Diterbitkan pada 17 Mac 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada mangsa kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Logpond, Tawau, Sabah, baru-baru ini.

Dalam kenyataan pada petang ini, MAIPs berkata,

Sumbangan tersebut diagihkan kepada 79 buah keluarga mangsa kejadian kebakaran yang menimpa 52 buah kediaman kawasan terbabit.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui rakan strategik MAIPs, iaitu Persatuan Jalinan Kasih Harapan Rakyat Sabah.

Pengerusinya, Sammi Liew Sam Yi dan Setiausahanya, Fitriyani Basri Eko menerima amanah tersebut untuk disampaikan kepada mangsa kejadian kebakaran besar berkenaan yang telah memberikan kesan kepada seramai 364 penghuni di kawasan terbabit.

Pada masa yang sama, sumbangan derma kilat yang dikutip oleh peserta Program Eks PerBah Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Sabah turut dilakukan.

Penyerahan kutipan sebanyak RM4500 telah diwakili oleh pesertanya, iaitu Pengarah Urusan Kasyaf Bina Sdn. Bhd., Datuk Zamri Mohamad dalam majlis penyerahan sumbangan berkenaan.

Simbolik penyerahan tersebut disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs di Lapangan Terbang Tawau sebelum berangkat balik ke Semenanjung.

Turut hadir sama program itu ialah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal dan isteri; Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang Pick Lim dan mantan Komander Rejimen 516 Askar Wataniah, Tan Sri Datuk Liew Yun Fah.

Dalam kesempatan tersebut, Tuanku Raja Muda turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada tiga buah keluarga mangsa kebakaran yang turut berlaku di Projek Transfomasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis pada Jumaat lalu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi