Diterbitkan pada 26 Mac 2025, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tatkala umat Islam di seluruh dunia (terutamanya di Malaysia) sedang menjalani bulan Ramadan dengan melakukan ibadah puasa pada siang hari dan mengerjakan solat terawih pada sebelah malam, mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang telah sedia maklum atau mungkin tidak menyedari bahawa kawasan Lembah Klang dan kawasan sekitarnya yang dihubungkan oleh beberapa jenis pengangkutan awam sebenarnya berada dalam lingkungan berjalan kaki dengan masjid yang terletak di sekitar kawasan tersebut.

Antaranya termasuklah transit laju massa MRT (laluan Putrajaya dan Kajang), transit aliran ringan LRT (laluan Shah Alam, Kelana Jaya, Ampang, Sri Petaling), Monorel (laluan KL), KTM Komuter (laluan Batu Caves–Pulau Sebang, Tanjung Malim–Pelabuhan Klang, KL Sentral–Skypark Terminal), BRT (laluan Sunway) dan ERL (laluan KLIA Transit).

Dengan majoriti penduduk di Malaysia beragama Islam, maka tidak hairanlah sistem pengangkutan di kawasan Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran dibina berdekatan dengan masjid untuk memudahkan penduduk yang beragama Islam dan masyarakat dari negara lain yang datang ke Malaysia untuk menunaikan ibadah solat.

Pembinaan masjid berhampiran dengan stesen kereta api dilihat memudahkan mereka yang memilih untuk berbuka puasa di masjid, mengerjakan ibadah solat terawih seterusnya menaiki kereta api untuk pulang ke destinasi masing-masing selepas selesai solat terawih dalam bulan Ramadan. Selain stesen kereta api, pusat membeli-belah, kawasan rehat dan beriadah (R&R) juga turut dilengkapi dengan kemudahan surau.

Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 38 buah masjid dan surau yang terletak berdekatan dengan stesen kereta api di sekitar kawasan Bandar Raya Kuala Lumpur, Lembah Klang, Seri Kembangan, Kajang dan kawasan sekitarnya. Artikel ini menyenaraikan beberapa buah masjid yang terletak berhampiran dengan MRT Putrajaya, MRT Laluan Kajang, Monorel Laluan KL dan beberapa buah surau atau masjid lain berhampiran dengan LRT dan MRT.

MRT Putrajaya secara keseluruhannya mempunyai sebanyak 36 buah stesen, dengan 27 daripadanya dibina atas aras jalan (untuk platform stesen dan landasan), manakala sembilan buah stesen dibina di bawah tanah. Laluan MRT Putrajaya ini adalah sepanjang 57.7 kilometer (35.8 batu), dengan laluan yang ditinggikan mempunyai jarak 44.2 kilometer dan laluan bawah tanah sepanjang 13.5 kilometer. Daripada 36 buah stesen, hanya sembilan buah stesen yang mempunyai laluan bersambung dengan masjid (seperti dalam Jadual 1). Hampir kesemua masjid yang disenaraikan dalam Jadual 1 terletak di Kuala Lumpur, kecuali dua daripadanya terletak di Seri Kembangan, Selangor.

Jadual 1 MRT Putrajaya.

Bil Nama Stesen Pintu Keluar Nama Masjid Lokasi
1. MRT Sungai Buloh A Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh Kuala Lumpur
2. MRT Kepong Baru B Surau Al-Islah Ad-Diniyah Kuala Lumpur
3. MRT Kampung Baru melalui jejantas ke Jalan Kampung Baru A Masjid Abu Hurairah Kampung Batu Pusat Bandar

Kuala Lumpur

4. MRT Titiwangsa B Masjid Balai Islam (Bulatan Pahang) Pinggir Kuala Lumpur
5. MRT Ampang Park B Surau Tabung Haji Pusat Bandar

Kuala Lumpur

6. MRT Persiaran KLCC C Masjid Asy-Syakirin Pusat Bandar

Kuala Lumpur

7. MRT Sungai Besi C Masjid Jamek Ibnu Khaldun Bandar & Pinggir Bandar Kuala Lumpur
8. MRT Serdang Raya Utara A Masjid Al-Islah Serdang Raya Seri Kembangan, Selangor
9. MRT Taman Equine A Surau Al-Munawwarah Seri Kembangan Seri Kembangan, Selangor

Sumber: Media Selangor

MRT Laluan Kajang juga dikenali dengan laluan Sungai Buloh Kajang (SBK Line) mempunyai jumlah 31 buah stesen dengan 24 daripadanya dibina atas aras jalan (untuk platform stesen dan landasan), manakala dibina di bawah tanah dengan jarak sepanjang 51 kilometer untuk laluan ini. Stesen permulaan ialah di Kwasa Damansara dan berakhir di Kajang. Daripada 31 buah stesen, hanya enam daripadanya yang mempunyai laluan bersambung dengan masjid (seperti dalam Jadual 2), dengan meliputi kawasan seperti Kuala Lumpur, Titiwangsa, Cheras dan Kajang.

 

Jadual 2 MRT Laluan Kajang.

Bil Nama Stesen Pintu Keluar Nama Masjid Lokasi
1. MRT Pasar Seni melalui jejantas ke KTM Kuala Lumpur Masjid Negara Pusat Bandar

Kuala Lumpur

2. MRT Cochrane A Masjid Jamek Alam Shah Titiwangsa, Pinggir Bandar Kuala Lumpur
3. MRT Merdeka B Masjid Al-Sultan Abdullah Pusat Bandar

Kuala Lumpur

4. MRT Sri Raya B Masjid Kariah Batu 10 Cheras Pinggir Bandar, Cheras
5. MRT Bukit Dukung melalui jejantas Park ‘N Ride Surau Al-Falah Pinggir Bandar, Kajang, Selangor
6. MRT Kajang A Masjid India Kajang Pinggir Bandar, Kajang, Selangor

Sumber: Media Selangor

Monorel Laluan KL beroperasi dengan jumlah 11 stesen. Monorel ini bertujuan untuk menghubungkan Stesen Sentral dengan pelbagai lokasi dalam lingkungan Pusat Bandar Kuala Lumpur dan Segi Tiga Emas (Utara-KLCC; Tengah-Bukit Bintang; Timur-Kelab Zoo Kuala Lumpur dan Barat-Bukit Kewangan). Laluan monorel ini adalah sepanjang 8.6 kilometer (5.3 batu) pada dua buah landasan bertingkat yang selari. Daripada 11 buah stesen, hanya tiga daripadanya yang mempunyai laluan bersambung dengan masjid (seperti dalam Jadual 3). Disebabkan kawasan ini berada dalam Bandar Raya Kuala Lumpur, maka lokasi masjid boleh dicapai dengan berjalan kaki sahaja ke destinasi selepas turun di stesen monorel.

 

Jadual 3 Monorel Laluan KL.

Bil Nama Stesen Lokasi Nama Masjid Jarak (meter)
1. Monorel Hang Tuah Bandar Raya

Kuala Lumpur

Masjid Al-Bukhary 240
2. Monorel Medan Tuanku Bandar Raya

Kuala Lumpur

Surau IPD Dang Wangi (Masjid Besar) 450
3. Monorel Chow Kit Bandar Raya

Kuala Lumpur

Masjid Jamek Pakistan 220

Sumber: Media Selangor

 

Laluan Kelana Jaya yang sebelum ini dikenali dengan PUTRA-LRT pula mempunyai 37 buah stesen sejauh 46.4 kilometer (28.8 batu), kebanyakannya beroperasi di laluan bawah tanah dan bertingkat. Daripada 37 buah stesen, hanya 11 daripadanya yang mempunyai laluan bersambung dengan masjid (seperti dalam Jadual 4). Disebabkan Laluan Kelana Jaya merupakan laluan yang paling sibuk terutamanya pada waktu puncak pagi dan petang, kereta api ini akan beroperasi pada kekerapan yang tinggi dan kerap mengalami kesesakan penumpang. Laluan ini juga menghubungkan pelbagai kawasan, baik dari daerah terdekat dengan Kuala Lumpur, iaitu Selangor dan pelbagai kawasan sehingga ke Pusat Bandar Kuala Lumpur. Jarak dari stesen kereta api ke masjid juga dicapai dengan berjalan kaki ke destinasi selepas turun di mana-mana stesen.

 

Jadual 4 Laluan Kelana Jaya.

Bil Nama Stesen Lokasi Nama Masjid Jarak (meter)
1. LRT Taman Bahagia Perbandaran Petaling Jaya Masjid Aminah Al-Muhairi 300
2. LRT Dato Keramat Pusat Bandar

Kuala Lumpur

Masjid Al-Akram Datuk Keramat 350
3. LRT Ara Damansara Perbandaran Petaling Jaya Surau Al Muhajirin PPR Lembah Subang 350
4. LRT KLCC Pusat Bandar

Kuala Lumpur

Masjid Asy-Syakirin KLCC 500
5. LRT SS15 Subang Jaya, Selangor Masjid Darul Ehsan Subang Jaya 550
6. LRT Kampung Baru Pusat Bandar

Kuala Lumpur

Masjid Kampung Baru Jamek 600
7. LRT Taipan Subang Jaya, Selangor Masjid Al-Falah USJ 9 450
8. LRT Masjid Jamek Pusat Bandar

Kuala Lumpur

Masjid Sultan Abdul Samad Jamek 250
9. LRT USJ 21 Subang Jaya, Selangor Masjid Al-Madaniah 650
10. LRT Kerinchi Pusat Bandar

Kuala Lumpur

Masjid ar-Rahan 650
11. LRT Putra Heights Subang Jaya, Selangor Masjid Putra Heights 650

Sumber: Media Selangor

Selain itu, terdapat juga beberapa buah surau dan masjid lain yang mungkin boleh menjadi destinasi untuk berbuka puasa dan mengerjakan solat terawih seperti dalam Jadual 5. Namun begitu, terdapat beberapa buah masjid yang jaraknya agak sedikit jauh dari stesen kereta api tersebut dan mungkin memerlukan teksi atau perkhidmatan e-panggilan Grab untuk sampai ke destinasi.

Namun demikian, hampir kesemua masjid dan surau yang disenaraikan dalam Jadual 5 masih boleh lagi diterima untuk berjalan kaki sebagai kaedah terakhir untuk sampai ke destinasi. Antara penyelesaian yang mungkin boleh dipertimbangkan adalah dengan menggunakan perkhidmatan rapidKL ON-Demand (dahulu dikenali sebagai Demand Responsive Transit/DRT), iaitu sebagai kaedah terakhir untuk sampai ke destinasi selepas turun dari stesen LRT atau MRT.

 

Jadual 5 Beberapa surau dan masjid lain berhampiran LRT & MRT.

Bil Nama Stesen Lokasi Nama Masjid Jarak (meter)
1. LRT Bandar Tasik Selatan Bandar Raya

Kuala Lumpur

Masjid Zaid bin Thabit 450
2. LRT Ampang Ampang, Selangor Masjid Jamiul Huda 500
3. LRT Taman Melati Perbandaran Wangsa Maju, Kuala Lumpur Masjid Salahuddin Al Ayyubi 600
4. LRT Salak Selatan Bandar Raya

Kuala Lumpur

Masjid Al Najihin 1.1 kilometer
5. MRT Serdang Jaya Seri Kembangan, Selangor Surau al-Firdaus Seri Kembangan 130
6. MRT Metro Prima Bandaraya

Kuala Lumpur

Masjid Amaniah Kepong 900
7. MRT Kampung Batu Bandaraya

Kuala Lumpur

Masjid Abu Hurairah 800
8. MRT Sungai Jernih Kajang, Selangor Masjid Saujana Impian 2.1 kilometer
9. MRT Stadium Kajang Kajang, Selangor Masjid Jamek Pekan Kajang 850

Sumber: Media Selangor

Kesimpulannya, sistem pengangkutan awam di Malaysia direka untuk memudahkan pergerakan dari sebuah lokasi ke lokasi yang lain dan dalam masa yang sama dilengkapi dengan kemudahan awam yang mungkin tidak diendahkan tentang kewujudannya untuk segelintir individu. Oleh itu, hargailah kemudahan awam yang ada dan jangan hanya menghargai sesuatu apabila kita telah kehilangannya.

Kredit Foto: Pexels
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi