Diterbitkan pada 17 Jun 2026, 22:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gedong – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan kemeriahan siri Sambutan Ulang Tahun Ke-70 di Bumi Kenyalang apabila Daerah Gedong, Sarawak dipilih sebagai lokasi persinggahan seterusnya melalui penganjuran pelbagai aktiviti, termasuklah Perlawanan Futsal Muhibah Lima Penjuru dan inisiatif pembudayaan sastera.

Perlawanan futsal berkonsepkan liga ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari di Gelanggang Futsal Gedong.

Pasukan KMKK Gedong meraikan jaringan gol yang dihasilkan ketika Perlawanan Futsal Muhibah.

Sebanyak lima buah pasukan menyertai perlawanan ini, iaitu pasukan karyawan DBP, pasukan Majlis Daerah Gedong, gandingan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Gedong, pasukan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Gedong serta wakil Pejabat Daerah Gedong.

Selepas mengharungi beberapa siri perlawanan yang mendebarkan, pasukan Pejabat Daerah Gedong akhirnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan Perlawanan Futsal Muhibah Lima Penjuru.

Ketua Pengarah DBP, Ybgh. Datuk Dr. Hazami tidak melepaskan peluang menunjukkan kelincahan beliau dalam perlawanan futsal muhibah petang tadi.

Kejuaraan berjaya diraih oleh pasukan Majlis Daerah Gedong selepas menewaskan pasukan pencabar lain untuk merangkul kejuaraan manakala pasukan lain mempamerkan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

Pasukan futsal Majlis Daerah Gedong berjaya merangkul kejuaraan Pertandingan Futsal Muhibah Lima Penjuru.

Dalam usaha memperkasakan kelestarian sastera, Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP turut diserikan dengan inisiatif pemasangan papan tanda pantun di tiga buah lokasi strategik, iaitu di sekitar Simpang Pusat Pertumbuhan Desa (RGC), Jambatan Gedong-Simunjan dan Perpustakaan Awam Desa Gedong.

 

Simbolik pemasangan papan tanda pantun disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP bersama-sama dengan YBrs. Encik Jamain Wahab, Pegawai Daerah Gedong di Simpang Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Gedong.

Pemasangan papan tanda pantun tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP bersama-sama dengan YBrs. Encik Jamain Wahab, Pegawai Daerah Gedong.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengindahkan landskap awam, malah menjadi medium yang berkesan untuk menggalakkan masyarakat setempat terus menghargai, menghayati dan memartabatkan keindahan sastera Melayu.

Penyerahan Naskhah Budi MADANI oleh Ybhg. Dato’ Dr. Hazami Jahari kepada wakil Perpustakaan Desa Gedong.

Selain itu, DBP turut menganjurkan Majlis Penyerahan Naskhah Budi MADANI di Perpustakaan Awam Desa Gedong menerusi penyampaian sumbangan buku terbitan DBP.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan DBP untuk membudayakan amalan membaca serta memperluas akses masyarakat kepada bahan bacaan ilmiah, sastera dan kenegaraan yang berkualiti.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail; Setiausaha Majlis Daerah Gedong, YBrs. Puan Farrah Sofya Haji Mohd Sarbini; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, YBrs. Puan Norhasmanalinda Mustapa.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi