Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Sebanyak 54 orang pelajar Diploma Pengajian Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam bersama-sama dengan atlet junior boling kebangsaan menyertai Program Strike for Health 2026 bagi memupuk amalan gaya hidup sihat menerusi sukan boling sepuluh pin.
Program anjuran Techno Crew Club, UiTM, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Kampus Shah Alam dengan kerjasama Persatuan Boling Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) itu berlangsung di Alam Lanes AEON Shah Alam pada 15 Julai.
Program tersebut diadakan untuk menggalakkan penyertaan pelajar dan masyarakat dalam aktiviti sukan sebagai sebahagian daripada amalan hidup sihat, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental. Selain itu, program berkenaan turut menerapkan nilai semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta pembangunan kemahiran peserta.
Jurulatih Persatuan Boling Wilayah Persekutuan, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Nur Amira Abdul Rahim berkata, program itu membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran baharu dalam sukan boling sepuluh pin.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam sukan tersebut berkata, komitmennya sebagai jurulatih merupakan usaha berterusan untuk menyumbang kepada pembangunan bakat baharu dalam arena boling negara.
Sementara itu, Pensyarah Kanan FSR merangkap penasihat Program Strike for Health 2026, YBrs. Puan Jamiaton Kusrin berharap agar program seumpama itu dapat meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat serta mempromosikan kecergasan dan kesihatan sepanjang hayat.
Menurut beliau, sukan boling sepuluh pin bukan sahaja mampu meningkatkan kecergasan fizikal, malah menjadi medium terbaik untuk pelajar melepaskan tekanan akibat tugasan akademik, khususnya menjelang penghujung semester.
“Memandangkan ini merupakan minggu terakhir kuliah, peluang bermain bersama-sama dengan rakan seangkatan dan pensyarah merupakan kenangan yang amat bermakna kepada para pelajar,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta memulakan aktiviti dengan sesi memanaskan badan sebelum diberikan penerangan tentang asas sukan boling sepuluh pin serta teknik permainan yang betul.
Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dan ucapan penutup, sekali gus menandakan kejayaan penganjuran Strike for Health 2026 dalam memupuk budaya hidup sihat melalui aktiviti sukan.