Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperuntukkan dana berjumlah RM14.4 juta bagi pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada pelajar tingkatan enam pada tahun ini.
Secara keseluruhan, sebanyak 96,013 orang pelajar tingkatan enam yang merangkumi pelajar baharu dan sedia ada di seluruh negara layak menerima inisiatif bantuan kewangan tersebut pada tahun 2026.
KPM menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa agihan BAP itu turut dipanjangkan secara khusus kepada pelajar tingkatan enam baharu yang telah mendaftar pada 8 Jun lalu.
“Pada tahun ini, sebanyak 52,810 orang pelajar baharu di 616 buah Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara bakal menerima manfaat bantuan tunai sebanyak RM150 bagi setiap pelajar,” jelas kenyataan media KPM pada hari ini.
Proses pengagihan bantuan kepada pelajar baharu berkenaan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak PTE bermula pada 28 Jun 2026 hingga 27 Julai 2026.
“Peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan enam yang bermula pada tahun lalu merupakan cerminan keprihatinan Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persediaan keperluan persekolahan,” jelas KPM lagi.
Tambah kenyataan tersebut, inisiatif berterusan ini juga sekali gus membuktikan komitmen jitu pihak kerajaan untuk terus memperkasakan sistem pendidikan tingkatan enam di negara ini.
Sebagai rekod, langkah penyaluran tersebut diteruskan selaras dengan kelulusan peluasan pemberian BAP kepada pelajar tingkatan enam yang telah diputuskan pertama kali bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.