Diterbitkan pada 9 Julai 2026, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) mengambil maklum kekeliruan yang tular dalam media sosial berhubung dengan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Mukim Hulu Semenyih, Selangor dan tampil memberikan penjelasan rasmi bagi memastikan maklumat tepat disampaikan kepada masyarakat.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Hannah Yeoh berkata, projek tersebut telah lama dirancang bermula dari tahun 2005 dengan objektif utama untuk menangani kekurangan tapak perkuburan Islam bagi warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Semenyih.

Menurut beliau, kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini berada pada tahap kritikal apabila telah melebihi 70 peratus penggunaannya.

Sehingga Jun 2023, kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan pengebumian sehingga sekitar tahun 2032.

“Sehubungan dengan itu, penyediaan tapak perkuburan baharu merupakan satu keperluan mendesak bagi menjamin kebajikan umat Islam pada masa hadapan,” ujar beliau.

Tambah beliau, projek pembangunan tersebut dilaksanakan melalui kaedah kerjasama awam dan swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar, dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pembangunan, pemaju bertanggungjawab menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja-kerja tanah bagi penyediaan sebanyak 104,470 lot kubur Islam untuk kegunaan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, tanah tapak projek tersebut kekal sebagai milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan pengurusan, pentadbiran serta operasi tapak perkuburan itu akan terus berada di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), bukannya diuruskan oleh mana-mana syarikat swasta.

Pada masa yang sama, projek berkenaan turut memberikan manfaat kepada komuniti setempat apabila sebanyak 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan diperuntukkan bagi tujuan pengebumian penduduk sekitar di negeri Selangor, sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan tersebut memberi manfaat bersama.

Selain itu, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, projek ini juga merangkumi pembinaan jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer yang menghubungkan Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK) serta menyediakan laluan alternatif yang lebih lancar kepada penduduk setempat.

Menurut Datuk Seri Dr. Hannah Yeoh, kos keseluruhan pembinaan jalan pintas berjumlah RM93.89 juta tidak ditanggung oleh kerajaan, sebaliknya dibiayai oleh pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor.

JWP turut menegaskan bahawa projek tersebut telah melalui pelbagai peringkat penilaian termasuk penilaian teknikal, penarafan nilai (Value Management Lab) serta proses kelulusan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan kepentingan awam bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, di samping menyediakan kemudahan asas yang lebih baik untuk generasi akan datang,” ujar beliau.

JWP turut menggesa orang ramai agar mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang tidak tepat, selaras dengan usaha memastikan penyampaian maklumat yang sahih dan bertanggungjawab.

May be an image of slow loris and text

Kredit Foto: Facebook Datuk Seri Dr. Hannah Yeoh
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi