Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemua pihak dijemput untuk menjadi sukarelawan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan memohon menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac), bermula hari ini.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memaklumkan, pendaftaran MyVac boleh dibuat melalui laman web www.myvac.com.my, yang bertujuan untuk membantu petugas barisan hadapan dalam urusan penyampaian vaksin kepada penerima.
MyVac terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta sihat tubuh badan dan mereka boleh mendaftar satu daripada dua kategori yang ditawarkan, iaitu sebagai sukarelawan am atau sukarelawan perubatan. Sukarelawan MyVac akan ditugaskan di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) di seluruh negara. Mereka juga boleh memilih lokasi dan masa mengikut kelapangan masing-masing. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), satu sesi latihan secara maya juga akan diberikan kepada sukarelawan yang memenuhi kriteria yang dicari.
Terdahulu, inisiatif MyVac dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin. Majlis pelancaran itu dihadiri oleh Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) yang juga Tunku Temenggong Kedah, Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.