Diterbitkan pada 25 Julai 2026, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar pihak Aurelius Healthcare menjalankan kajian serta meneroka potensi pembangunan sebuah hospital di Perlis sebagai usaha memperkukuh akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Demikian titah baginda ketika berkenan menerima mengadap Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap Pengasas Aurelius Healthcare, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Amir Firdaus Abdullah dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Arau.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Yang Amat Mulia (YAM) Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Delegasi Aurelius Healthcare turut disertai oleh Pengarah Perubatan Kumpulan (Malaysia), YBrs. Dr. Terence Leslie De Silva; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aurelius Hospital Alor Setar (AHAS), YBrs. Dr. Ahmad Syamir Abdullah; serta Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan, YBrs. Puan Adeline Abdul Ghani.

Yang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Dalam sesi mengadap tersebut, Aurelius Healthcare menyembah maklum pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Perlis bagi tahun 2026 yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM70,000. Kumpulan itu kini beroperasi di tiga buah negeri, iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah, selain mempunyai tujuh buah hospital di luar negara.

Peruntukan CSR tersebut meliputi empat komponen utama, iaitu pembiayaan rawatan katarak untuk lima orang pesakit berjumlah RM22,520, prosedur Arteriovenous Fistula (AVF) bagi lima orang pesakit sebanyak RM22,520, Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang bernilai RM14,960 serta penajaan berjumlah RM10,000 bagi penganjuran Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 Tahun 2026.

Antara fokus utama yang dibincangkan termasuklah pelaksanaan Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang yang akan dijalankan secara berfasa dari Julai hingga Oktober 2026 melibatkan kesemua 22 mukim di Perlis.

Program yang diterajui oleh Aurelius Hospital Alor Setar ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit buah pinggang kronik (CKD) menerusi pendidikan kesihatan, usaha pencegahan dan pengesanan awal. Antara aktiviti yang dirancang termasuklah ceramah oleh pakar perunding, sesi soal jawab, edaran bahan pendidikan kesihatan serta penyediaan laluan rujukan kepada individu yang memerlukan rawatan lanjut.

Perkara lain yang turut dibincangkan ialah cadangan memperluas saringan kesihatan di sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI) dan paras gula dalam darah sebagai langkah intervensi awal bagi menangani masalah obesiti, diabetes dan penyakit hati berlemak dalam kalangan pelajar.

Cadangan lain termasuklah memperkukuh budaya penjagaan kesihatan di sekolah melalui pengurusan kantin yang lebih sihat serta kempen menggalakkan pelajar membawa bekalan air putih ke sekolah.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh pelaksanaan prosedur AVF untuk pesakit buah pinggang menerusi dana CSR Aurelius Hospital Alor Setar dengan kerjasama MAIPs serta Unit Kerja Sosial bagi mengenal pasti penerima yang layak.

Delegasi Aurelius Healthcare juga menawarkan kerjasama dalam penyediaan rawatan kepada pesakit kanser memandangkan Aurelius Hospital Alor Setar mempunyai kepakaran dalam bidang onkologi.

Pada majlis yang sama, Aurelius Healthcare mengumumkan penajaan berjumlah RM10,000 bagi Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 Tahun 2026 yang berlangsung dari 25 hingga 29 Julai di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi