Tahun 6 membolehkan pemulihan berlaku secara berterusan. Pendekatan pentaksiran untuk pembelajaran yang diterapkan juga mengalihkan fokus daripada hafalan prosedur kepada pemahaman konsep, sejajar dengan tuntutan soalan Matematik SPM yang semakin berorientasikan kemahiran berfikir aras tinggi.

Langkah ini diperkukuh dengan peningkatan waktu pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah rendah daripada 576 jam kepada 608 jam mulai 2027. Penambahan masa ini memberikan ruang kepada pelaksanaan pengajaran berbeza, pemulihan berperingkat dan perancah (scaffolding) yang lebih sistematik.  Lebih penting, langkah ini tidak berdiri sendiri, tetapi digandingkan dengan program seperti Program Literasi dan Numerasi (PLaN), yang memastikan murid mencapai tahap minimum sebelum ke sekolah menengah. Hal ini bermaksud murid yang memasuki Tingkatan 1 bukan lagi membawa “defisit pembelajaran” yang besar yang merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan dalam Matematik SPM.

Namun begitu, dari sudut analisis kritikal, pertambahan masa sahaja tidak mencukupi. Keberkesanannya sangat bergantung kepada kualiti pedagogi guru, pendekatan pengajaran, dan penggunaan masa tersebut secara bermakna. Jika masa tambahan hanya digunakan untuk latih tubi rutin tanpa pemahaman konsep, impaknya terhadap SPM akan terhad. Sebaliknya, jika dimanfaatkan untuk membina pemahaman konseptual dan penaakulan matematik, maka kesannya boleh menjadi sangat signifikan. Situasi yang sama juga diaplikasikan dalam mata pelajaran bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan Malaysia, bahasa Inggeris dan Sains.

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) Tingkatan 3 juga memainkan peranan yang lebih langsung dan strategik dalam menangani kadar kegagalan mata pelajaran yang sama, dengan tambahan mata pelajaran Sejarah. Dalam konteks Matematik sebagai mata pelajaran teras dalam SPM, situasi fasa kritikal berlaku sebelum murid memasuki peringkat peperiksaan SPM sebenar. Pada tahap ini, penilaian berfungsi sebagai mekanisme diagnostik yang lebih mendalam untuk mengenal pasti jurang penguasaan konsep matematik yang lebih kompleks seperti algebra, fungsi, geometri dan penaakulan aras tinggi yang menjadi teras kepada soalan SPM.

Berbeza daripada intervensi pada peringkat sekolah rendah yang bersifat asas, MPM Tingkatan Tiga membolehkan tindakan pemulihan yang lebih bersasar dan intensif dilaksanakan dalam tempoh dua tahun terakhir persekolahan menengah, termasuk pengelompokan murid mengikut tahap, pengayaan bagi murid cemerlang, serta intervensi khusus bagi murid berisiko gagal. Selain itu, pendekatan pentaksiran untuk pembelajaran yang diterapkan melalui matriks ini membantu guru menilai bukan sahaja jawapan akhir, tetapi juga proses pemikiran matematik murid, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknik hafalan dan latih tubi semata-mata.

Hal ini penting kerana kegagalan dalam Matematik SPM sering berpunca daripada kelemahan dalam memahami konsep dan mengaplikasikannya dalam situasi baharu. Data yang diperoleh daripada MPM Tingkatan 3 juga membolehkan sekolah dan pihak kementerian merancang intervensi berasaskan bukti seperti kelas pemulihan berfokus, bimbingan berstruktur, serta pembangunan profesional guru dalam pedagogi matematik yang lebih efektif. Begitu juga halnya dengan mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah yang menjadi mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Pada masa yang sama, pelibatan Malaysia buat pertama kali dalam pentaksiran antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi Gred 4 (Tahun 4), serta kesinambungannya ke Gred 8 (Tingkatan 2), merupakan satu anjakan penting dalam memperkukuh sistem pendidikan matematik negara. Hal ini melibatkan mata pelajaran Sains dan Matematik. Penyertaan ini bukan sekadar untuk tujuan perbandingan antarabangsa, tetapi berfungsi sebagai mekanisme diagnostik berskala besar yang membolehkan negara menilai kekuatan dan kelemahan murid dalam domain kandungan dan kognitif secara lebih terperinci.

Dalam konteks mata pelajaran Matematik, data daripada TIMSS Gred 4 (sekolah rendah) membolehkan pengesanan awal terhadap kelemahan asas numerasi, manakala kesinambungan ke Gred 8 (sekolah menengah) membolehkan pemantauan perkembangan pembelajaran murid secara longitudinal. Dengan kata lain, negara bukan sahaja mengetahui “apa yang murid tidak tahu”, tetapi juga “bila” dan “di mana” jurang tersebut mula berlaku. Maklumat ini sangat bermakna dalam merangka intervensi yang lebih tepat dan berasaskan bukti, termasuklah penambahbaikan kurikulum, latihan guru, serta strategi pengajaran yang menekankan pemahaman konsep dan penaakulan.

Keselarasan antara TIMSS Gred 4, Gred 8, Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Matriks Tingkatan Tiga membentuk satu rantaian pentaksiran yang kohesif, yang membolehkan pemantauan pembelajaran murid secara berterusan dari peringkat rendah hingga menengah. Secara tidak langsung, pendekatan ini membantu mengelakkan situasi di mana kelemahan hanya disedari apabila murid sudah berada di ambang SPM.

Perubahan kemasukan Tahun 1 kepada umur 6 tahun mulai 2027 mempunyai kaitan secara langsung, walaupun bersifat jangka panjang, dengan pencapaian semua mata pelajaran dalam SPM kerana menyentuh fasa paling asas dalam pembinaan kefahaman konsep, iaitu kesediaan kognitif dan emosi kanak-kanak. Pada usia enam tahun, terdapat variasi perkembangan yang ketara antara murid dari segi kematangan, keupayaan perhatian, bahasa, dan pemikiran logik. Jika sebahagian murid memasuki Tahun 1 tanpa kesediaan yang mencukupi, dalam konteks Matematik misalnya, mereka berisiko mengalami kesukaran memahami konsep asas seperti nombor, nilai tempat, dan operasi awal. Kelemahan ini, jika tidak ditangani, akan menjadi defisit kumulatif yang berlarutan hingga ke sekolah menengah dan akhirnya mempengaruhi prestasi dalam Matematik SPM.

Namun begitu, jika perubahan ini diurus dengan baik, hal ini juga boleh menjadi peluang besar untuk memperkukuh asas matematik. Kemasukan lebih awal memberikan ruang masa yang lebih panjang untuk membina konsep secara berperingkat, dengan syarat pendekatan pedagogi disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak, iaitu melalui pembelajaran berasaskan permainan, konteks sebenar, dan perancah (scaffolding) yang sistematik. Dalam hal ini, peranan guru menjadi kritikal untuk memastikan bahawa pengajaran tidak terlalu abstrak atau berorientasikan silibus semata-mata, tetapi benar-benar menyokong pembinaan makna matematik sejak awal.

Kesimpulannya, usaha menangani kadar kegagalan mata pelajaran tertentu dalam SPM termasuklah Matematik memerlukan pendekatan sistemik yang merangkumi keseluruhan laluan pendidikan murid. Gabungan inisiatif seperti Matriks Pembelajaran, peningkatan masa pembelajaran dan pengajaran (PdP), penglibatan dalam TIMSS, serta penyesuaian dasar kemasukan sekolah mencerminkan satu transformasi pendidikan yang lebih berasaskan data, pencegahan awal dan pemantauan berterusan. Sekiranya dilaksanakan dengan berkesan, pendekatan ini bukan sahaja mampu mengurangkan kadar kegagalan mata pelajaran tertentu dalam SPM, tetapi juga dapat membina generasi yang lebih berkeupayaan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi