Diterbitkan pada 18 April 2025, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada setiap perayaan Aidilfitri, tradisi yang paling menggembirakan masyarakat Malaysia tanpa mengira usia ialah menerima duit raya. Walaupun duit raya kebanyakannya diberikan khusus kepada kanak-kanak sebagai menghargai usaha mereka berpuasa sepanjang bulan Ramadan, tetapi ada dalam kalangan kita yang memberikan duit raya kepada orang tua seperti ibu bapa dan ibu bapa saudara. Malahan, segelintir individu turut memberikan duit raya kepada sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur atau hubungan. Apabila dihulurkan sahaja sampul duit raya yang cantik dan menarik reka bentuknya, sudah tentu seseorang berasa sangat teruja walaupun belum melihat jumlah duit raya yang terdapat di dalamnya.

Tradisi pemberian duit raya ialah amalan mulia yang dapat menambahkan kegembiraan umat Islam semasa sambutan Aidilfitri. Bahkan, pemberian duit raya dalam Islam sebenarnya dituntut kerana banyak memberikan faedah dan manfaat kepada penerima dan pemberinya. Pada zaman dahulu, lazimnya duit raya berjumlah 20 sen atau 50 sen diberikan tanpa bersampul atau diletakkan di dalam sampul surat biasa. Namun begitu, tradisi pemberian duit raya di negara kita pada hari ini sudah berubah kepada gaya bersampul dengan reka bentuk yang pelbagai.

Sampul duit raya merupakan sarung yang digunakan untuk meletakkan duit raya. Pada awalnya, sampul diperbuat daripada kertas berwarna seperti warna hijau yang menjadi simbol perayaan Aidilfitri dan dihiasi dengan motif dan rekaan tradisional seperti masjid, ketupat, pelita, lemang dan bunga api. Sejajar dengan perubahan teknologi, reka bentuk sampul duit raya juga mengalami perubahan dari tahun ke tahun. Hal ini mencerminkan keunikan budaya dan kreativiti masyarakat Malaysia yang berevolusi mengikut arus zaman.

Pada ketika ini, sampul duit raya boleh didapatkan dalam pelbagai warna, motif dan corak yang tidak tertumpu pada rekaan yang berkaitan dengan hari perayaan semata-mata. Hal ini demikian kerana pemakaian sampul duit turut boleh digunakan untuk tujuan lain seperti majlis perkahwinan, berkhatan dan akikah. Terdapat juga sesetengah sampul duit raya yang mempunyai mesej dan maklumat tertentu sebagai pengetahuan am kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak. Sebagai contoh pada tahun 2023, syarikat bumiputera, Fresh Print Trading mengeluarkan sampul duit raya yang bertemakan ikon dan mercu tanda negeri-negeri di Malaysia. Pada tahun ini pula, Kementerian Pengangkutan Sarawak telah memperkenalkan sampul duit raya dengan ilustrasi kartun berwarna-warni yang mewakili kepelbagaian mod pengangkutan di Sarawak seperti AirBorneo, pengangkutan darat dan sungai serta tip keselamatan jalan raya pada bahagian belakang sampul.

Sampul duit raya turut menjadi alat pemasaran yang berkesan oleh kebanyakan syarikat perniagaan di negara kita menjelang musim perayaan. Maka itu, tidak hairanlah terdapat banyak syarikat yang mengeluarkan sampul duit raya masing-masing untuk diberikan kepada para pelanggan mereka. Masyarakat tentunya berasa teruja untuk mengambil kesempatan ini bagi mendapatkan sampul duit raya secara percuma. Malahan, ada segelintir daripada kita mengumpulkan sampul duit raya ini sebagai hobi. Jika dahulu, kita hanya mendengar orang mengumpul setem, tetapi kebelakangan ini sudah banyak orang yang berminat mengumpul sampul duit raya. Perkara ini menjadi asbab terbentuknya komuniti masyarakat yang berkongsi minat yang sama dalam mencari cara dan tempat untuk mendapatkan sampul duit raya yang cantik dan menarik untuk ditambah dalam koleksi masing-masing. Buktinya, kelab Peminat Pengumpul Sampul Duit Raya (KPSDR) telah diwujudkan di laman sosial Facebook semenjak tahun 2013.

Tradisi pemberian duit raya dalam sampul juga memberikan peluang perniagaan kepada masyarakat kita. Tambahan pula dengan kewujudan komuniti pengumpul sampul duit raya yang semakin meluas di negara kita dari tahun ke tahun, kumpulan ini selalunya tidak berkira dan akan cuba mendapatkan koleksi yang diminati walaupun nilainya agak mahal. Jika dahulu, sampul duit raya hanya diberikan secara percuma, tetapi atas permintaan yang semakin tinggi, sampul duit raya turut dijual dalam pasaran. Malah sejak tahun 2015, sampul duit raya menjadi antara produk perayaan yang paling laris dan menguntungkan untuk para peniaga. Sampul duit raya bukan sahaja dijual di bazar Aidilfitri seluruh Malaysia, malah turut dijual secara meluas dalam talian.

Walaupun rekaan sampul duit raya di Malaysia semakin cantik dan unik, namun kebanyakan masyarakat kita gagal untuk menghargainya. Tambahan pula, kebanyakan penerima duit raya ialah kanak-kanak. Maka itu, mereka lebih teruja untuk melihat jumlah wang yang diterima berbanding dengan menghayati keunikan dan keindahan reka bentuk sampul duit raya. Buktinya, sampul duit raya merupakan antara sampah yang paling banyak dibuang semasa sambutan perayaan Aidilfitri. Walhal sampul tersebut boleh digunakan semula pada perayaan tahun berikutnya atau digunakan untuk majlis lain seperti majlis perkahwinan, berkhatan dan akikah supaya kita tidak perlu mengeluarkan kos untuk membeli sampul baharu. Seharusnya, sampul raya yang mempunyai rekaan unik ini disimpan sebagai koleksi kerana sesetengah sampul tersebut merupakan edisi khas yang dikeluarkan dalam jumlah yang terhad.

Kini sampul duit raya telah berevolusi dengan rekaan yang semakin menarik saban tahun. Rekaan sampul duit raya yang cantik dan unik terus menjadi buruan masyarakat di negara ini terutamanya para pengumpul sampul duit raya. Sungguhpun perkembangan teknologi yang kian moden ini menyebabkan banyak orang memberikan duit raya melalui DuiNow QR dan Touch ‘n Go eWallet, tetapi masih banyak orang yang memberikan duit raya di dalam sampul bagi menghargai tradisi yang mewarnai sambutan Aidilfitri di Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi