Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKegagalan pasukan bola sepak Malaysia layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 memberikan tamparan hebat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Hal ini ditambah lagi dengan kegagalan pasukan bola sepak yang diberikan jolokan Harimau Malaya itu melepasi peringkat kumpulan dalam kejohanan bola sepak ASEAN Piala Mitsubishi Electric 2024 menjadikan sesuatu perlu dilakukan bagi membentuk semula pasukan yang mantap untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia AFC 2027 yang bermula pada bulan Mac 2025 ini.
Melalui pusingan kelayakan itu, pasukan Malaysia telah diundi dalam kumpulan F bersama-sama Nepal, Laos dan gergasi Asia Tenggara, Vietnam. Malaysia dilihat mungkin mudah untuk menewaskan Nepal dan Laos dengan Vietnam bakal menjadi halangan utama untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia AFC yang akan dilangsungkan di Arab Saudi pada tahun 2027 kelak. Hanya juara kumpulan sahaja yang layak ke pusingan akhir itu dan ini menjadi satu cabaran buat semua pasukan yang bertanding dalam pusingan kelayakan tersebut.
Setakat ini, hanya Indonesia yang menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 setelah menduduki tempat kedua dalam kumpulan F pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekali gus bersaing dalam pusingan ketiga kelayakan itu. Pasukan Indonesia juga berpeluang untuk layak ke Piala Dunia 2026 sekiranya terus kekal konsisten. Pasukan Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Filipina dan Singapura perlu bersaing dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027 bersama-sama Malaysia dan Vietnam sebelum mampu layak ke kejohanan bola sepak terbesar Asia itu .
Meskipun pasukan Harimau Malaya berjaya memenangi kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024, kejayaan dilihat belum cukup untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan itu ekoran kegagalan dalam kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024. Walaupun pasukan Indonesia turut tidak berjaya melangkah ke peringkat kalah mati kejohanan itu, revolusi yang ditunjukkan oleh pasukan negara tetangga itu dilihat wajar dicontohi oleh Malaysia bagi menjadikan pasukan Harimau Malaya mampu berdaya saing dengan negara gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan Qatar. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan pasukan Indonesia yang berjaya layak ke peringkat kalah mati Piala Asia AFC 2023 di Qatar selain hampir layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum tewas dalam perlawanan play-off menentang pasukan Guinea.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada FAM dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024. Peruntukan khusus untuk membentuk pasukan Harimau Malaya yang mantap selain membantu pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia.
Tanpa melengahkan masa, FAM telah bertindak mengundang Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk sama-sama membantu bagi mengukuhkan skuad Harimau Malaya dan memperkuatkan pembangunan bola sepak Malaysia. Tunku Ismail ataupun lebih dikenali sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah berjaya menukar landskap bola sepak Johor dengan menjadikan JDT sebagai gergasi bola sepak Malaysia sehingga berjaya merangkul pelbagai kejayaan seperti memenangi Liga Super Malaysia sebanyak 10 kali berturut-turut, memenangi Piala AFC 2015 dan layak beraksi di kejohanan Liga Juara-juara AFC Elit. Kejayaan JDT ini menjadikan TMJ individu yang sesuai membantu memantapkan pasukan Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Revolusi pasukan Harimau Malaya yang diambil alih pada 15 Disember 2024 bermula dengan pelantikan beberapa jawatan utama dalam pasukan itu. Peter Cklamovski telah dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan utama Harimau Malaya bagi menggantikan jurulatih sementara, Pau Marti Vicente. Peter Cklamovski merupakan jurulatih kelahiran Australia yang pernah menjadi penolong jurulatih pasukan bola sepak Australia. Beliau pernah berkhidmat sebagai penolong kepada jurulatih kelab bola sepak Tottenham Hotspur sekarang, Agne Postecoglou ketika kedua-duanya mengemudi pasukan Australia. Kedua-duanya berjaya membawa Australia menjuarai Piala Asia AFC 2015 yang dilangsungkan di laman sendiri.
Sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski pernah berkhidmat dengan beberapa buah kelab bola sepak Jepun, seperti Yokohama F. Marinos, Shimizu S-Pulse dan Montedio Yamagata. FC Tokyo menjadi kelab terakhir beliau di Jepun sebelum ke Malaysia. Pengalaman luas dalam bola sepak Asia menjadikan beliau dilihat sebagai calon yang sesuai bagi mengisi kekosongan yang asalnya ditinggalkan oleh Kim Pan-gon pada tahun 2024. Beliau telah diberi sasaran untuk membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 2027 dan mengisi kelompok 100 pasukan terbaik dalam ranking FIFA. Tugasan pertama beliau bermula pada bulan Mac 2025 kelak apabila Malaysia akan bertemu dengan Nepal dalam aksi pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027.
Nafuzi Zain pula dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun Malaysia yang lebih dikenali sebagai Harimau Muda bagi menggantikan Juan Torres Garrido. Jurulatih kelahiran Kelantan ini mempunyai pengalaman yang luas dalam arena bola sepak Malaysia apabila pernah menjadi jurulatih pasukan bawah 21 tahun Kelantan, pasukan Terengganu FC dan pasukan Kedah Darul Aman FC. Pengalaman beliau mengendalikan dan menaikkan beberapa nama pemain muda Kelantan dan Terengganu yang berbakat seperti Safawi Rasid, Faiz Nasir, Safwan Mazlan dan Nik Akif Syahiran menjadikan beliau dilihat layak untuk mengemudi skuad muda Malaysia.
Sasaran beliau untuk tahun 2025 ialah menaikkan semula kemampuan pasukan Harimau Muda yang dilihat tidak konsisten sepanjang tahun 2023 dan 2024. Untuk tahun 2025, pasukan Harimau Muda akan menyertai beberapa kejohanan seperti Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 23 Tahun 2025, Sukan SEA 2025 di Thailand dan pusingan kelayakan Piala Asia AFC Bawah 23 Tahun 2025.
Pada awal tahun 2025, TMJ turut mengumumkan pelantikan Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan Harimau Malaya. Jawatan itu pertama kali diwujudkan dalam pengurusan pasukan kebangsaan Malaysia selepas revolusi pasukan Harimau Malaya yang telah diumumkan pada penghujung tahun 2024. Bekas pemain bola sepak dan usahawan yang berasal dari Kanada ini akan membantu pasukan bola sepak Malaysia dari sudut komersil dan pencarian dana kewangan bagi memantapkan skuad kebangsaan.
Selain daripada pelantikan individu tertentu dalam beberapa jawatan pasukan Harimau Malaya, TMJ sendiri turut berusaha dan aktif mencari beberapa orang pemain warisan Malaysia yang berkualiti. Pemain-pemain ini kebanyakan berpangkalan dan bermain di beberapa buah kelab Eropah yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia. Setakat ini, Malaysia mempunyai beberapa orang pemain warisan yang masih beraksi dengan skuad Harimau Malaya seperti Dion Cools, Stuart Wilkin, Dominic Tan, Darren Lok dan Matthew Davies.
Beberapa orang pemain import yang beraksi dalam pasukan Liga Super Malaysia turut dalam proses untuk dinaturalisasikan bagi menambah kekuatan pasukan Harimau Malaya. Antaranya seperti pemain kelahiran Brazil, Bergson da Silva yang beraksi di JDT, pemain kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco (KL City FC) dan pemain kelahiran Argentina, Manuel Hildalgo (Sri Pahang FC) dilihat sebagai calon berkualiti untuk dinaturalisasikan kerana telah beraksi di Malaysia hampir lima tahun. Setakat ini Malaysia sudah mempunyai beberapa orang pemain naturalisasi yang sering menyarung jersi kebangsaan seperti Romel Morales, Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Sergio Aguero.
Proses revolusi pasukan Harimau Malaya ini bukanlah satu tugas yang mudah. Proses ini memerlukan komitmen semua pihak dan peruntukan kewangan yang tinggi untuk memastikan revolusi itu berjaya. TMJ sendiri telah bergiat aktif untuk turun padang dan bertemu dengan beberapa orang tokoh terkenal bagi mendapatkan maklumat dan hubungan dalam merealisasikan impian itu.
Selain itu, proses pembangunan akar umbi juga tidak akan diabaikan agar Malaysia mempunyai pemain pelapis yang mampu menggalas tugas pasukan senior Malaysia pada masa hadapan. Rekod pencapaian pemain peringkat umur Malaysia agak teruk pada tahun 2024 dengan tiada satu pun pasukan peringkat umur yang berjaya ke pusingan akhir Piala Asia AFC baik pasukan bawah 16 tahun mahupun pasukan bawah 19 tahun. Oleh itu, revolusi diharapkan dapat membangunkan semula Harimau Malaya yang “terlena” sekejap selepas berjaya bangun buat seketika pada tahun 2018 dan 2019. Kali ini, Harimau Malaya perlu bangun dan terus mengaum untuk jangka masa yang panjang serta pergi lebih jauh dalam bola sepak antarabangsa.