Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKemunculan kembali Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk kali kedua dengan pengenalan pelbagai dasar baharu dilihat mula menimbulkan pelbagai polemik dan kontroversi kepada dunia perdagangan antarabangsa.
Yang terbaharu ialah tarif timbal balik.Tempiasnya turut menimpa Malaysia. AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas eksport Malaysia berkuat kuasa 9 April 2025, iaitu peratusan tertinggi yang pernah dikenakan ke atas Malaysia sejak 35 tahun lepas. Sejak 1989 hingga 2023 eksport Malaysia ke AS menikmati kadar tarif yang rendah dengan kadar purata antara 2.9 peratus hingga 6.6 peratus.
Sedikit informasi tentang tarif timbal balik yang diumumkan AS baru-baru ini dengan merujuk pada pendekatan dasar perdagangan apabila AS berhasrat untuk mengenakan kadar tarif yang sama ke atas sesebuah negara seperti mana negara berkenaan mengenakan tarif ke atas eksport dari AS. Di bawah pendekatan ini, sekiranya rakan dagang mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas barangan keluaran AS berbanding dengan tarif yang dikenakan oleh AS ke atas barangan dari negara terbabit, Washington akan melaraskan kadar tarifnya untuk “mencerminkan” atau “menyamai” kadar itu.
Menurut Washington, pendekatan “perlindungan” ini bertujuan untuk memastikan perdagangan yang adil dan seimbang terhadap negara yang terlibat. Washington menyifatkan tindakan itu hanya bertujuan bagi menangani ketidakseimbangan perdagangan akibat perbezaan tarif yang tidak adil serta halangan bukan tarif yang dikenakan negara lain. Washington menyatakan selama beberapa generasi, negara lain mengambil kesempatan ke atas AS dengan mengenakan tarif pada kadar yang lebih tinggi. Oleh itu, tarif timbal balik itu adalah sebagai tindak balas terhadap duti dan halangan, bukannya tarif lain yang dikenakan ke atas barangan AS.
Sebagai rekod, AS menjadi antara rakan dagangan utama Malaysia dengan nilai eksport sekitar RM198.6 bilion pada tahun lalu atau 13.2 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara, manakala nilai import keluaran AS ke Malaysia pula lebih rendah, iaitu sebanyak RM126.3 bilion pada 2024 bersamaan dengan 9.2 peratus daripada keseluruhan import negara. Hal ini menjadikan lebihan dagangan Malaysia berjumlah RM72.3 bilion, sekali gus meletakkan Malaysia berada pada kedudukan ke-15 dalam senarai perdagangan AS dengan lebihan dagangan. Bagi AS, hal ini bermakna negara tersebut mengalami defisit perdagangan dengan Malaysia dan menunjukkan bahawa AS mengimport lebih banyak daripada yang dieksport – dengan tarif 47 peratus yang dikenakan Malaysia ke atas eksport AS.
Peningkatan peratus tarif yang besar ke atas Malaysia seperti diumumkan AS berpotensi menyumbang kepada penyusutan nilai eksport negara sebanyak RM187.6 bilion, demikian menurut Centre for Future Studies Bhd (The Future). Menurut The Future, jika Malaysia mengambil langkah untuk tidak mengenakan tarif balas, lebihan dagangan Malaysia-AS dijangka menjadi defisit kepada RM108.5 bilion tahun ini. Penyusutan dalam nilai eksport Malaysia ke AS dijangka mengurangkan penjanaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM32.9 bilion. Dengan lebihan 65 peratus daripada KDNK negara yang berkaitan dengan perdagangan, ekonomi Malaysia amat terdedah kepada kejutan sebegini. Maka itu, tarif ini berisiko menjadikan eksport negara tidak kompetitif di AS, lalu memaksa perniagaan untuk menilai semula kontrak, menyusun semula operasi, malah mungkin memindahkan pengeluaran ke luar negara.
Meskipun begitu, Malaysia menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan industri (MITI) tidak bercadang mengenakan tarif balas terhadap tindakan AS tersebut dengan pendirian untuk mengekalkan semangat perdagangan bebas dan adil. Bagi mengurangkan potensi impak tarif timbal balik AS kepada perdagangan, Malaysia sedang memperluaskan pasaran eksport dengan memberi keutamaan kepada rantau yang berkembang pesat seperti Timur Tengah serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada, termasuklah Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Malaysia juga akan memperkukuh dan memanfaatkan kerjasama baharu dalam ASEAN. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia berpeluang menjadikan blok perdagangan ini terus kukuh bersama-sama untuk menghadapi cabaran baharu global ini. Sebagai kuasa ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan populasi melebihi 670 juta, sudah tiba masanya ASEAN membuat tanggungjawab dan keputusan secara kolektif, membawa satu suara melindungi satu sama lain bagi menghadapi potensi impak tarif yang dikenakan AS.
Menerusi langkah ini, ASEAN akan menjadi lebih berdaya tahan untuk menghadapi kesuraman ekonomi global dan ketidaktentuan yang disebabkan ketegangan geopolitik serta perang perdagangan di seluruh dunia. Bagi Malaysia, ASEAN seharusnya dijadikan platform bagi mengukuhkan kedudukannya dan memperluaskan lagi pasarannya. Selain itu, bagi mempertingkatkan daya tahan ekonomi domestik, pelaksanaan dasar perindustrian utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) perlu dipercepatkan dan dirancakkan.
Menurut MITI, kerajaan sedang berhubung dengan industri yang terjejas serta meneroka program sokongan untuk membantu perniagaan menyesuaikan diri. Dalam keadaan ketidaktentuan ini, perniagaan di negara ini dijangka lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan pelaburan. Kenaikan kos akibat tarif ini mungkin menyebabkan syarikat besar dan kecil menghadapi tekanan dalam menjalankan operasi mereka. Hal ini boleh menyebabkan kehilangan sehingga 50,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung, dengan kesan utama terhadap Pulau Pinang, Johor dan Lembah Klang, selain menyebabkan pertumbuhan gaji terhenti.
Situasi ini juga berisiko memberikan kesan terhadap penciptaan pekerjaan baharu. Kenaikan kos disebabkan tarif baharu ini boleh mengurangkan daya saing produk Malaysia di pasaran antarabangsa. Kehilangan pekerjaan juga berkemungkinan disebabkan syarikat terpaksa melaksanakan automasi dan digitalisasi untuk menurunkan kos operasi dan mengekalkan margin keuntungan. Selain itu, syarikat juga mungkin perlu menstrukturkan semula harga dan model perniagaan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan tarif serta meningkatkan kerjasama dan integrasi rantaian bekalan serantau.
Walaupun kadar tarif dikenakan terhadap Malaysia pada kadar 24 peratus itu lebih rendah berbanding dengan negara Asia lain, kecuali Singapura (10 peratus) dan Filipina (17 peratus), hal tersebut tetap mempunyai impak signifikan, terutamanya bagi sektor yang menjadi penyumbang utama eksport negara. Justeru, Malaysia perlu mempertimbangkan strategi yang menyeluruh dan pelbagai pendekatan untuk mengurangkan impak tarif berkenaan terhadap ekonomi dan industri negara.
Fokus utama adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya saing dalam situasi yang tidak menentu ini. Dalam situasi ini, mengimbangi impak tarif Donald Trump dan berkemungkinan besar perang tarif yang bakal menyusul kemudiannya adalah amat penting bagi memastikan usaha pembaharuan ekonomi negara tidak terjejas. Hal ini juga bagi membolehkan langkah susulan diambil hasil daripada penekanan kerajaan kepada keperluan penilaian ekonomi secara komprehensif dalam mengimbangi impak tarif timbal balik tersebut.
Tindakan tarif oleh AS ini bakal memberikan cabaran yang lebih besar terhadap Malaysia, namun dengan pendekatan tepat, negara ini mampu menyesuaikan diri dan mengatasi impak negatif berkenaan. Disokong asas ekonomi negara yang kekal mantap dan berdaya tahan, dengan pasaran dan produk negara yang pelbagai, di samping permintaan yang kukuh terhadap keluaran barangan Malaysia, pastinya akan memberikan sedikit penampan terhadap Malaysia. Selain itu, permintaan domestik yang berterusan turut menjadi pemacu utama pertumbuhan negara kekal stabil. Justeru, keadaan tidak sepenuhnya bakal menjadi suram kerana terdapat peluang dan alternatif berdaya maju yang perlu diteroka, sekali gus dapat mengurangkan impaknya.