Diterbitkan pada 7 November 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 berada dalam situasi tegang apabila tinjauan awal menunjukkan saingan sengit dalam sejarah membabitkan mantan Presiden, Donald Trump dan mantan Naib Presiden, Kamala Harris dengan peluang masih terbuka untuk dimenangi oleh mana-mana parti. Setakat ini, calon Republikan, Donald Trump telah melepasi 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2024 dan mengesahkan kedudukannya sebagai presiden ke-47 negara itu serta kembali semula ke Rumah Putih.

Donald Trump memenangi undian di negeri-negeri penentu termasuklah di North Carolina, Georgia, Pennsylvania dan Wisconsin serta di negeri-negeri lain seperti di Indiana, Kentucky, West Virginia, Florida, Tennessee, South Carolina, Oklahoma, Mississippi, Alabama, Arkansas, North Dakota, South Dakota, Wyoming, Nebraska, Louisiana, Ohio, Texas, Missouri, Utah, Montana, Kansas, Iowa dan Idaho. Keadaan ini merupakan satu kejutan besar dan kembalinya Trump ke Rumah Putih dilihat sebagai kejayaan politik yang luar biasa setelah kekalahannya kepada Joe Biden yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden di bawah Presiden Obama pada tahun 2020.

Di sebalik cabaran yang dihadapinya sebelum ini, Trump menunjukkan prestasi yang luar biasa, malah berjaya menarik lebih banyak sokongan daripada komuniti Hispanik dan kelompok isi rumah berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan harga sejak pilihan raya yang lepas. Kemenangan ini menjadikan Trump satu-satunya Presiden Amerika Syarikat yang berkhidmat dalam penggal tidak berturutan, mengikuti jejak Grover Cleveland yang berkhidmat untuk dua penggal pada akhir tahun 1800-an.

Trump melangkah ke hari pilihan raya dengan sokongan padu daripada penyokong tegar dan pengalaman bertanding bagi jawatan Presiden sebanyak dua kali. Walaupun menghadapi pertuduhan jenayah yang memberikan kesan besar terhadap reputasinya, Trump berjaya membina naratif perubahan yang kuat, memikat pengundi yang kecewa dengan kepimpinan Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris.

Trump dengan pintar menggunakan isu sensitif seperti imigresen dan ekonomi. Beliau kerap menggambarkan kemasukan imigran haram sebagai ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara. Iklan kempennya sering menampilkan imej hitam putih pendatang yang cuba melintas sempadan atau menyebabkan kekacauan di kawasan bandar.

Trump turut mencadangkan hukuman mati bagi migran yang membunuh anggota penguat kuasa undang-undang, sambil memberikan amaran kepada penduduk pinggir bandar bahawa mereka berada dalam keadaan bahaya. Kempen itu bertujuan untuk meraih sokongan pengundi yang bimbang tentang jenayah yang dikaitkan dengan pendatang dan menggambarkan keadaan tidak selamat bagi komuniti mereka. Walaupun dakwaan Trump sering dianggap keterlaluan, isu imigresen kekal penting, dengan 15 peratus pengundi berkata isu tersebut merupakan faktor utama dalam undian mereka.

Dari segi isu ekonomi pula, beliau menegaskan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak baik. Umum mengetahui bahawa ekonomi kekal menjadi isu paling penting dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Trump berjaya memenangi naratif ini dengan mengubah persepsi rakyat dan mewujudkan perasaan bimbang terhadap kedudukan ekonomi Amerika Syarikat yang tidak baik, walaupun inflasi dilaporkan semakin reda dan petunjuk ekonomi utama mencatatkan peningkatan.

Namun begitu, pengundi tetap berasa keadaan ekonomi masih berada dalam keadaan yang tidak baik. Dalam konteks ini, mantan Presiden, Trump terus menjadi calon yang lebih dipercayai dalam menangani isu ekonomi berbanding dengan lawannya, mantan Naib Presiden, Harris. Hal ini dapat dilihat melalui undian di negeri-negeri utama yang dianggap sebagai penentu kemenangan calon dengan Trump mengungguli Harris dalam soal keyakinan pengundi terhadap pengurusan ekonomi.

Bagi pengundi “atas pagar” yang belum membuat keputusan untuk memilih siapakah calon mereka, ekonomi dan inflasi tetap menjadi keutamaan mereka. Golongan ini, yang populasinya lebih tiga kali ganda, lebih memberikan tumpuan terhadap ekonomi berbanding dengan isu pengguguran yang dibangkitkan oleh Harris.

Mereka dilihat cenderung mempercayai kemampuan Trump dalam menangani isu ekonomi berbanding dengan Harris. Tambahan pula, perasaan tidak puas hati terhadap perdagangan antarabangsa dan pengaruh korporat telah mendorong lebih banyak pengundi  menyokong pandangan Trump. Beliau mendakwa Amerika Syarikat telah mengalami kerugian akibat perdagangan bebas yang telah menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan di negara itu.

Menurut sejarah, apabila pengundi tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi, mereka sering mengundi kerana mahukan perubahan. Hal ini dapat dilihat pada tahun 1992 apabila Clinton berjaya mengalahkan Presiden Bush dalam suasana ekonomi yang suram. Begitu juga pada tahun 2008, di mana Obama memanfaatkan krisis kewangan untuk meraih sokongan lalu muncul sebagai pemenang.

Trump melalui kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat mempunyai sejarah yang tersendiri apabila lawan asalnya, iaitu bekas Presiden, Joe Biden menarik diri beberapa bulan sebelum pilihan raya dan kejadian cubaan tembakan untuk membunuh beliau. Selain itu, beliau juga telah disabitkan kesalahan atas semua 34 dakwaan memalsukan rekod perniagaan. Barisan 12 orang juri mengambil masa dua hari untuk berbincang sebelum mencapai keputusan sebulat suara tentang dakwaan ke atas Trump.

Sebagai rekod, keadaan ini merupakan kali pertama mantan Presiden disabitkan dengan kesalahan jenayah. Hukuman yang bakal dikenakan terhadap Trump akan ditangguhkan selepas pilihan raya ini selesai. Beliau berkemungkinan berdepan dengan hukuman penjara ataupun denda. Trump juga masih berdepan dengan tiga lagi kes jenayah lain, antaranya termasuklah dua kes dakwaan yang cuba membatalkan kekalahannya dalam pemilihan pada tahun 2020.

Di sebalik “sisi gelap” yang menyebabkan reputasinya tercalar menuju kempen pilihan raya, nampaknya majoriti pengundi lebih menumpukan kepada perkara yang Trump ucapkan dalam setiap kempennya, iaitu “Adakah kedudukan anda lebih elok daripada dua tahun lepas?” Mungkin rakyat berasakan bahawa keadaan ekonomi menjadi lebih bagus semasa Trump menjadi Presiden. Walaupun punca utama inflasi adalah disebabkan oleh pandemik COVID-19, namun pentadbiran Presiden Biden tidak mampu lari daripada turut dipersalahkan.

“Dahulukan Amerika” merupakan satu daripada slogan Trump yang telah mencetuskan situasi “senada dan seirama” dalam kalangan rakyat. Kenapakah perlu dihabiskan berbilion dolar wang semata-mata untuk menyokong Ukraine sedangkan wang tersebut lebih banyak faedahnya jika digunakan untuk rakyat Amerika sendiri? Inilah antara persoalan yang bermain dalam fikiran majoriti rakyat yang tidak mahu perkara yang sama berlaku, lalu menolak Harris yang berkhidmat selaku Naib Presiden selama empat tahun di bawah Biden. Mereka mahukan perubahan. Trump juga turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat ialah negara yang sedang menuju kejatuhan dan hanya beliau yang mampu menjadikannya hebat semula.

Kini, rakyat Amerika Syarikat akan melihat dan mengetahui sejauh manakah perkara yang diucapkan oleh Trump sewaktu berkempen hanya sekadar “omong kosong” sahaja atau sebaliknya. Harus diingat bahawa bukan rakyat Amerika Syarikat sahaja yang harus berdepan dengan realiti kemunculan semula Trump, tetapi rakyat secara global juga. Seluruh dunia akan mengetahui apakah maksud sebenar Trump di sebalik slogan “Dahulukan Amerika”.

Mungkin masa mencemburui Trump untuk melaksanakan kesemua perancangannya semasa penggal pertama pemerintahannya pada tahun 2017. Namun kini, dengan kemenangan yang diraih buat kali kedua, sebanyak 330 juta rakyat Amerika Syarikat dan dunia akan melihat perkara yang mampu dilakukan oleh Trump. Apakah kemenangan ini bakal membawa era baharu dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai hala tuju yang ingin dibawa oleh Trump? Atau adakah tetap kekal dengan gaya lama yang penuh dengan kontroversi semasa beliau menjadi Presiden pada penggal pertama? Hanya masa yang akan menentukan.

Menyingkap sejarah, sejak mengambil alih jawatan Presiden Amerika Syarikat semasa penggal pertama pada Januari 2017, Trump menarik Amerika Syarikat keluar daripada perjanjian antarabangsa seperti perjanjian iklim Paris dan nuklear Iran, mengkritik jirannya dan sekutu NATO, selain mendekati pemimpin kuku besi seperti Putin dan Kim Jong-un. Beliau dalam kempen pilihan raya telah memuji kedua-dua pemimpin ini dengan menyatakan bahawa mereka berdua sedang berada di puncak pemerintahan, sama ada orang ramai suka ataupun tidak.

Pastinya kemenangan Trump melalui strategi agresif dan retorik yang kuat, berjaya membuktikan pengaruh politiknya masih lagi “berbisa”. Kemenangan Trump ini bukan sahaja berpotensi mengubah landskap politik Amerika, malah mengukuhkan mandat Republikan dalam menguasai Senat dan meningkatkan peluang untuk melaksanakan agenda mereka serta membawa implikasi besar terhadap hubungan antarabangsa, ekonomi sejagat dan keseimbangan di antara negara kuasa dunia.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi