Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Guru merupakan insan terpenting dalam ekosistem persekolahan di Malaysia dan tiada sesiapa pun yang boleh menafikannya. Ketika ibu bapa murid sibuk bekerja mencari rezeki di tempat kerja masing-masing, golongan inilah yang mendidik anak-anak mereka. Sehingga 31 Ogos 2025, data menunjukkan bahawa sebanyak 96.51 peratus atau 416,096 perjawatan guru daripada 431,128 telah diisi di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negara. Anak-anak meluangkan hampir seharian di sekolah pada hari-hari biasa, malah ada kalanya melibatkan kelas tambahan pada hujung minggu bersama-sama guru mereka.

Tujuan mengajar melangkaui gaji bulanan yang diterima, iaitu memastikan modal insan yang meneruskan legasi kemajuan negara tidak terputus selamanya. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), golongan pendidik ini memastikan modal insan yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan seimbang daripada pelbagai aspek yang diperlukan oleh negara tercinta.

Tema Hari Guru pada tahun ini dilihat sangat bertepatan dengan keadaan semasa, iaitu “Guru Bitara Nadi Negara”. Penulis cuba memberikan definisi awal setiap perkataan dengan merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). “Guru” merujuk kepada insan yang mengajar, dan turut dikenali sebagai pendidik, pengajar dan pengasuh. “Bitara” pula didefinisikan sebagai tiada taranya atau hanya satu-satunya. Menurut PRPM, terdapat beberapa definisi nadi, namun yang paling sesuai dalam konteks tema Hari Guru ialah unsur atau faktor yang menjadi asas atau penggerak utama kepada sesuatu. Manakala negara merujuk negara kita, Malaysia yang tercinta. Sehubungan itu, apabila digabungkan setiap definisi tersebut, “Guru Bitara Nadi Negara” membawa maksud guru tidak kiralah apapun jua gelaran dan panggilannya, merupakan insan yang tiada tara dan tandingannya selagi mereka menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada penerima khususnya golongan murid dalam menggerakkan dan mengemudi negara menerusi pembentukan modal insan yang mampu menyumbang kepada negara tercinta. “Nadi” secara metafora pula merupakan denyutan tanpa henti yang terus memberikan kehidupan kepada negara. Andainya nadi berhenti, maka gelaplah masa hadapan negara sebagaimana pengakhiran kehidupan manusia tatkala nadi terhenti.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada setiap tahun menggariskan kriteria graduan yang diperlukan oleh industri pada masa hadapan seiring dengan kepesatan teknologi yang tidak pernah berhenti. Kriteria graduan masa hadapan tidak lagi bergantung semata-mata pada pencapaian ijazah akademik. Sebaliknya, lebih menekankan keupayaan untuk beradaptasi dalam landskap pekerjaan yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

Berdasarkan kluster kemahiran yang diketengahkan oleh WEF, graduan perlu menguasai kemahiran kognitif sebagai teras utama, khususnya pemikiran analitikal untuk menyelesaikan masalah kompleks berasaskan data serta pemikiran kreatif yang menyokong inovasi. Di samping itu, kecekapan teknologi menjadi keperluan asas meliputi literasi digital yang tinggi, keupayaan memanfaatkan AI dan analisis data raya, serta kesedaran tentang keselamatan siber. Dalam konteks pasaran kerja yang dinamik, graduan juga perlu memiliki keupayaan pengurusan kendiri seperti daya tahan, fleksibiliti, sikap ingin tahu, pembelajaran sepanjang hayat, serta motivasi dan kesedaran kendiri yang jelas. Walaupun teknologi semakin dominan, kemahiran insaniah dan kepimpinan tetap penting termasuk kebolehan memimpin, mempengaruhi secara positif, serta mengamalkan empati dan komunikasi yang berkesan. Selain itu, kesedaran terhadap kelestarian dan ekonomi hijau turut menjadi nilai tambah melalui penguasaan kemahiran hijau serta komitmen terhadap amalan rendah karbon. Secara ringkasnya, graduan masa hadapan perlu mencapai keseimbangan antara kemahiran teknikal digital dengan kemahiran insaniah bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja global menjelang tahun 2030.

Dalam proses menghasilkan graduan yang memiliki atribut sedemikian, kerajaan khususnya KPM, giat memastikan pelan pendidikan tidak bersifat statik, sebaliknya dinamik agar selaras dengan perkembangan situasi semasa dan kepesatan teknologi yang tidak pernah bernoktah. Jika ditelusuri, selepas negara mencapai kemerdekaan, telah banyak perubahan daripada aspek kurikulum, pedagogi, pentaksiran dan infrastruktur yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan hasrat dan matlamat pendidikan negara duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Siapakah lagi yang menggerakkan ekosistem yang juga merupakan nadi kepada sistem ini kalau bukan insan yang bergelar guru? Mereka yang lahir daripada sistem pendidikan negara inilah yang menerajui negara dalam pelbagai sektor, sama ada sektor perkilangan, perkapalan, perubatan, pengangkutan, pembinaan dan banyak lagi yang menggerakkan negara untuk terus maju ke hadapan.

Seiring dengan perkembangan Malaysia, keperluan negara serta perubahan global, dari tahun ke tahun, dekad ke dekad dan abad ke abad, sistem pendidikan di Malaysia menunjukkan evolusi yang berterusan. Pada era 1950-an, Laporan Razak 1956 memberikan penekanan terhadap perpaduan nasional dan pembentukan sistem pendidikan kebangsaan sebagai asas penyatuan masyarakat pelbagai kaum. Memasuki era 1960-an, Laporan Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran menumpukan penyeragaman pendidikan melalui kurikulum, bahasa dan sistem persekolahan yang lebih berstruktur. Pada tahun 1980-an pula, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) diperkenalkan bagi melahirkan insan yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Seterusnya, pada era 1990-an yang dipengaruhi Wawasan 2020 memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan serta integrasi teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dalam pendidikan. Dalam tempoh 2006 hingga 2010, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006–2010 (PIPP) dilaksanakan bagi memperkukuh transformasi sistem pendidikan secara lebih menyeluruh.

Kemudian, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 (PPPM) memperkenalkan reformasi pendidikan berskala besar dengan penanda aras global seperti Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) bagi meningkatkan daya saing pendidikan negara. Kini, Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM) pula menumpukan pendidikan masa depan yang menekankan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi pendidikan, kesejahteraan murid dan fleksibiliti pembelajaran abad ke-21.

Guru menyedari bahawa dasar dan pelan ini penting untuk negara dan tanpa banyak rungutan serta keluhan, mereka sebagai agen terpenting dalam ekosistem pendidikan negara berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikannya dalam melahirkan modal insan seperti yang dihasratkan. Golongan pendidik umpama “yang patah tumbuh, yang hilang berganti”. Tugas mendidik generasi demi generasi tidak pernah terhenti walaupun guru silih berganti dari semasa ke semasa. Seorang guru mungkin bersara, berpindah sekolah, meninggalkan dunia pendidikan atau meninggalkan dunia ini, namun sentiasa akan hadir guru lain yang meneruskan amanah untuk mendidik anak bangsa. Institusi pendidikan dan peranan guru bersifat berterusan serta menjadi tunjang kelangsungan ilmu dalam masyarakat. Ilmu, nilai, kemahiran dan didikan yang disampaikan oleh seorang guru akan terus hidup melalui murid-muridnya walaupun guru tersebut sudah tiada. Kerjaya perguruan merupakan legasi ilmu yang tidak akan putus kerana setiap generasi guru akan melahirkan generasi baharu yang bakal menyambung perjuangan membina masyarakat dan negara.

Sesungguhnya tema yang diketengahkan sempena Hari Guru 2026 ini sangat bertepatan dengan peranan dan sumbangan guru sebagai nadi yang sentiasa memastikan negara tidak akan pernah ketandusan modal insan yang seimbang daripada pelbagai aspek selagi wujudnya insan bernama guru ini.

Selamat Hari Guru.

Prof Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia.

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi