Diterbitkan pada 25 Februari 2025, 22:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan penyertaan sebanyak 19 248 orang dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)  tahun 2025 yang telah dilancarkan pada hari ini di Auditorium Kompleks E, Kementerian Pendidikan Malaysia.

MSSM yang akan bermula pada Mei ini melibatkan penyertaan peserta bawah 12 tahun, 15 tahun dan 18 tahun, dalam kalangan murid, jurulatih, pengurus dan pegawai kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Azman Haji Adnan yang merasmikan Takwim Kejohanan MSSM tahun 2025 ini berkata, “MSSM yang dilaksanakan dengan kerjasama MSS Negeri akan sentiasa berusaha untuk memastikan penganjuran kejohanan sukan ini diuruskan dengan kapasiti pengelolaan yang sistematik.”

MSSM mengambil inisiatif untuk menambah baik aspek pengurusan sukan dengan menganjurkan Seminar Pengurusan Sukan Kebangsaan demi meningkatkan pemahaman semua kumpulan pengurusan sukan pada pelbagai peringkat.

Menurut beliau lagi:

Guru dan jurulatih mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan persekitaran sukan bebas daripada kemudaratan, iaitu bebas daripada gangguan seksual, penderaan fizikal dan psikologi, penindasan, pengabaian, buli serta antun (grooming). Suasana sebegini perlu diwujudkan demi memastikan pembangunan potensi atlet murid ke tahap yang lebih optimum.

YBrs. Tuan Haji Azman Haji Adnan menyampaikan Watikah Lantikan Pengelola kepada setiap Majlis Sukan Sekolah peringat negeri.

“Setiap jurulatih diwajibkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan pengiktirafan daripada badan yang berkaitan bagi memastikan atlet murid sentiasa dilindungi,” katanya.

Sehubungan dengan itu, KPM bersama-sama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara (ISN) akan memastikan jurulatih kepada murid sekolah ini dilengkapkan dengan pensijilan yang diperlukan. Perkara ini selaras dengan hasrat KPM untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling menghormati serta bebas daripada sebarang gangguan dan penderaan.

Penganjuran MSSM tahun 2025 kembali dengan format kebiasaan kejohanan, iaitu melibatkan 14 buah negeri yang akan mengelolakan 24 sukan dalam empat fasa bermula pada Mei hingga September 2025.

Majlis Pelancaran Takwim Kejohanan MSSM diadakan sebagai simbolik bermulanya pertandingan 24 jenis sukan di seluruh negara dan kejohanan olahraga yang disifatkan sebagai acara kemuncak yang akan dianjurkan pada 19 hingga 23 Ogos 2025.

KPM menerusi MSSM sentiasa komited menjadi pemangkin kepada kemenjadian murid melalui program yang signifikan dan memberikan impak besar terhadap warga KPM secara holistik.

Penyertaan murid dalam aktiviti ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menerapkan enam aspirasi untuk membolehkan murid bersaing pada peringkat global, iaitu melibatkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) dan Dasar Sukan Negara yang mendokong Sukan untuk Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan, penganjuran kejohanan sukan mampu menjadi platform terbaik buat KPM.

Majlis yang diadakan ini melibatkan penyertaan sebanyak 500 orang yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi KPM, Pengarah Bahagian Sektor Operasi Sekolah, semua Pengarah Pendidikan Negeri, rakan strategik KPM dari Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Sukan Negara, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Institut Sukan Negara, serta kumpulan penaja yang turut sama memberikam sokongan kepada MSSM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi