Diterbitkan pada 20 Januari 2025, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada permulaan tahun baharu ini, marilah kita bersama-sama menjadikannya sebagai pemangkin dalam memotivasikan diri untuk mencapai apa-apa yang diimpikan. Bulatkan tekad dengan keazaman yang tinggi untuk terus berjuang meraih impian kita. Sekiranya pada tahun 2024 impian masih belum tercapai, maka jadikanlah tahun 2025 ini sebagai permulaan baharu untuk kita menyusun semula strategi dan berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha mencapai matlamat impian tersebut.

Keputusan dan Tindakan

Keputusan yang dibuat dan tindakan yang dilakukan dari semasa ke semasa, hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, memberikan impak kepada kejayaan diri dalam menggapai impian. Pada hakikatnya, sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita sama ada kita suka ataupun tidak, bermula dengan suatu keputusan yang dibuat dan tindakan yang telah dilakukan. Kedua-dua faktor ini akan mencorakkan perkara yang akan berlaku pada diri kita kelak.

Kita menjadi diri kita pada hari ini disebabkan keputusan yang kita buat dan tindakan yang dilakukan pada masa lampau. Sekiranya kita mengimbau kembali setahun lalu, pernahkah kita terfikir bahawa keputusan yang kita buat dan tindakan yang dilakukan dahulu membawa perubahan besar dalam kehidupan kita kini, sama ada keputusan itu telah menjadikan hidup kita lebih baik atau lebih buruk?

Ada orang yang lahir dengan banyak kelebihan seperti persekitaran yang kondusif, keluarga yang kaya dan rangkaian perhubungan yang luas. Namun begitu, ada juga orang yang lahir dalam situasi yang serba kekurangan seperti keluarga yang miskin, persekitaran yang serba daif dan pergaulan yang terbatas, tetapi berupaya mengharungi segala kekurangan tersebut sehingga mampu mencipta kejayaan tersendiri.

Golongan seumpama ini sering membuat keputusan dan tindakan berkaitan perkara yang mereka mahu lakukan dalam kehidupan mereka. Sekiranya kita berani membuat keputusan dan tindakan dengan menghalakan kehidupan kita ke arah usaha keras bagi menggapai impian, kita juga boleh menjadi seperti mereka. Justeru, kita perlu membuat keputusan dan tindakan pada hari ini demi mencapai impian yang telah ditetapkan.

Sanggup Hadapi Cabaran dan Dugaan

Realitinya sebuah kehidupan itu penuh dengan cabaran dan dugaan. Kita mungkin perlu meluangkan masa bagi merenung sejenak perkara yang telah dilakukan dalam mengharungi segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan sebelum ini. Kesanggupan menghadapi cabaran dan dugaan dalam usaha mengejar impian menjadikan kita memiliki semangat yang kental. Inilah proses yang perlu dilalui oleh seseorang dalam mencapai sesuatu yang diimpikan dalam kehidupan.

Fahamilah bahawa kehidupan sememangnya medan yang penuh dengan cabaran dan dugaan, walaupun kita memilih untuk mengekalkan status quo masing-masing. Akan tetapi, cabaran dan dugaan yang mendatang tetap jua menjengah. Oleh itu, daripada menggunakan pendekatan “bertahan” sahaja dalam melayari bahtera kehidupan, adalah lebih baik kita menggunakan pendekatan “menyerang”.

Melalui pendekatan “menyerang”, seperti dalam permainan bola sepak, kita melalui banyak proses mencipta peluang bagi menjaringkan gol yang sudah tentu dapat meningkatkan kebarangkalian pasukan kita untuk menjaringkan gol. Dengan pendekatan “menyerang”, memperlihatkan kita sendiri yang mengawal kehidupan kita, namun dengan pendekatan “bertahan”, kita membiarkan kehidupan kita dikawal sepenuhnya. Untuk meletakkan diri pada tahap tertinggi, kita perlu menggunakan pendekatan “menyerang” walaupun terpaksa berhadapan dengan kepayahan dan kesusahan. Sebagai contoh, kita perlu tetap cekal dalam mengorak langkah untuk mendepani segala arus cabaran dan dugaan yang mendatang dalam mengejar impian.

Bakar Semangat Diri

Setiap orang akan dicabar semangatnya pada masa tertentu. Dalam hal ini, kita perlu sentiasa belajar daripada kesilapan dan fahami bahawa kita akan lebih baik pada masa akan datang. Inspirasi yang ada dalam diri mampu menjadi pembakar semangat kepada tindakan kita yang selanjutnya. Fikirkan secara meluas tentang sesuatu inspirasi yang digunakan untuk kebaikan diri kita. Kita perlu mempunyai kekuatan dan keazaman untuk tetap komited menggapai impian kita.

Satu daripada cara yang dapat digunakan ketika berhadapan dengan cabaran dan dugaan adalah dengan meletakkannya dalam perspektif yang betul. Selalunya kita akan memperbesar cabaran dan dugaan itu dalam minda kita, realitinya hanya memberikan impak yang kecil sahaja kepada kehidupan kita. Katakanlah kepada diri kita, “Jika saya berjaya melepasi cabaran dan dugaan lain sebelum ini, saya juga mampu untuk melepasi cabaran dan dugaan ini.” Ingatlah, semangat kita akan menjadi lebih utuh sekiranya kita aktif menangani segala cabaran dan dugaan dalam hidup.

Kemampuan dan Kapasiti

Kita mempunyai kemampuan dan kapasiti tersendiri bagi mengatasi cabaran dan dugaan hidup yang mendatang dalam usaha mengejar impian. Terimalah realiti ini dan gunakannya apabila muncul sesuatu cabaran mahupun dugaan. dalam hal ini kita boleh melatih diri kita dengan memberikan semangat kendiri pada awal dan akhir hari pada hari tersebut. Jangan memandang ringan tentang keajaiban latihan ini. Ingatlah bahawa kita boleh berjaya dengan melebihi kapasiti dan kemampuan kita sekarang. Bayangkan mereka yang bermula dengan tiada apa-apa ataupun mengalami kesusahan yang dahsyat pada awalnya, tetapi dapat mencari jalan untuk meraih impian yang diinginkan.

Kita mungkin tidak dapat mengatasi kesemua cabaran dan halangan, tetapi dengan berpandukan sikap yang betul, kita akan memperoelh kejayaan dengan kadar yang lebih daripada yang mencukupi. Oleh itu, ciptalah persekitaran yang berteraskan pencapaian pada setiap minggu dengan mencari jalan bagi meraikan pencapaian kecil yang telah dicapai secara mingguan. Apabila kita berasa kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu, kita boleh mengimbas kembali pencapaian kecil yang diperoleh sebelum ini.

Sedarilah bahawa hakikatnya kita sudah pun banyak mencipta dan mengumpul kejayaan. Pada waktu malam misalnya, hadkan beberapa minit bagi menulis tentang pencapaian kita pada hari tersebut dengan memfokuskan pada pencapaian harian kita bagi mewujudkan momentum dan membuka jalan untuk kita mencapai sasaran yang lebih besar, sekali gus sebagai suntikan kepada keyakinan diri masing-masing.

Tingkatkan Kebarangkalian

Kita perlu banyak menghabiskan masa bagi meningkatkan keupayaan atau kepakaran kita dan sentiasa mencari jalan untuk membuahkan hasil yang dikehendaki dengan lebih cepat. Kita perlu berusaha sehabis baik bagi mempertingkatkan kebarangkalian bagi mencapai sesuatu yang dihajati tersebut. Walau sekecil mana pun sesuatu faktor yang diambil kira, hal ini tetap akan menentukan kejayaan atau kegagalan kita dalam mencapai impian.

Mengapakah sesetengah individu berjaya mencapai impian mereka? Adakah disebabkan mereka lebih bertuah ataupun bernasib baik? Sekiranya seseorang itu bekerja keras, berusaha gigih dan meletakkan diri mereka pada tahap yang tertinggi dalam usaha mencapai impian yang ditetapkan, adakah mereka juga wajar dikatakan bertuah ataupun bernasib baik apabila impian mereka tercapai?

Sebenarnya, dengan bekerja keras, berusaha gigih dan meletakkan diri di tahap tertinggi, kita telah mempertingkatkan kebarangkalian kita untuk menggapai impian. Kita sedang berada di landasan yang betul untuk membuatkan diri kita bertuah dan bernasib baik. Pada hakikatnya, tidak ada perkara yang berlaku dengan sendirinya. Setiap perkara mempunyai kebarangkalian untuk berlaku dalam keadaan tertentu. Apabila kadar kebarangkalian untuk sesuatu perkara itu ditingkatkan, maka tahap ramalan turut meningkat naik.

Sebagai contoh, sekiranya kita melambung duit syiling 50 sen ke udara, kebarangkalian untuk bahagian kepala ataupun ekor yang terpampang adalah sama rata, iaitu sebanyak 50 peratus, walau sebanyak mana pun lambungan itu dilakukan. Meskipun syiling itu dilambung dalam tempoh 500 kali, sebanyak 50 peratus kebarangkalian itu tidak akan berubah. Oleh itu, setiap kali melakukannya, kita sudah dapat meramalkan hasil yang akan diperoleh dengan tepat. Kini, matlamat utama kita adalah untuk menaikkan kebarangkalian agar kita mampu mencapai matlamat impian kita berbekalkan pelbagai ikhtiar dan usaha yang dilakukan tanpa jemu. Hal ini berkaitan rapat dengan kebarangkalian kita untuk berjaya mencapai impian yang ditetapkan pada kemudian hari.

Takdir Hidup

Setiap kejayaan dan kegagalan yang terjadi dalam hidup kita berkemungkinan besar disebabkan oleh diri kita sendiri. Begitu juga dengan kejayaan menggapai impian. Kejayaan menggapai impian boleh diramal apabila melibatkan perkara tertentu dan kitalah penentu kejayaan diri sendiri dalam menggapainya. Hampir setiap perkara yang berlaku kepada diri kita ditentukan oleh diri kita sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat mengubah nasib diri kita, melainkan diri kita sendiri. Untung nasib dan takdir hidup boleh dikatakan bergantung sepenuhnya daripada usaha diri kita sendiri.

Dalam tangan kita tergenggam cerita perjalanan hidup yang seterusnya dalam usaha menggapai impian. Maka itu, sama-samalah kita mencipta sesuatu yang boleh membawa kita hampir ke titik penamat dalam mengejar matlamat impian tersebut. Jangan biarkan diri kita terganggu atau terbelenggu dengan peristiwa silam, yakni mengambil iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku. Mulakan dengan langkah kecil satu persatu dengan membebaskan diri kita daripada sikap yang tidak pasti dan jangan lepaskan sebarang peluang yang terhidang di depan mata.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi