Diterbitkan pada 14 Mei 2026, 18:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Usai menonton The Devil Wears Prada 2 (TDWP2) di Aman Central, Alor Setar hujung minggu lalu, terbit suatu rasa nostalgia yang sukar ditafsirkan antara teruja, terharu dan sedikit reflektif. Perasaan ini hadir bukan sekadar kerana naskhah sekuel itu sendiri, tetapi kerana menghidupkan kembali memori terhadap filem asal, The Devil Wears Prada (2006) yang pernah menjadi fenomena budaya pop pada pertengahan dekad 2000-an.

Melihat gandingan empat pelakon utama Hollywood bertaraf mega, iaitu Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci bersatu semula setelah dua dekad, seolah-olah masa tidak menyentuh mereka dengan ketara baik dari segi wajah mahupun fizikal! Lebih menarik, umum mengetahui bahawa Meryl jarang-jarang menerima tawaran untuk filem sekuel, dan hampir tiada kecuali Mamma Mia! (2008) dan Mamma Mia! Her We Go Again (2018). Kemunculannya itu pun sebagai penampilan ringkas sahaja. Oleh itu, persetujuannya untuk kembali sebagai Miranda Priestly merupakan suatu “peristiwa” tersendiri dalam dunia perfileman.

Fenomena sekuel ini bukanlah perkara baharu. Industri filem Hollywood lewat kebelakangan ini, sebagai contoh, semakin giat “menghidupkan semula” karya lama sebagai strategi untuk memanfaatkan nostalgia dan memori penonton. Misalnya, Freaky Friday (2003) diteruskan melalui Freakier Friday (2025), manakala francais The Princess Diaries (2001) dan The Princess Diaries 2: Royal Engagement (2004) turut disambung dengan The Princess Diaries 3 (2026/2027). Trend ini membuktikan bahawa kekuatan nostalgia masih ampuh dalam menarik penonton ke pawagam, biarpun dunia hiburan kini didominasi platform penstriman seperti Netflix, Apple TV, Disney Plus dan Amazon Prime Video.

Dilaporkan bahawa filem ini meraih kutipan pembukaan mencecah A.S234 juta ketimbang belanjawan sebanyak 100 juta dolar pada peringkat global pada minggu pertama tayangannya, yang menunjukkan satu indikator jelas bahawa “kuasa empat sekawan” ini masih berbisa dan relevan dalam menarik minat generasi lama dan baharu.

Meskipun berhadapan dengan pujian dan kritikan, namun bergantung kepada tujuan, cita rasa dan keinginan penggemar dan pengkritik filem yang menontonnya. Dalam hal ini, saya suka untuk membawa pembaca kepada kenyataan Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid ketika memberikan ulasan dalam artikelnya, “Michael Kembalikan Memori Pop” (2026):

“Hari ini, penerimaan terhadap sesebuah filem tidak lagi bergerak dalam satu arah yang seragam. Sebuah filem boleh ditolak oleh pengkritik, tetapi pada masa yang sama diraikan oleh penonton. Fenomena ini semakin ketara pada era digital apabila reaksi terhadap filem tidak lagi dibentuk oleh ulasan akhbar semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh media sosial, nostalgia, komuniti peminat dan pengalaman tontonan yang bersifat lebih peribadi.”

Peralihan Era dan Perubahan Mekanisme

Dari sudut naratif, filem TDWP2 ini mengangkat tema dunia penerbitan yang kini berhadapan dengan transformasi besar, iaitu daripada dominasi media cetak kepada era digital dan media sosial. Majalah Runway, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol prestij dunia fesyen, kini terpaksa beradaptasi dengan kehendak pasaran digital dan semasa. Cabaran utama mereka bukan sekadar menjual kandungan, tetapi mengekalkan kredibiliti dalam dunia yang semakin dipacu algoritma dan sensasi.

Di sinilah terletaknya kehalusan penceritaan filem ini tentang kaedah penerbit, editor dan penulis perlu mengimbangi antara tuntutan generasi lama yang menghargai kedalaman kandungan dengan generasi baharu yang cenderung kepada kepantasan dan visual. Persoalannya, adakah adakah “kualiti” masih menjadi ukuran dalam dunia yang serba pantas ini?

Langkah penjimatan organisasi serta tuntutan agar pekerja sentiasa menyesuaikan diri dengan kehendak majikan demi kelangsungan kerjaya turut menjadi tema penting yang mengangkat realiti dunia pekerjaan masa kini. Dalam konteks industri media dan fesyen yang semakin terkesan oleh perubahan ekonomi digital, kecekapan, fleksibiliti dan kesediaan berkorban menjadi antara prasyarat utama untuk terus relevan.

Babak yang memaparkan Miranda terpaksa berkompromi dengan menaiki penerbangan kelas ekonomi serta makan di kafeteria syarikat bersama-sama sekumpulan orang muda yang sebelum ini asing baginya disampaikan dengan nada ringan yang mencuit hati, namun sarat makna. Hal tersebut bukan sekadar elemen komedi, tetapi simbol kepada peralihan kuasa dan norma dalam organisasi.

Situasi ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa Miranda kini lebih bersifat pragmatik dan terbuka terhadap perubahan. “Kelonggaran” sikapnya bukanlah cerminan kelemahannya, sebaliknya mencerminkan proses penyesuaian seorang pemimpin berpengalaman yang memahami tuntutan zaman, tanpa mengorbankan identiti profesionalnya.

Elemen kepelbagaian (diversity) turut diselitkan secara organik. Watak Amari lakonan pelakon British berketurunan India Tamil, Simone Ashley; seorang pembantu muda kepada Miranda dan Jin Chao lakonan Helen J. Shen berketurunan Asia-Amerika sebagai pembantu kepada Andy Sachs mencerminkan realiti persekitaran tempat kerja global masa kini. Selain itu, kehadiran watak lelaki bertubuh gempal, Charlie lakonan Caleb Hearon dalam industri fesyen secara halus mencabar stereotaip bahawa dunia tersebut hanya milik individu bertubuh ideal dan berpenampilan tertentu atau mengikut standard sesebuah syarikat.

Yang menariknya, filem ini juga memasukkan slanga Gen Z seperti “slay,” “iconic” dan “main character energy” yang mencerminkan evolusi bahasa dalam budaya digital. Namun begitu, di sebalik slanga tersebut, watak Amari berfungsi sebagai “penapis sosial” kepada Miranda dengan mengingatkan bahawa sensitiviti bahasa kini menjadi suatu keperluan, bukan lagi pilihan.

Budaya pop yang merangkumi fenomena meme dalam talian, penampilan selebriti ternama, pengaruh pempengaruh digital, aliran fesyen semasa, muzik kontemporari serta dominasi media sosial turut menjadi lensa penting dalam mentafsirkan realiti dunia hari ini. Melaluinya, filem ini secara tersirat menyisipkan kritikan sosial terhadap obsesi masyarakat terhadap validasi digital, budaya tular yang bersifat sementara, tekanan untuk sentiasa relevan dalam ruang awam maya serta kecenderungan menilai nilai dan potensi diri berdasarkan persepsi luaran berbanding dengan keaslian dan kepuasan peribadi.

Sebagai seorang yang menggemari filem bertemakan dunia penulisan seperti State of Play (2009), The Ghost Writer (2010) dan The Post (2017), saya melihat filem ini sebagai satu refleksi penting terhadap dunia kepengarangan masa kini. Pada era kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan sesiapa sahaja “menulis”, persoalan utama yang timbul dan perlu digarap ialah di manakah letaknya jiwa dan rasa dalam sesuatu karya? Teknologi mungkin mampu membantu struktur, tetapi nilai kemanusiaan dalam penulisan tetap tidak terganti.

Nilai Motivasi di Luar Layar Lebar

Di luar layar, kisah di sebalik pembikinan filem ini juga sarat dengan nilai motivasi. Anne Hathaway sebenarnya bukan pilihan pertama (tetapi kesembilan menurutnya) untuk watak Andy Sachs. Nama-nama seperti Rachel McAdams, Juliette Lewis dan Claire Danes pernah dipertimbangkan malahan merupakan pilihan utama syarikat produksi. Pada ketika itu, Anne masih belum dianggap sebagai pelakon yang benar-benar kukuh dalam landskap arus perdana di Hollywood.

Beliau lebih sinonim dengan watak-watak dalam filem bercorak mesra keluarga (family-friendly) seperti The Princess Diaries dan sekuelnya yang menampilkan imej polos dan remaja. Oleh itu, pemilihannya untuk membawakan watak Andy yang menuntut dimensi kematangan, ketegasan dan nuansa emosi yang lebih kompleks dilihat sebagai satu pertaruhan berani oleh pihak produksi. Namun begitu, kesungguhan Anne akhirnya membuka ruang untuk beliau membuktikan kemampuan, sekaligus menjadi satu pengajaran tentang pentingnya membina keyakinan diri.

Pada masa yang sama, keputusan Rachel McAdams menolak tawaran emas tersebut sebanyak tiga kali demi menjaga kesihatan mental selepas kejayaan besar filem blockbuster Mean Girls dan The Notebook pada tahun 2004 juga wajar dihargai. Hal ini mengingatkan kita bahawa demi mengejar kekayaan, populariti diri tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan diri, terutamanya berkaitan dengan aspek penjagaan mental.

Meryl Streep pula memperlihatkan dimensi berbeza, iaitu keberanian mengetahui nilai diri dan harga kraf lakonan yang telah dibentuk berdasawarsa lamanya. Beliau pada awalnya menolak tawaran watak Miranda Priestly sebelum akhirnya bersetuju dengan syarat bayaran yang setimpal, dua kali ganda daripada tawaran asal selari dengan reputasinya sebagai pemenang Anugerah Akademi pada masa itu melalui Kramer vs. Kramer (1979) dan Sophie’s Choice (1982) serta ratusan anugerah dan pencalonan diterima melalui koleksi filem-filem hebat lakonannya.

Keadilan kepada Filem Pertama

Secara keseluruhannya, filem ini tidak sekadar menghidupkan semula nostalgia, tetapi memberikan kesinambungan yang adil kepada karya asal. Penghasilannya tidak cuba menjadi terlalu sarat, sebaliknya memilih untuk berkembang secara organik dan alami baik dari sudut fesyen, kewartawanan, penerbitan, teknologi, budaya pop mahupun dinamika antara generasi.

Rujukan terhadap karya terdahulu disisipkan secara halus namun signifikan, dengan memperlihatkan kepekaan penulis skrip dan pengarah dalam menghormati legasi filem asal. Antaranya termasuklah penggunaan warna biru cerulean yang bukan sekadar pilihan estetik pada tali pinggang dan baju panas, tetapi merujuk secara langsung kepada monolog ikonik Miranda tentang hierarki fesyen dalam filem The Devil Wears Prada.

Dialog ringkas seperti “That’s all” turut dikekalkan sebagai simbol autoriti watak tersebut, manakala babak pembukaan yang menyerupai montaj persediaan pagi dalam filem pertama berfungsi sebagai naratif yang menghubungkan dua dekad penceritaan. Sentuhan ini bukan sekadar elemen nostalgia, tetapi bertindak sebagai jambatan emosi yang mengikat pengalaman penonton lama dengan perkembangan baharu yang ditampilkan dalam sekuel ini. Terkadang, perakra yang tidak diterima pada masa lalu menjadi kebiasaan pada masa kini, begitulah sebaliknya.

Mungkin ada yang merasakan watak Miranda kini lebih “lembut,” Nigel dan Andy masih setia serta Emily kelihatan lebih antagonistik. Namun, itulah hakikat kehidupan. Tempoh selama 20 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat kerana melibatkan perubahan, kematangan dan perspektif baharu.

Seperti kehidupan sebenar, ada yang kekal, ada yang berubah dan ada yang telah pergi. Namun nilai seperti kesetiaan, kerja keras dan keikhlasan tetap menjadi asas kepada pembentukan diri yang bermaruah dan berprinsip.

Akhirnya, The Devil Wears Prada kekal sebagai sebuah karya yang merentasi zaman dan generasi dan mengajar kita bahawa kejayaan tidak terikat pada usia, jantina atau fizikal, tetapi pada usaha yang konsisten dan kepercayaan terhadap diri sendiri. Dalam dunia yang senantiasa berubah, barangkali itu sahaja yang kekal relevan.

Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah merupakan Pengerusi Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian (BPLB) di Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam seputar topik undang-undang, isu semasa, motivasi, figura, sukan, muzik dan filem.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi