Diterbitkan pada 24 Julai 2026, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemahiran asas penterjemahan kini menjadi antara fokus utama yang perlu dikuasai oleh penjawat awam, khususnya Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam, bagi memastikan dokumen dan istilah bahasa asing diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa Melayu.

Penguasaan kemahiran itu penting bagi menyokong pemartabatan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Penekanan tersebut dibuat menerusi Bengkel Pemerkasaan Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2026: Asas Penterjemahan dan Literasi Kamus anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai lalu.

Program secara hibrid yang bertempat di INTAN Kampus Jalan Elmu serta platform dalam talian itu telah menarik penyertaan lebih 80 penjawat awam daripada pelbagai gred dan jawatan.

Usaha memperkukuh penguasaan penterjemahan dalam kalangan Munsyi Muda Bahasa disifatkan amat kritikal memandangkan masih banyak dokumen dan istilah bahasa Inggeris digunakan dalam pentadbiran yang memerlukan padanan bahasa Melayu yang sesuai.

Langkah ini selaras dengan pematuhan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Ceraian PO.1.1.1 MyPPSM dan Surat Edaran Penggunaan Bahasa Melayu dalam Urusan Rasmi bertarikh 29 Oktober 2025 dan 9 Julai 2026 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sesi khas asas penterjemahan yang diadakan pada 22 Julai dikendalikan oleh Pengarah Reputasi dan Perunding Penyelidikan The EAGLE Center Sdn. Bhd. merangkap ahli sepanjang hayat Persatuan Penterjemah Malaysia, Encik Al-Ameen MK.

Sepanjang sesi berkenaan, para peserta didedahkan kepada pelbagai elemen praktikal seperti:

  • Konsep dan Perbezaan Peranan: Memahami perbezaan antara penterjemah dengan jurubahasa serta fungsi penterjemahan dalam komunikasi sektor awam.
  • Pembinaan Glosari: Kaedah membina glosari dwibahasa asas dan pedoman penciptaan istilah baharu.
  • Latihan Amali: Menterjemah dokumen lazim kerajaan serta mengurus risiko kesilapan terjemahan.

Latihan praktikal ini dijangka dapat membantu penjawat awam mengendalikan dokumen asing dengan lebih cekap, sekali gus memastikan maklumat kerajaan disampaikan kepada masyarakat dalam bahasa Melayu yang tepat, jelas dan mudah difahami.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi