Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Muda Puan Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan simbolik pelancaran logo rasmi 10th World Cup Woodball Championship (WCWC) 2026 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, hari ini.
Logo rasmi WCWC 2026 yang dilancarkan baginda mengangkat tema “One World, One Woodball”, merangkumi aspirasi untuk menyatukan komuniti global menerusi semangat kesukanan, persahabatan, dan persefahaman sejagat.
“Reka bentuk logo ini menampilkan negeri Perlis sebagai pentas pertemuan atlet dari seluruh dunia, sekali gus mencerminkan nilai perpaduan, profesionalisme, integriti, dan kecemerlangan yang menjadi tunjang penganjuran kejohanan bertaraf peringkat antarabangsa” katanya.
Pelancaran logo ini bukan sekadar memperkenalkan identiti rasmi kejohanan, malah menjadi manifestasi komitmen Perlis dan Malaysia dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi penganjuran sukan antarabangsa.
Selain itu, inisiatif ini mampu memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi penganjuran sukan antarabangsa, di samping mengeratkan hubungan serta memupuk semangat persahabatan dalam kalangan pasukan woodball global.
Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 ini dijadualkan berlangsung pada 24 Julai 2026 hingga 30 Julai 2026 dengan penyertaan dijangka melibatkan 13 buah negara.
Menariknya, kejohanan berprestij ini akan dianjurkan secara serentak dengan Kejohanan Woodball Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-26 2026.
Kedua-dua kejohanan dwi-prestij tersebut akan berlangsung di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Alam Pauh Putra.
Penganjuran ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWbF), Persekutuan Woodball Asia (AWBF), Persatuan Woodball Malaysia (MWA), dan PWNPs dalam memperluas jaringan kerjasama serta pembangunan sukan berkenaan pada peringkat global.
Reka bentuk logo rasmi Kejohanan Piala Dunia Woodball Ke-10 (WCWC 2026) ini kaya dengan keunikan dan falsafah yang mendalam. Penggunaan nama Perlis melambangkan status negeri tersebut sebagai tuan rumah rasmi, manakala gabungan warna kuning dan biru mencerminkan identiti, kemegahan, perpaduan, serta kestabilan negeri Perlis Indera Kayangan.
Sementara itu, perkataan negara Malaysia menonjolkan peranan negara penganjur yang sentiasa sedia menyambut kehadiran para atlet dari seluruh dunia dengan penuh keramahan dan profesionalisme.
Tahun 2026 pula digambarkan melalui rekaan moden berasaskan kepelbagaian warna bagi menyimbolkan perpaduan budaya serta perkembangan dinamik sukan woodball pada peringkat global. Paling menarik, rekaan angka “6” diinspirasikan daripada burung woodpecker yang membawa pelbagai lambang murni, ketekunan dan ketahanan mewakili semangat juang para atlet serta jambul merah pula melambangkan keberanian, mata besar mencerminkan fokus serta ketelitian, serta paruh kuning menggambarkan keyakinan dan semangat persahabatan.
Manakala, frasa World Cup Woodball menggabungkan pelbagai warna sebagai lambang penyatuan masyarakat antarabangsa menerusi semangat kesukanan dan keamanan. Pelancaran identiti rasmi ini dimantapkan lagi dengan perkataan Championship yang menegaskan integriti, profesionalisme, dan kualiti standard tinggi penganjuran sebuah kejohanan bertaraf dunia.
Hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs), YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.