28 Februari 2023, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melbourne, Australia – Anakanda kedua Raja Muda Perlis, iaitu Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hadir dalam sebuah majlis khas di Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia pada pagi ini bagi menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, ijazah tersebut disampaikan kepada Sharifah Farah Adriana oleh Dekan Pengurusan Universiti RMIT, Profesor Alison Parkes.

Turut berangkat bersama-sama Raja Muda Perlis ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; anakanda puteri sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan anakanda putera bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail. Menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Timbalan Naib Canselor (Pendidikan) merangkap Timbalan Presiden Universiti RMIT, Profesor Sherman Young; Pengarah Strategik dan Impak (Asia), Encik Layton Pike serta Pendaftar Akademik, Puan Connie Merlino. Selain itu, Jeneral Konsul Malaysia di Melbourne, Puan Mazita Marzuki dan Konsul Muda, Encik Mohd Adham Yahaya juga hadir untuk mengiringi baginda sekeluarga.

Sharifah Farah Adriana memulakan pengajian di Universiti RMIT Kampus Melbourne pada tahun 2018 dan berjaya menamatkan pengajian pada Julai 2021. Walau bagaimanapun, majlis graduasi yang sepatutnya diadakan pada tahun yang sama terpaksa ditangguhkan kesan daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia. Untuk catatan, Universiti RMIT merupakan antara universiti terkemuka dunia yang menempatkan anggaran 93 ribu penuntut dari seluruh dunia.

Puteri kedua Raja Muda Perlis ini dilahirkan pada 4 Mac 2001 di Hospital Zollikerberg, Zurich, Switzerland semasa ayahandanya masih berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah. Sharifah Farah Adriana mendapat pendidikan awal di The International School of Penang (Uplands), Pulau Pinang pada tahun 2008 hingga 2011, di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis pada tahun 2011 hingga 2013, dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis pada tahun 2014 hingga 2015 sebelum meneruskan pembelajaran di Prince of Wales Island International School (POWISS), Pulau Pinang pada tahun 2015 hingga 2017. Puteri Raja Muda Perlis ini kemudiannya menyambung pengajian pada peringkat asasi dalam bidang perniagaan pada tahun 2017 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti RMIT Kampus Melbourne pada tahun 2018.

Sharifah Farah Adriana mempunyai minat yang tinggi dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolah dalam sukan bola jaring, olahraga, bola keranjang dan bola sepak. Puteri Raja Muda Perlis ini juga merupakan penyokong tegar kelab bola sepak Manchester United dan pernah beraksi dalam kelab bola sepak wanita, Albert Park Women’s Soccer Club dalam liga setempat ketika menuntut di Australia.

Dalam usia yang muda, puteri yang berumur 21 tahun ini juga baru sahaja menamatkan pengajiannya pada peringkat Sarjana dalam bidang Perniagaan Antarabangsa di Universiti Monash, Malaysia pada penghujung tahun 2022 yang lalu. Majlis Istiadat Konvokesyen dirancang untuk diadakan di Subang Jaya pada 18 Mac 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.