Diterbitkan pada 19 Mac 2025, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Suasana sawah padi menghijau terbentang luas dengan berlatarbelakangkan matahari yang bersinar memberikan pemandangan indah kepada sesiapa sahaja yang memandangnya. Namun begitu, di sebalik panorama indah itu, tersimpan pelbagai kisah suka duka petani yang mengusahakan sawah di seluruh pelosok negara. Apatah lagi sejak kebelakangan ini petani dihimpit dan dicengkam kos operasi yang semakin meningkat sehingga mengakibatkan kerugian kepada mereka. Selain terpaksa berdepan dengan risiko banjir dan kemarau pada setiap tahun, permasalahan pesawah seolah-olah seperti tiada penghujungnya.

Ternyata senario kini tidak lagi sama seperti dahulu. Jika suatu ketika dahulu, harga padi murah dan seimbang dengan kos yang perlu ditanggung. Tidak dinafikan juga tenaga yang dicurahkan untuk mengusahakan tanaman padi sangat berbaloi pada ketika itu. Begitu juga jika hendak dibandingkan dengan sewa tanah sawah pada ketika itu hanyalah sebanyak RM100 serelung (0.29 hektar), tetapi kini sudah mencecah antara RM800 hingga RM1,200. Harga sepikul (60 kilogram) padi pula hanya sebanyak RM60 dan dalam tempoh setahun hasil padi yang diperoleh sebanyak RM400 pada ketika itu sudah dianggap suatu jumlah yang sangat besar bagi kebanyakan pesawah.

Namun begitu, pada hari ini perkembangan teknologi menyaksikan bermula dengan proses penanaman padi hingga penuaian dilakukan sepenuhnya oleh jentera seperti traktor dan dron. Penggunaan jentera-jentera ini dikenakan upah yang tinggi terutamanya selepas kenaikan harga diesel. Tambahan pula, padi kini mudah diserang pelbagai penyakit dan haiwan perosak yang memberikan kesan terhadap kemerosotan hasil diperoleh pesawah.

Selain itu, pesawah turut memerlukan perbelanjaan tinggi bagi kerja memulihkan tanah melalui kaedah meracun dan membaja. Keadaan diburukkan lagi dengan keadaan tanah sawah yang sudah lama, malah ada yang menjangkau usia melebihi tujuh dekad sehingga mengusahakan sawah kini menjadi rutin sangat mencabar sehingga ada yang menyatakan tidak ada logiknya lagi pesawah terus mengusahakan tanaman padi jika terus berdepan dengan kerugian.

Beginilah rencah nasib pesawah dan boleh diumpamakan seperti “wira tidak didendang” yang telah mengusahakan tanaman padi di negara ini bagi mengeluarkan sumber makanan utama kepada rakyat. Perlu diakui bahawa mereka merupakan antara aset penting negara. Golongan ini merupakan pesawah tradisi yang sudah mengharungi pelbagai pengalaman pahit manis sepanjang mengusahakan sawah warisan sejak puluhan tahun lalu, bahkan ada yang bermula mengusahakannya sejak usia muda. Mereka inilah yang telah sekian lama mengerah kudrat dengan membanting tulang di tanah sawah, sekaligus mengusahakan tanaman padi demi kelangsungan hidup dan demi menjamin keselamatan makanan negara.

Menurut Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), lebih 80 peratus sawah di negara ini diusahakan oleh pesawah berusia 50 tahun ke atas dan kebanyakan daripada mereka hidup di bawah garis kemiskinan dengan purata pendapatan sebanyak RM350-RM1,500 sebulan. Keadaan ini menyaksikan kemiskinan itu diwarisi kepada generasi seterusnya dan bagi anak-anak muda pula mereka semakin lama mula menjauhi pekerjaan tersebut dengan alasan pendapatan yang tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Mereka enggan lagi terus berada dalam kepompong sama dan ditakuk yang lama.

Natijahnya, menanam padi bukan lagi pilihan bagi mereka yang merupakan generasi seterusnya. Cabaran dan peningkatan kos pengeluaran padi yang terpaksa ditanggung petani mungkin menyebabkan terlalu sedikit atau tiada lagi golongan muda yang berani dan sanggup meneruskan pekerjaan menanam padi pada masa hadapan. Mereka dilihat sudah tidak sanggup untuk membanting tulang di bawah sinaran matahari dan bermandi lumpur di sawah padi. Oleh itu, mereka lebih memilih untuk bekerja dalam bidang lain yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan. Jika tidak ada lagi golongan muda yang berminat untuk meneruskan pekerjaan tradisi itu, mungkin akan mempengaruhi keselamatan bekalan beras dalam negara, iaitu kadar pengeluaran padi untuk kegunaan domestik.

Pada masa ini, tidak sampai 10 peratus pesawah berusia lingkungan 20-an ke atas dan jumlah ini suatu angka yang menyedihkan bagi menggambarkan bahawa tiada tarikan untuk golongan muda daripada keluarga pesawah agar meneruskan legasi keluarga mereka. Golongan 10 peratus ini yang masih berminat untuk mengusahakan sawah peninggalan warisan keluarga kerana berpendapat bahawa keringat yang dicurahkan setimpal dengan hasil yang diperoleh. Golongan ini juga lahir, bermain dan membesar di kawasan sawah serta sudah membantu keluarga di kawasan tersebut sejak zaman persekolahan lagi. Mereka sudah didedahkan dan memahami selok-belok cabaran dalam mengusahakan tanaman padi. Oleh sebab itu, agak mustahil jika mereka tidak berminat untuk mengusahakan sawah.

Namun begitu, minat sahaja tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Antara perkara yang menjadi tarikan utama golongan muda termasuklah harga padi. Situasi ini sangat mempengaruhi minat golongan ini untuk meneruskan legasi keluarga dalam bidang ini. Di samping itu, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi minat mereka. Faktor cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini yang membuatkan pesawah terdedah dengan risiko kemerosotan hasil turut memainkan peranan dalam menarik minat golongan muda menceburinya. Sudahlah perlu menunggu lama untuk mendapatkan hasil selepas menyemai benih, namun hasil yang ditunggu pula kurang menjadi dek  cuaca yang terlalu panas dan kering ataupun hujan lebat berterusan sehingga mengakibatkan banjir. Faktor di luar kawalan ini menyebabkan hasil yang diperoleh tidak konsisten dan tidak setimpal dengan kos serta usaha yang telah dicurahkan untuk mengusahakan sawah.

Justeru, hanya yang cekal dan berani menyahut cabaran sahaja mampu bertahan. Apakah yang membuatkan mereka yang cekal dan berani menyahut cabaran untuk terus mengusahakan sawah warisan peninggalan keluarga?, Satu daripada sebab utamanya ialah mereka mempunyai peninggalan tanah sawah yang luas dan pernah memperoleh pendapatan yang memuaskan hasil daripada mengusahakannya. Pastinya mereka bersemangat lalu berazam dan nekad untuk bersungguh-sungguh mengusahakannya sehingga lebih berjaya, atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian hasil dan pendapatan yang memuaskan sebelum ini.

Ada antara golongan ini yang memperoleh pendapatan kira-kira RM140,000 semusim hasil tuaian berbelas-belas hektar sawah yang diusahakan. Ada yang berpendapatan purata sebanyak RM6,000 sebulan daripada hasil mengusahakan lapan hektar sawah. Mereka berani mengambil risiko kerana yakin hasil yang bakal diperoleh kelak sangat berbaloi dengan usaha yang dicurahkan. Akan tetapi, berapa ramaikah pesawah yang mempunyai tanah sawah warisan berbelas-belas hektar dan boleh dikategorikan sebagai pesawah kaya raya?

Pada hakikatnya, purata pesawah hanya memiliki lebih kurang 0.9 hektar sahaja tanah sawah. Hal ini bermakna, mereka hanya mampu memperoleh hasil sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 ribu sahaja semusim atau dalam tempoh enam bulan. Dengan kata lain, mereka hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 hingga RM500 sahaja sebulan.

Oleh hal yang demikian, dengan usia pesawah yang semakin meningkat dengan rata-ratanya berusia lingkungan 50-an hingga 70-an, ada yang sanggup menjual tanah sawah mereka kepada pemaju perumahan kerana berasakan tidak berbaloi lagi untuk diusahakan. Malah terdapat segelintir yang lain memajak tanah kepada warga asing untuk diusahakan.

Pelarasan semula harga lantai belian padi pada kadar RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa baru-baru ini dilihat mampu mengimbangi beban kos operasi yang ditanggung pesawah. Namun begitu, ramai juga berpendapat hal tersebut masih belum mencukupi untuk menampung kerugian berpanjangan yang dialami pesawah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada hakikatnya, pesawah kini tidak lagi boleh bergantung kepada hasil jualan padi semata-mata kerana imbuhannya sangat minimum dan ada kalanya tidak mendatangkan sebarang keuntungan, sebaliknya hanya mencukupi bagi menampung modal yang telah dikeluarkan untuk menjalankan aktiviti mengusahakan sawah. Akibatnya mereka terpaksa berhutang untuk menampung aktiviti penanaman semula bagi musim seterusnya. Oleh itu, mereka bukan sahaja terpaksa berhutang, malah hutang sedia ada semakin bertambah. Malah, ramai yang mengakui, kalau pun mempunyai sebanyak RM1,000 dalam poket, namun tidak mencukupi kerana kos awal untuk mengusahakan tanaman padi yang tinggi. Keadaan itu pastinya meletakkan mereka dalam beban kewangan yang cukup berat.

Ada antara pesawah juga terpaksa menjual jentera menuai padi dan traktor pembajak serta dron yang digunakan bagi menyembur baja dan racun semata-mata untuk membayar hutang. Untuk mengharapkan hasil padi semata-mata sememangnya tidak mencukupi bagi pesawah. Ada yang terpaksa melakukan pekerjaan sampingan demi kelangsungan hidup. Sejak berdekad lamanya, sukar untuk dihadamkan bahawa kehidupan pesawah dahulu dan sekarang tidak banyak berubah.

Masihkah ada sinar untuk mereka dan pewaris keluar daripada garis kemiskinan tegar? Sememangnya banyak perkara yang harus diperhalusi oleh pihak berkuasa dalam mendepani industri yang mempunyai lebih kurang 200,000 orang pesawah ini. Walau bagaimanapun, untuk mereka keluar daripada garis kemiskinan tegar boleh dikatakan agak mustahil, umpama mimpi pada siang hari.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi