Diterbitkan pada 23 April 2025, 19:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apabila menyebut tentang Piala Malaysia, peminat bola sepak tanah air pasti berasa teruja hendak menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak terulung ini. Perlawanan akhir ini menjadi penutup kepada satu musim Liga Malaysia yang panjang. Pada tahun ini, perlawanan akhir Piala Malaysia akan memasuki edisi ke-98 dan mempertemukan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dengan kelab Sri Pahang FC. Perlawanan akhir ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukti Jalil pada 26 April 2025.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, kehangatan perlawanan akhir tentunya semakin dirasakan dalam kalangan penyokong, baik dari kelab yang mara ke perlawanan akhir mahupun dari kelab lain. Penyokong akan mula membanjiri tempat penjualan tiket di stadium kelab masing-masing. Ada yang sanggup beratur panjang seawal pagi supaya tidak terlepas peluang untuk membeli sejumlah tiket yang terhad kuotanya untuk setiap orang. Dalam hal ini, kelab penyokong akan berusaha mendapatkan tiket yang dijual secara pukal oleh kelab bola sepak. Mereka juga akan menyediakan perkhidmatan bas dan mengatur pergerakan kenderaan masing-masing secara konvoi pada sebelah pagi perlawanan akhir.

Di sepanjang lebuh raya pula, para penyokong pada kebiasaannya akan mengibarkan bendera negeri dan sepanduk yang memaparkan kata-kata semangat untuk kelab. Kata-kata semangat seperti “Pulun Kedah Pulun”, “Kejor Yob Kejor”, “Peteh Ganu Peteh”, “Luaskan Kuasamu” dan “Hogoh Pahang Hogoh” akan terpampang pada sepanduk yang dipasang pada bas penyokong yang dalam perjalanan ke stadium perlawanan akhir.

Sejak tahun 1998, Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi gelanggang berkecuali untuk perlawanan ini. Stadium tersebut menjadi lokasi rasmi perlawanan akhir Piala Malaysia setelah selesai penggunaannya bersempena dengan Sukan Komanwel 1998 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Sehingga tahun 2024, perlawanan akhir Piala Malaysia hanya beberapa kali sahaja diadakan di stadium lain, iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan Stadium Shah Alam, Selangor. Sebelum tahun 1998, kedua-dua stadium tersebut pernah menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia sementara menunggu pembinaan Stadium Nasional disiapkan.

Sejarah Piala Malaysia bermula pada tahun 1921 apabila sebuah kapal British yang bernama H.M.S Malaya berlabuh di Tanah Melayu dan menghadiahkan sebuah trofi. Pada awalnya, piala itu dinamakan sebagai Piala Malaya yang disertai oleh kelab-kelab sukan ternama di Tanah Melayu dan dibahagikan kepada bahagian utara dan bahagian selatan. Pada perlawanan akhir, juara bahagian utara bertemu dengan juara bahagian selatan. Edisi pertama perlawanan akhir Piala Malaya telah berlangsung di padang Kelab Selangor sebelum dikenali sebagai Kelab Di Raja Selangor pada hari ini. Perlawanan akhir tersebut mempertemukan pasukan Selangor dengan pasukan Singapura yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Singapura dengan keputusan 2-1. Pertemuan antara dua buah kelab ini menjadi permulaan kepada perlawanan epik Piala Malaysia.

Pada tahun 1967, piala tersebut telah digantikan dengan piala yang baharu dan bertukar nama sebagai Piala Malaysia sehingga hari ini. Pasukan Perak menjadi pasukan pertama menjuarai piala baharu itu dengan menewaskan pasukan Singapura pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-1. Perlawanan akhir tersebut berlangsung di Stadium Merdeka setelah stadium keramat itu mula digunakan sebagai stadium perlawanan akhir sejak tahun 1957.

Sepanjang sejarah Piala Malaysia, pasukan Selangor menjadi pasukan bola sepak yang paling banyak menjulang trofi itu, iaitu sebanyak 33 kali. Kali terakhir pasukan Selangor memenangi piala ini adalah pada tahun 2015 setelah menewaskan pasukan Kedah dengan keputusan 2-0. Perlawanan akhir itu berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

Pasukan Singapura pula menjadi pasukan duri dalam daging kepada pasukan-pasukan bola sepak Malaysia yang lain. Pasukan ini berjaya membawa pulang Piala Malaysia merentasi Selat Tebrau sebanyak 24 kali. Kali terakhir pasukan Singapura memenangi Piala Malaysia adalah pada tahun 1994 dengan menewaskan pasukan Pahang pada perlawanan akhir. Setelah itu, pasukan Singapura tidak lagi menyertai kejohanan ini kerana memberikan tumpuan kepada Liga Singapura yang semakin berkembang sehingga hari ini.

Kemunculan nama pemain hebat seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Ann, Fandi Ahmad dan Abbas Saad mewarnai arena perlawanan akhir Piala Malaysia pada penghujung tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an. Kemudian, muncul pemain seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan dan Radhi Mat Din yang menjadi wira kepada pasukan masing-masing pada pertengahan awal tahun 1990-an menuju penghujung tahun 1990-an.

Selain pasukan Singapura, pasukan Brunei Darussalam pernah menjadi pasukan kedua dari luar Malaysia yang berjaya memenangi Piala Malaysia. Pasukan Brunei berjaya mengalahkan pasukan Sarawak dalam perlawanan akhir pada tahun 1999 dengan keputusan 2-1.

Memasuki era milenium, muncul beberapa pasukan baharu yang berjaya memenangi Piala Malaysia. Kemenangan yang paling menarik ialah apabila pasukan bertaraf kelab, iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) FC mara ke perlawanan akhir dan menewaskan pasukan Sabah dengan keputusan 3-0. Kemudian, pasukan kecil seperti Perlis berjaya mengejutkan pasukan Kedah yang merupakan gergasi bola sepak pada ketika itu dengan kemenangan pada perlawanan akhir, manakala pasukan Negeri Sembilan pula menjulang Piala Malaysia pada tahun 2004 dan 2006. Seterusnya, pasukan Kelantan yang diberi jolokan sebagai “The Red Warrior” berjaya menguasai Liga Malaysia pada penghujung tahun 2000-an dan awal tahun 2010-an. Pasukan Kelantan berjaya menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2010 buat kali pertama dan mengulangi pencapaian yang sama pada tahun 2012.

Selepas penswastaan kelab bola sepak di Malaysia dikuatkuasakan, pasukan JDT FC mula menguasai arena bola sepak negara. Kelab bola sepak ini mengorak langkah kejayaan dengan menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2019, 2022 dan 2023. Bagi edisi 2024 – 2025, JDT FC berada dalam keadaan selesa untuk memburu kejuaraan hatrik Piala Malaysia berhadapan dengan Sri Pahang FC pada tahun ini. Keputusan di atas kertas sememangnya berpihak kepada JDT FC kerana pasukan ini dilihat tidak mampu digugat oleh mana-mana kelab setelah berjaya memenangi ketiga-tiga piala kejohanan bola sepak negara pada musim 2024 – 2025, iaitu Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA Malaysia dan terbaharu ialah kejayaan mengekalkan kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut.

Walau bagaimanapun, kemeriahan perlawanan akhir bagi edisi ke-98 ini tidak dapat dirasai berbanding dengan edisi-edisi sebelumnya. Penyokong kedua-dua kelab kelihatan tidak ghairah untuk meraikan kelab masing-masing pada perlawanan akhir. Hal ini dapat dilihat apabila jumlah jualan tiket yang diperuntukkan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) kurang memberangsangkan walaupun tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum perlawanan akhir berlangsung. Penyokong seolah-olah tidak berminat untuk menyaksikan perlawanan itu sementelah lagi kelab Sri Pahang FC sendiri bergelut dengan masalah prestasi dan masalah kewangan. Terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa kelab itu juga tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan dan perkara ini menimbulkan kesangsian kepada penyokong Sri Pahang FC.

Peminat-peminat bola sepak tanah air yang lain juga sudah menduga pengakhiran perlawanan ini memandangkan JDT FC kini sedang berada pada tahap kemuncak prestasi yang sukar digugat oleh mana-mana kelab bola sepak di Malaysia. Selain masalah tunggakan gaji yang membelenggu beberapa buah kelab bola sepak di Malaysia, bilangan penyokong yang hadir ke stadium dalam saingan Liga Super turut menurun secara mendadak. Hal ini amat membimbangkan dan perkembangan arena bola sepak Malaysia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya situasi ini berterusan hingga saingan musim hadapan.

Piala Malaysia yang dahulunya meriah dengan keghairahan dan sorakan penyokong mungkin akan menjadi “sendu” pada musim ini. Pihak MFL perlu melakukan sesuatu agar Liga Malaysia terutamanya saingan Piala Malaysia akan terus meriah pada musim hadapan dan mengekalkan statusnya sebagai sebuah legasi perlawanan bola sepak yang cemerlang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi