Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan terus diberi kepercayaan untuk mengemudi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bagi penggal kedua.
Majlis penyerahan watikah pelantikan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek di Pejabat Menteri Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM) pada petang ini.
Yang turut hadir dalam sesi penyerahan watikah ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan pengurusan tertinggi DBP.

Ketika ditemui selepas majlis berkenaan, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan melahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. Ujar beliau:
Pertama sekali, saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pelantikan semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola, serta merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk meneruskan amanah ini. DBP akan terus melaksanakan peranan serta matlamat utamanya dalam memartabatkan bahasa Melayu agar kekal relevan mendepani arus perubahan zaman dan cabaran media baharu.
Pada masa yang sama, DBP akan komited untuk terus meningkatkan mutu sastera tanah air serta memperluas jangkauannya ke peringkat antarabangsa. Saya turut berharap agar usaha penterjemahan terus diperkasakan, manakala generasi muda kembali memupuk minat membaca teks fizikal, di samping pembacaan buku digital menerusi paparan skrin. Oleh itu, DBP akan terus menerbitkan buku-buku bercetak serentak dengan penerbitan dalam bentuk digital.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari turut merakamkan ucapan tahniah dan keyakinan beliau terhadap pelantikan semula ini. Ujar beliau:
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan atas pelantikan semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bagi penggal kedua. Kejayaan pelbagai usaha yang diterajui oleh beliau sepanjang penggal pertama, khususnya dalam pembinaan, pemerkasaan dan pengembangan bahasa, penerbitan dan sastera membuktikan kewibawaan kepimpinan beliau dalam mengemudi DBP. Dengan pengalaman dan visi kepengarangan beliau yang kukuh, diyakini DBP akan terus dipacu ke aras kecemerlangan yang lebih tinggi.
YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, atau nama sebenar beliau, Dato’ Dr. Mohd. Anuar bin Haji Rethwan, dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Sungai Besar, Selangor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar dan Sekolah Ungku Aziz, Sabak Bernam, sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.
Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) (1973), Ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Malaya (1997). Beliau juga pernah mengikuti kursus profesional Management and Book Publishing di New York University (1982) serta kursus penulisan International Writing Program di University of Iowa, Amerika Syarikat (1986).
Ikatan sejarah beliau dengan DBP bermula sejak tahun 1973 sebagai Pegawai Penyelidik. Beliau seterusnya berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Kluster Sastera, Pegawai Perancang Bahasa, Editor majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya, Ketua Bahagian Sastera Moden hingga menjawat jawatan Pengarah Penerbitan DBP (2002–2005).
Pengalaman kerjaya dan akademik beliau melangkaui khidmatnya di DBP. Beliau bukan sahaja pernah berperanan sebagai Profesor Pelawat di Tokyo University of Foreign Studies (1997–2000), malah pernah menerajui Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem di ASWARA sebagai Dekan (2008–2013) sebelum berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di institusi tersebut.
Sanjungan terhadap sumbangan beliau terbukti melalui pelantikannya sebagai Profesor Adjung dan Sasterawan di Kampus di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bagi penggal 2023 hingga 2026.
Di samping itu, beliau turut aktif sebagai peneraju bagi pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan panel penilai anugerah terkemuka, antaranya termasuklah Timbalan Presiden Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM), Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), serta Ketua Panel Penilai S.E.A Write Award (Malaysia).
Sepanjang pelibatan beliau dalam persada persuratan, beliau telah membuktikan kewibawaannya sebagai tokoh sastera prolifik yang berupaya menguasai pelbagai genre penulisan. Daya kreativiti dan pemikiran kritikal beliau dapat dilihat menerusi himpunan novel, cerpen, drama, puisi serta kajian sastera yang berimpak tinggi. Antara naskhah ikonik yang menempa nama beliau dalam lipatan sejarah sastera tempatan termasuklah:
Karya-karya beliau bukan sahaja mendapat tempat di dalam negara, bahkan telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa antarabangsa termasuklah dalam bahasa Arab, Belanda, Hungari, Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Macedonia, Mandarin, Rusia, Tamil, Thai, Urdu dan Vietnam.
Atas sumbangan besar beliau dalam persuratan dan kebudayaan, beliau dianugerahkan pelbagai pengiktirafan tertinggi termasuklah:
Pelantikan semula beliau bagi penggal kedua ini ibarat “kemudi lama yang terus dipercayai menakhodai bahtera”. Kepercayaan berterusan ini dijangka akan menyemarakkan lagi iltizam DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan persuratan kebangsaan, sekali gus melonjakkan wacananya ke persada antarabangsa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.